AS, EU, negara Arab desak gencatan senjata 21 hari di sempadan Lubnan-Israel - Utusan Malaysia

AS, EU, negara Arab desak gencatan senjata 21 hari di sempadan Lubnan-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS), Perancis dan sekutu-sekutu lain menyeru gencatan senjata selama 21 hari dilaksanakan serta-merta bagi membolehkan rundingan diadakan berhubung konflik Israel dan Hezbollah yang sudah meragut lebih 600 nyawa di Lubnan.

Kenyataan bersama yang dirundingkan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York itu menegaskan pertelingkahan terbaharu itu tidak dapat diterima dan membawa risiko besar berlakunya peluasan konflik serantau.

“Kami menyeru agar gencatan senjata 21 hari segera dilaksanakan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel untuk memberi ruang kepada diplomasi,” jelas kenyataan itu.

Antara penandatangan kenyataan bersama itu termasuk AS, Australia, Kanada, Kesatuan Eropah (EU), Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot, ketika berucap di hadapan Majlis Keselamatan PBB berkata, mereka berharap kedua-dua pihak akan menerima cadangan itu tanpa sebarang kelewatan.

Tambah Barrot, Perancis dan AS telah berbincang dengan kedua-dua pihak mengenai parameter akhir untuk mencari jalan keluar diplomatik terhadap krisis itu sambil menekankan peperangan bukanlah sesuatu yang tidak boleh dielakkan.

Timbalan Duta AS ke PBB, Robert Wood turut menggalakkan Majlis Keselamatan menyokong usaha diplomatik itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.

Dalam ucapan yang disampaikan lebih awal, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, menyatakan pentadbiran AS sedang berusaha gigih bersama rakan-rakan lain untuk meredakan ketegangan di Lubnan dan mencapai perjanjian gencatan senjata yang akan membawa pelbagai manfaat kepada semua pihak terlibat.

Konflik antara Israel dan Hezbollah yang sudah berlarutan sejak sekian lama telah mengakibatkan berlakunya serangan balas antara kedua-dua belah pihak di sepanjang sempadan, memaksa puluhan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.

Menurut seorang pegawai Israel, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bersetuju untuk kemungkinan mencapai perjanjian tetapi hanya jika ia termasuk membawa orang awam Israel pulang ke rumah mereka. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×