Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang serta Ahli Parlimen Marang sejak beberapa dekad lalu itu akhirnya berjaya mengemudi partinya menang besar, memperoleh 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Beliau seterusnya dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu ke-11 menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad pada 30 November 1999. Pas turut memenangi tujuh daripada lapan kerusi Parlimen sementara satu lagi kerusi Parlimen dimenangi Parti Keadilan.

AKHBAR Utusan Malaysia pada 1 Disember 1999 memaparkan tajuk “Hadi MB Terengganu”. Abdul Hadi yang k
AKHBAR  Utusan Malaysia pada 1 Disember 1999 memaparkan tajuk “Hadi MB Terengganu”. Abdul Hadi yang ketika itu selaku Pesuruhjaya Pas Terengganu menerima watikah perlantikan daripada Sultan Mizan Zainal Abidin selepas menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-10.

Abdul Hadi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Sarjana Sains Politik Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir menerima watikah pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu daripada Sultan Mizan Zainal Abidin bagi tempoh 1999-2004.

Beliau yang juga Presiden Pas mencetuskan fenomena di dalam arena politik tanah air khususnya melalui penampilan beliau di kubu kuatnya kawa­san Parlimen Rusila apabila berjaya menambat hati orang ramai mendengar ceramahnya mengenai wawasan politik dan pemerintahan Islam.

Sebagai Menteri Besar, Abdul Hadi turut dipertanggungjawabkan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Galian dan Perhutanan dan juga Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pe­laburan.

Akhbar Utusan Malaysia pada 1 Disember 1999 turut memuatkan tajuk utama: “Hadi MB Terengganu selepas Pas menang besar dalam pilihan raya”.

Utusan Malaysia turut menyiarkan di muka satu, foto Abdul Hadi sedang me­nerima watikah pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu daripada Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Badariah, Kuala Terengganu.

Sebaik sahaja diangkat sebagai ketua kerajaan negeri, beliau terus memberitahu dalam sidang akhbar pertamanya bahawa kerajaan Pas tidak akan melakukan tindakan balas dendam politik dan tidak akan mengamalkan pilih kasih.

Sebaliknya, kerajaan Pas akan mengutamakan golo­ngan tertindas yang selama ini gagal mendapat pembelaan daripada kerajaan lalu.

Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri akan menunaikan janji-janjinya kepada rakyat Terengganu termasuk penghapusan bayaran tol di Jambatan Sultan Mahmud, cuti umum hari Jumaat dan Sabtu serta penghapusan cukai pintu rumah kediaman.

“Polisi yang akan kita laksanakan nanti adalah yang setaraf manifesto yang kita bentangkan ketika menghadapi pilihan raya baru-baru ini dan selaras dengan peraturan,” tegasnya (Utusan Malaysia 1 Disember 1999).

Melalui perjumpaan pertamanya de­ngan para pegawai kanan kerajaan, Abdul Hadi memberi amaran agar jangan ada pihak yang cuba menjadi pengampu atau pembodek kerajaan.

“Mereka hendaklah berani melakukan kritikan secara terbuka, se­kiranya didapati apa-apa yang tidak kena dengan kerajaan yang ada. Kalau benar, kata benar. Kalau salah, kata salah. (Nasir Awang 2000).

Abdul Hadi per­nah memegang jawatan Pegawai Yayasan Islam Terengganu sejak 1977 hingga 1978 dan pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Terengganu. Abdul Hadi menjadi Pre­siden Pas sehingga sekarang selepas disahkan di dalam muktamar parti itu pada 2005.

Berdasarkan kewibawaan, keilmuan, kesufian, serta sifat tawaduk beliau, tidak syak lagi faktor itu telah meletakkan Abdul Hadi sebagai seorang pemimpin contoh yang bukan sahaja disenangi oleh segenap lapisan rakyat malah ditunggu-tunggu untuk membawa perubahan kepimpinan di negara ini.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan