Ada yang tidur, ada yang menonton TV dan tidak kurang juga yang sedang berehat sementara menunggu hujan reda. Biasanya hujan lebat seperti itu akan reda dalam masa sejam. Malangnya pada petang itu setelah tiga jam, hujan masih tidak menunjukkan tanda-tanda akan berhenti.

Suasana damai di Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak itu tiba-tiba berubah. Keadaan jadi gempar. Kampung yang aman damai dan tenang sebelum itu menjadi kelam-kabut dan seluruh penghuninya bertempiaran lari menyelamatkan diri. Pos Dipang ditimpa malapetaka.

Deruan air bercampur lumpur kelihatan seperti bergulung-gulung datang dengan derasnya. Gegarannya sudah dirasai. Kayu-kayu balak yang hanyut bersama air dan lumpur itu merempuh apa sahaja yang menghalang. Dalam sekelip mata seluruh kampung itu dipenuhi dengan banjir lumpur yang mengerikan.

Satu demi satu rumah di tebing air terjun tenggelam dan jerit pekik bergema memenuhi sekitar kawasan air terjun yang selama ini memberi harapan dan impian kepada penghuninya.

Si ibu dan ayah tanpa membuang masa bergegas mengheret anak-anak ke tempat tinggi. Mana sempat dicapai dan yang tidak sempat berlari seperti orang hilang akal tanpa sempat mencapai sesuatu.

Banjir lumpur mencurah-curah bagaikan empangan pecah, tidak boleh dikawal dan dibendung lagi.

Dalam tempoh tidak sampai dua jam semua rumah di bahagian tebing air terjun musnah dan lenyap dari pandangan.

Yang tinggal hanya rumah-rumah di tempat tinggi. Ada yang musnah sedikit dan ada yang hanya tinggal separuh. Keindahan kampung itu le­nyap sama sekali. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan runtuhan rumah dan kayu balak yang tersadai.

Berita banjir lumpur itu akhirnya tersebar luas. Pos Dipang menjadi terkenal. Bantuan mula sampai. Kebanyakan penduduk yang selamat masih dalam ketakutan dan menyembunyikan diri di tempat berlindung.

Yang melarikan diri atas pokok, baru berani turun setelah hujan berhenti dan banjir lumpur tidak lagi ada.

Tragedi ngeri yang menjadi sejarah Pos Dipang itu me­ngorbankan hampir 40 nyawa, termasuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 31 Ogos 1996 memuatkan berita bertajuk Tragedi Pos Dipang melaporkan, Menteri Besar Perak ketika itu, Tan Sri Ramli Ngah Talib memberitahu, tragedi berlaku selepas hujan lebat melanda kawasan itu selama enam jam.

Katanya, insiden turut me­libatkan keluarga Cina yang tinggal di sebuah ladang kelapa sawit, di kawasan hulu kira-kira enam kilometer dari penempatan Orang Asli Pos Dipang.

Ramli berkata, banjir lumpur itu mengalir dari bukit berdekatan dengan membawa batang-batang balak yang memusnahkan rumah di kaki bukit tersebut.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan kerja mengeluarkan balak yang dihanyutkan dari atas bukit ke lembah, meninjau di kiri dan kanan sungai untuk mencari mayat tersangkut atau terapung dan jika perlu menggunakan bot di atas Su­ngai Kampar dan Sungai Kinta.

Laporan itu memetik, Polis Daerah Kampar menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 petang dan terus menghantar pasukan penyelamat tetapi gagal membantu kerana arus sungai terlalu deras.

Gerakan mencari mangsa hanya dapat dimulakan pada pukul 7.30 pagi keesokan hari setelah air sungai surut. Mayat pertama ditemui kira-kira pukul 1 pagi diikuti mayat ke­dua pada pukul 3.20 pagi.

Operasi menyelamat agak sukar kerana air sungai masih deras dan keadaan cuaca yang gelap.

Gerakan mencari mangsa membabitkan 200 anggota dari pasukan polis, bomba, Batalion Ke-3 Pasukan Polis Hutan, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Pejabat Daerah Kinta.