Setelah pintu pagar dipecahkan, sepasukan polis bersama-sama Pegawai Pemerintah Gerakan menyerbu ke bahagian tangga belakang dan masuk ke dalam rumah tersebut untuk memisahkan kaum wanita dan kanak-kanak daripada orang lelaki dewasa.

Sungguh pun suasana begitu genting, polis masih lantang menyeru penyokong Ibrahim supaya meletakkan senjata dan menyerah diri secara aman.

Ketika itu juga, tiba-tiba polis diserang oleh Ibrahim bersama penyokongnya yang bersenjatakan parang dan pedang.

Serangan mengejut itu mengakibatkan tujuh anggota polis luka parah. Bagi mempertahankan diri dan mematahkan serangan-serangan liar tersebut, pihak polis akhirnya terpaksa menggunakan senjata api. Akhirnya, lapan orang daripada penyerang itu termasuk Ibrahim terbunuh di halaman rumahnya.

Pada masa itu juga empat penyokong Ibrahim terbunuh di tepi pagar kawasan rumahnya, manakala seorang lagi terbunuh di sebelah belakang rumah semasa beliau dan beberapa orang rakannya cuba menyerang anggota polis yang membuat kepungan luar.

Polis dapat menguasai ke­adaan di kawasan itu pada jam 1.30 petang. Keseluruhannya empat polis dan 14 orang awam termasuk Ibrahim terbunuh dalam kejadian itu. Bilangan yang cedera pula seramai 23 orang anggota polis dan orang awam.

Menurut Kertas Putih bertajuk “Ancaman terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara” yang diterbitkan pada 8 November 1984, tindakan polis di Kampung Memali pada pagi 19 November 1985 adalah bagi menguatkuasakan undang-undang dan membendung daripada merebaknya kegiatan yang boleh menimbulkan huru hara serta mengancam keselamatan negara.

Kertas Putih itu dikeluarkan di atas kesedaran kerajaan betapa perlunya didedahkan kegiatan anasir-anasir, kumpulan-kumpulan dan individu tertentu yang menyalahgunakan serta mengeksploitasikan agama Islam bagi kepentingan peribadi atau pun kepentingan politik mereka.

Ibrahim dikenali sebagai Ibrahim Libya kerana beliau pernah menuntut di Maahad Dakwah, Tripoli, Libya dan memperolehi Diploma Dakwah Islamiah.

Sebelum itu, Ibrahim pernah menuntut di Maktab Jamaliah, Madras, Tamil Nadu India dan menyambung pelajaran di Darul Ulum, Deoband, Sharanpur, Uttar Pradesh, India sehingga memeproleh Ijazah dalam bidang Pengajian Islam.

Ibrahim juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengkhususan Undang-Undang Islam (Syariah) dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Ibrahim berjaya menonjolkan dirinya sebagai pejuang ‘Islam tulen’ dalam kalangan pengikut-pengikut yang taksub selain membuat persediaan melengkapkan diri dengan berbagai senjata sebagai langkah untuk melindungi beliau daripada ditangkap polis.

Anggota-anggota kumpulan pengawal Ibrahim pula melengkapkan diri dengan pedang kerana mereka menganggap pedang sebagai simbol ‘jihad’.

Pedang dan parang dibeli sama ada ada secara tunai atau ansuran di rumah Ibrahim selain pelbagai jenis senjata seperti lastik, buluh runcing, jamung, senapang panah serta anak panah, bom botol (molotov cocktail) dan bom ikan yang dibuat sendiri sementara senapang patah pula diperoleh daripada anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA).

Ibrahim melanggar undang-undang negara, menyemai dan menggalakkan kekerasan selain menggunakan sentimen agama dan mempengaruhi pengikut-pengikutnya hingga ke tahap mereka hilang pertimbangan akal.

Akibatnya, beliau dan pengikut-pengikutnya sanggup menentang dan rela membunuh anggota polis yang menjalankan tugas.

Polis pernah bertindak untuk menangkap dan menahan Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri 1960 pada jam 1 pagi 2 September 1984 di rumahnya di Kampung Memali tetapi terpaksa ditangguhkan akibat dihalang oleh kira-kira 100 orang pengikut Ibrahim yang bersenjatakan buluh runcing sambil melaungkan takbir: “Allahhu Akhbar!”.

Setelah mengambil kira keselamatan orang awam dan bagi mengelakkan kekacauan serta kemungkinan pertumpahan darah, polis membuat keputusan menangguhkan tindakan menangkap Ibrahim ketika itu.

“Penangguhan tangkapan oleh polis telah disalah ertikan dan dianggap sebagai suatu kelemahan oleh Ibrahim Libya dan para pengikutnya. Justeru mereka semakin angkuh, bertindak kasar dan bertambah berani mencabar kewibawaan pihak berkuasa.

“Sejak itu anggota polis yang menjalankan tugas mengawal keamanan di sekitar Kampung Memali sering kali dihina, dikeji dan dicabar oleh pengikut-pengikutnya” (Kertas Putih: Ancaman Terhadap Perpaduan Umat Islam dan Keselamatan Negara 1984).