Kejayaan itu menobatkan Tom atau lebih dikenali Ibu Tom sebagai murid perempuan pertama dari Sekolah Melayu Kampung Tengah Klang, Selangor yang berjaya menyambung pelajaran di Sekolah Methodist.

Anak kelahiran jati Selangor itu yang lahir pada 1904 merupakan anak kepada Majistret Klang ketika itu, Datuk Abdul Razak Abdul Ghani.

TOM ABDUL RAZAK
TOM ABDUL RAZAK 

Akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 21 Jun 1970 memuatkan berita Wanita Melayu perta­ma lulus Junior Cambridge me­­la­por­kan, Nazir Sekolah-Se­ko­lah Selangor, J Bain ketika itu mengiktiraf Tom Datuk Abdul Razak merupakan wanita pertama Melayu yang lulus dan ber­jaya menduduki peperiksaan Junior Cambrige.

Ibu Tom berkata, setiap yang hidup atau selepasnya kalau tidak dijadikan sempadan maka perlu untuk dijadikan teladan supaya berjaya dalam menduduki peperiksaan Junior Cambrige.

“Saya mula bersekolah pada 1910 di Sekolah Klang, Selangor hingga darjah lima. Selepas itu melanjutkan pendidikan ke Sekolah Methodist Kuala Lumpur hingga lulus peperiksaan Junior Cambrige pada 1923, masa itu belum ada peperiksaan Senior Cambrige dan saya berusaha untuk mengambil peperiksaan tersebut.

“Pada tahun itu juga, belum sempat menduduki peperiksaan Senior Cambrige saya telah ditawarkan menjadi guru pelatih,” katanya.

Ibu Tom berkata, ketika belajar di Sekolah Methodist tidak ada ramai murid perempuan yang belajar di sekolah itu, namun diteruskan juga atas desakan bapanya, Abdul Razak yang mahu dirinya belajar dan menjadi contoh kepada murid-murid perempuan khususnya di Daerah Klang, Selangor.

“Pada mulanya ayah dan ibu memaksa kakak saya untuk belajar di sekolah itu, tetapi kakak tidak sanggup untuk menyambung pelajaran kerana waktu itu mereka telah berumur sembilan tahun. Alasannya malu untuk ke Sekolah Metho­dist.

“Jadi ayah menyuruh saya untuk menggantikan kakak, oleh kerana emak juga mempunyai pandangan yang sama, maka saya menerima keputusan itu tanpa bantahan. Untuk ke Sekolah Methodist itu, saya telah dinasihatkan oleh kakak bahawa sekolah itu ramai muridnya terdiri daripada lelaki. Kalau engkau jadi tak baik, engkau akan dijadikan sempadan,”katanya.

“Saya amat berbangga kerana usaha saya itu dibuktikan bahawa anak perempuan yang bersekolah di bandar kononnya menjatuhkan maruah keluarga adalah tidak benar sama sekali.

“Sebenarnya, perkara yang ditakutkan oleh orang-orang Melayu dahulu ialah perkara yang remeh, iaitu takut kepada perkara yang tidak baik berlaku kepada anak gadis mereka. Untuk mengelakkan dibuli oleh murid lelaki saya terpaksa pergi ke sekolah dengan berpakaian lelaki, kalau pun tidak berpakaian lelaki bolehlah dikatakan sama macam lelaki,” katanya.

Ibu Tom meletakkan jawatan sebagai guru di Selangor dan berpindah ke Kedah.

Ibu Tom berkata, peranan dan pembawaan diri sebagai guru yang telah sebati dalam dirinya akhirnya beliau kembali bertugas dan ditawarkan jawatan Guru Besar sementara di Sekolah Kampung Bharu Alor Setar (kini Sekolah Menengah Sultanah Asma) menggantikan C.D. Wadell yang bercuti selama tiga bulan.

“Selepas C.D. Wadell selesai bercuti saya ditawarkan oleh jawatan kuasa pengelola sekolah itu sebagai Penolong Guru Besar namun saya menolak tawaran tersebut dan mahu berehat selama setahun. Ak­hirnya tempat C.D. Wadell telah digantikan oleh Amblewie yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran.”katanya.

Jurnal hasil tulisan Mahani Musa bertajuk Wanita Melayu, Kesedaran Pendidikan dan Pembentukan Masyarakat Malaysia Moden (Halaman 11) menyatakan, kejayaan Guru Besar, Sekolah Kampung Bharu Alor Setar, C.D. Wadell dan bekas seorang guru Penolong Penyelia Sekolah Perempuan Melayu di Selangor, Tom Abdul Razak itu menjadi faktor kejayaan dalam memajukan pendidikan murid-murid perempuan di sekolah tersebut.

Sekolah Kampung Bharu Alor Setar itu dibina pada 1922 dan ditempatkan di Istana Mak Cik Chempa Chendra, Permaisuri pertama Almarhum Sultan Abdul Hamid, Sultan Kedah yang ke-21 yang terletak di Kampung Bahru, Alor Setar.

Sekolah ini wujud dengan sokongan daripada Tengku Sulong, Tuan Syed Ahmad Idid, Ismail Putih dan Pe­nguasa Pelajaran Tuan E.A.G. Stuart.

Guru Besar yang pertama ialah C.D. Wadell. Bilangan penuntut awal­nya ialah seramai 30 orang dan jumlah ini meningkat kepada 45 orang pada 1933.

Bagi menampung mu­­rid perempuan yang se­makin ramai, sebuah ka­wasan diperlukan untuk membina sekolah. Kawasan yang terpilih untuk sekolah baharu ialah di Jalan Langgar, berhadapan Masjid Derga.

Pada 30 Januari 1954, Sulta­nah Kedah, Sultanah Asma Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ketika itu telah meletakkan batu asas sekolah itu dan memberi nama baharu untuk sekolah itu iaitu “Sultanah Asma School”.

Pada tahun yang sama murid-murid berpindah ke situ. Sekolah baharu itu dirasmikan oleh Sultan Kedah ketika itu, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada 21 Julai 1957.

Sekolah ini turut melahirkan beberapa tokoh terkenal antaranya ialah Tan Sri Dr. Salma Ismail iaitu doktor wanita pertama di Tanah Melayu.