Malah, peranan yang dimainkan Utusan Melayu sejak dizahirkan di Queen Street sehingga ke Jalan Utusan di Kuala Lumpur walaupun jalannya berliku tetapi diiktiraf oleh pemimpin tanah air khusus­nya enam Perdana Menteri yang berbeza dari Tunku Abdul Rahman sehingga kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Zainol Fakir dalam rencana bertajuk ‘Wartawan Utusan dan Politik’ yang disiarkan dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan 50 Tahun (1989) menyatakan, Tunku Abdul Rahman dalam ucapan ketika merasmikan bangunan tambahan syarikat itu pada tahun 1963 berkata Utusan Melayu adalah lidah orang Melayu dan tak dapat dipisahkan daripada perjuangan orang Melayu.

Tunku selanjutnya menga­kui bahawa Utusan Melayu adalah pendorong kepada penubuhan UMNO.

“Pengiktirafan yang sama telah disuarakan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak yang menegaskan bahawa Utusan Melayu melahirkan semangat kebangsaan (kenyataan dibuat di Utusan Melayu pada 1972).

UTUSAN Malaysia menyiarkan gambar Perdana Menteri, Tun Abdul Razak di muka hadapan dengan tajuk “Ban
UTUSAN Malaysia menyiarkan gambar Perdana Menteri, Tun Abdul Razak di muka hadapan dengan tajuk “Bangunan Tambahan Utusan dirasmi” pada 23 Jun 1972. 

“Selanjutnya, bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn menjelaskan bahawa melalui Utusan Melayu orang Melayu telah disatupadukan dan beliau menambah lagi bahawa selepas kemerdekaan Utusan Melayu menggambar dan menyarankan hasrat dan pemikiran masyarakat Melayu (Utusan Malaysia 16 Mei 1977).

Memetik rencana bertajuk “Tunku: Peranan Utusan Melayu Bukan Perkauman Tetapi Mem­bela Golongan Majoriti di Negaranya” yang disiarkan sempena 40 Tahun Utusan Melayu (1979), Tunku telah menolak tuduhan sesetengah pihak yang mengatakan Utusan Melayu memainkan soal perkauman.

Kata Tunku: “Sebenarnya apa yang disuarakan oleh Utusan Melayu bukanlah perkauman tetapi hanya sekadar membela segolongan rakyat yang besar jumlahnya di ta­nah air kita ini yang selama ini berada dalam kemunduran di setiap lapangan kalau diban­dingkan dengan golongan lainnya.

“Kalau Utusan Melayu sentiasa menyuarakan dan membangkit-bangkitkan soal perkauman seperti tuduhan sesetengah orang itu saya percaya tentulah kita tidak akan dapat mencapai kesenangan dan kebahagiaan hidup sebagaimana yang sedang kita nikmati sekarang ini,” tegas Tunku (40 Tahun Utusan Melayu 1979: 28).

Oleh itu Tunku menegaskan bahawa Utusan Melayu sebenarnya telah memainkan peranan yang besar dalam menyatu dan memadukan rakyat dalam negara kita ini.

“Utusan Melayulah yang telah menyemaikan konsep hidup berbaik-baik di kalangan orang Melayu dengan kaum-kaum yang me­numpahkan taat setia kepada negara kita ini,” kata Tunku lagi.

Menurut Datuk Abdullah Ahmad dalam rencana bertajuk Tun Razak Guna Utusan Sebagai Alat Penyedar Bangsa yang termuat dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan 50 Tahun (1989), Tun Razak ketika menjadi Perdana Menteri menyedari peranan sejarah yang telah dimainkan oleh Utusan Melayu untuk bangsa Melayu.

“Begitu juga beliau menye­dari potensi yang ada pada Utusan Melayu untuk terus membela nasib bangsa Me­layu. Kerana itulah maka dalam ‘rancangan raksasa’ Tun Razak untuk mengatasi kemunduran bangsa Melayu dalam pelbagai bidang itu, beliau telah mengenalpasti Utusan sebagai satu alat atau saluran yang sangat mustahak dan kerana itu mesti dimanfaatkan secara optimum.

Tun Razak menganggap Utusan Melayu sebagai benteng untuk memperkukuhkan dan mengekalkan kesinambungan ketuanan Melayu di negara ini. Malah, bagi beliau Utusan Melayu dianggap suatu institusi bagi meningkatkan syiar dan martabat Islam. (Abdullah Ahmad 1989: 105).

Tun Hussein Onn pula dalam rencana bertajuk Pe­ranan Utusan Melayu dalam Pencapaian Matlamat Dasar Ekonomi Baru yang disiarkan dalam 40 Tahun Utusan Melayu (1979) menyatakan pengasas-pengasas syarikat ini bukan sahaja terdiri dari pada ahli-ahli perniagaan, ahli-ahli ekonomi tetapi juga pejuang-pejuang kebangsaan tanah air.

“Sesungguhnya Utusan Melayu merupakan akhbar tulen kebangsaan yang bertindak sebagai lidah penyambung bangsa Melayu pada masa itu. Melalui akhbar ini orang-orang Melayu telah di satu padukan” (40 Tahun Utusan Melayu 1979: 40).

Sumber: Pusat Maklumat Utusan