Menurut biografi Dinamisme Mohd. Khalil Yaakob: 13 Tahun Sebagai Menteri Besar Pahang oleh Abdul Wahab Mohamad Ali (2000), faktor utama kecemerlangan Mohd.Khalil mengekalkan prestasi cemerlang itu dibantu oleh restu sepenuhnya daripada Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah yang menganggap ke­pimpinan negeri itu antara yang terbaik pernah dizahirkan.

Hubungan erat baginda dengan Mohd. Khalil yang seiring dan sejalan ibarat tiada dinding pemisah antara seorang Sultan yang menjadi payung negeri dengan pihak rakyat yang diwakili menteri besarnya.

Benarlah seperti dititahkan baginda dalam satu temuramah dengan Utusan Malaysia pada 10 Julai 1980 bahawa sepatutnya tidak ada dinding pemisah antara raja de­ngan rakyat. Falsafah baginda: “Adat resam dan protokol ada masa dan tempatnya...”.

Berdasarkan faktor itulah baginda bebas melakukan apa saja aktiviti sihat tanpa protokol bersama Mohd. Khalil seperti berenang, beristirahat di tepi pantai, membeli apam balik kegemarannya di gerai di Pekan, bersantai dan berkaraoke serta lain-lain aktiviti yang boleh mengeratkan lagi hubungan baginda dengan Menteri Besar.

Sebagai Menteri Besar, Mohd. Khalil yang berpengalaman selama 13 tahun mengemudi negeri itu telah menunjukkan ketokohannya apabila berjaya menghadapi dan menangani isu imuniti raja-raja dengan jayanya.

Sungguhpun kredit tidak boleh diberikan secara terus kepadanya ekoran keputusan Majlis Raja-raja ke-150 pada 10 dan 11 Februari 1993 yang dipengerusikan oleh Sultan Pahang, namun sebagai Menteri Besar, sumbangannya di sebalik tabir mempunyai kesan yang penting.

“Dalam menghadapi isu ini, beliau (Mohd. Khalil) dilihat lebih menyebelahi Raja-raja khususnya Sultan Pahang daripada ‘bosnya’ iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mahukan Raja-raja akur segera kepada pindaan Perlembagaan Negara tentang imuniti Raja-raja.

PENDIRIAN

“Antara lain, pindaan itu ialah mengenai pemansuhan imuniti Raja-raja daripada pendakwaan di mahkamah. Sebelum itu, Raja-raja menikmati imuniti daripada sebarang pendakwaan di mahkamah terbuka.

“Ekoran pendiriannya itu, Mohd. Khalil telah dikecam oleh banyak pihak dan menghadapi serangan dari media cetak yang sengaja menyiarkan berita hampir saban hari, menghentam kepimpinan di Pahang khususnya yang berkaitan dengan sektor pembalakan di negerinya”.

Ketika itu, Mohd. Khalil seolah-olah menentang arus tetapi beliau mempunyai keyakinan penuh terhadap pendiriannya dan apa yang dilakukannya.

Pada 20 Januari 1993, Mohd. Khalil telah membuat kenya­taan meminta Raja-raja akur dengan keputusan Dewan Rakyat, sehari sebelumnya lalu memberi pertimbangan ke arah menyetujui pindaan Perlembagaan Negara mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, hakikat bahawa Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan akta berkenaan termasuk syarat menubuhkan mahkamah khas patut menggalakkan Raja-raja memikirkan secara mendalam untuk bersetuju dengan pindaan itu.

“Kita telah dimaklumkan bahawa persoalan tentang mahkamah khas timbul hasil pertemuan Raja-raja dengan wakil-wakil kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.

“Sementelah akta itu memasukkan soal penubuhan mahkamah khas ia menggambarkan bahawa usaha untuk menyesuaikan (kehendak Raja-raja) telah dilakukan dan Raja-raja patut fikirkan langkah-langkah untuk menyetujuinya,” kata Mohd. Khalil.

Pada 10 Ogos 1993, Dewan Undangan Negeri Pahang meluluskan Undang-Undang Tubuh Pahang (Bahagian Kedua Pindaan 1993) yang antara lain membatalkan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh itu bagi menarik balik kuasa yang diberikan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan untuk memutuskan soal portfolio para ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.

AKRAB

Ketika membentangkan undang-undang itu, Mohd. Khalil berkata portfolio setiap ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri akan diputuskan menerusi proses pentadbiran ekoran pindaan tersebut.

Segala-galanya adalah sejarah kini. Dengan pendekatan Mohd. Khalil yang mengendalikan isu seperti ‘menarik rambut dari dalam tepung’ agar rambut tidak putus, tepung tidak bersele­rak, hubungan Mohd. Khalil dengan Tunku bukan sahaja bertambah akrab malah Datuk Seri Dr. Mahathir dilihat seperti menaruh lebih keya­kinan kepada kepimpinannya di negeri Pahang.