Profesor Dr. Nik Anuar Nik Mahmud dalam catatan Kata Pengantar karya Tunku Abdul Rahman ‘13 Mei: Sebelum dan Selepas’ (2007) menyatakan, rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah peristiwa tragis yang terburuk dialami penduduk Kampung Baru sejak sebelum dan selepas merdeka.

Semasa peristiwa berdarah itu berlaku, Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru telah dijadikan sebagai pusat perlindungan orang-orang Melayu yang melarikan diri daripada terperangkap dalam rusuhan kaum terburuk dalam sejarah itu dari kawasan berdekatan dan sekitar Chow Kit.

Kelab itu turut dijadikan markas tentera darat dan polis hutan berkampung sebelum menjalankan operasi bagi menguatkuasakan perintah berkurung yang diisytiharkan di seluruh Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah dengan kebijaksanaan pemimpin dan semangat setiakawan rakyat, bencana itu telah dapat ditangani dan negara kembali pulih seperti sediakala.

“Banyak pengajaran yang diperoleh daripada bencana itu. Antara yang terpenting ialah peri mustahaknya memperkukuhkan perasaan muhibah dan ikatan perpaduan antara kaum demi kestabilan politik dan keselamatan Malaysia yang berbilang kaum ini” (Nik Anuar Nik Mahmud 2007).

Menurut Nik Anuar, dakwaan kononnya rusuhan kaum yang tercetus di Kampung Baru sengaja dirancang oleh ‘kapitalis Melayu’ yang didalangi Tun Abdul Razak Hussein sebagai Ketua Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) adalah tidak benar sama sekali. Malah Tun Razak adalah penyelamat Kampung Baru dan negara dari musnah oleh api perkauman

“Dalam penulisannya Tunku tidak pernah menganggap peristiwa itu sebagai suatu rampasan kuasa. Memang benar Tunku mengakui bahawa akibat peristiwa berdarah itu ada segelintir ahli UMNO yang beliau labelkan sebagai ‘pelampau’ ataupun bijak pandai yang tidak menyenangi beliau kekal sebagai Perdana Menteri. Tetapi perasaan tidak puas hati bukan penyebab kepada berlakunya rusuhan” (Nik Anuar Nik Mahmud 2007).

Menurut Nik Anuar, melalui penelitian beliau, Tunku merumuskan bahawa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah angkara golongan pelampau dan golongan komunis. Kedua-dua golongan ini tegas Tunku sejak merdeka lagi berusaha untuk mencetuskan kekacauan di negara ini.

“Akibat provokasi golongan ini ketegangan kaum terjadi dan rusuhan kaum berlaku” tegas Nik Anuar.

Satu lagi peristiwa berlaku pada akhir awal tahun 1971 akibat seluruh Kuala Lumpur dilanda banjir besar sehingga menenggelamkan bangunan ikonik Sultan Abdul Samad.

Ketika itu, hanya Kelab Sultan Sulaiman menjadi tempat selamat bagi perlindungan mangsa-mangsa banjir Kampung Baru yang turut menenggelamkan kampung-kampung berdekatan.

Khas untuk Melayu

Menurut Profesor Zuraina Majid menerusi buku Kelab Sultan Suleiman: Memperkasa Warisan Negara (2009), penempatan Kampung Baru sememangnya dikhaskan oleh Sultan Selangor untuk diduduki orang-orang Melayu sahaja sejak perkampungan terawal itu dibuka sekitar 1880-an lagi.

“Bangsa lain selain daripada Melayu tidak dibenarkan tinggal di kawasan ini (Kampung Baru) seperti yang tercatat dalam Warta Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu” (Zuraina Majid 2009: 31).

Tanah seluas 225 ekar dari Sungai Klang hingga Batu Road termasuk Kampung Baru, Chow Kit dan Jalan Ampang disediakan untuk penempatan penduduk Kampung Baru seperti yang termaktub dalam Warta Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Pada tahun 1899, pentadbiran British di Selangor telah mengekalkan pemilikan tanah yang khas kepada Sultan Selangor di bawah sistem ‘Malay Agricultural Settlement’ (M.A.S.).

“Malay Agricultural Settlement menjadi milik mutlak Sultan Selangor” (Zuraina Majid 2009: 21).

Menurut Zuraina, dalam Mesyuarat Pertama Lembaga Pengurusan Pentadbiran Malay Agricultural Settlement yang diadakan pada 11 Mac 1900, beberapa keputusan telah diambil antaranya menyediakan pembangunan penempatan di Kampung Baru seperti perumahan serta kemudahan prasarana seperti sekolah, masjid dan kemudahan elektrik.

Selangor ketika itu yang diperintah oleh Sultan Sir Ala’eddin Sulieman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1898-1938) turut mengasaskan Masjid Jamek Kampung Baru pada tahun 1908.