“Ku ingin kotakan 
seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah 
penyambung warisan.

Itu bait lirik judul lagu Wari­san dendangan seniman agung, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang sering berkumandang di corong-corong radio setiap kali sambutan Bulan Kebangsaan tiba.

Demikianlah bait lirik yang menceritakan pengorbanan perwira negara yang tiada galang ganti, begitu juga buat perjalanan seniman agung itu yang penuh riang ria, nostalgia sehingga akhirnya dihiris kehilangan.

Sebut sahaja nama Su­dirman, sudah terpatri dalam kotak pemikiran bahawa beliau adalah ‘Penghibur Milik Masyarakat’ kerana setiap untaian lagu nyanyiannya seolah-oleh begitu dekat dengan jiwa rakyat.

Penghibur nombor satu Asia itu dilahirkan pada 25 Mei 1954 yang bukan sahaja dianugerahkan bakat menyanyi bahkan mempunyai keistimewaan lain seperti menggubah lagu, menulis, melukis kartun dan berlakon. Beliau juga merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) pada 1980.

Pelantun lagu Pelangi Petang itu menjalani latihan guaman pada 1983 dan diiktiraf sebagai peguam setahun selepas itu. Bagaimanapun, beliau meninggalkan bidang guaman demi bidang seni sebagai kerjaya hakikinya.

Anak jati Temerloh, Pahang itu menjadi perhatian masyarakat sekitar tahun 1980an hingga 1990an dengan lagu Terasing, Basikal Tua, Milik Siapakah Gadis Itu, Antara Hujan dan Air Mata, Merisik Khabar dan Salam Terakhir.

Utusan Malaysia pada 21 Mac 1989 melaporkan beliau memenangi Anugerah Muzik Popular Asia di Royal Albert Hall, London menewaskan pesaing terdekat Anita Sarawak yang mewakili Singapura serta Leslie Cheung (Hong Kong).

“Sudirman yang juga diiktiraf sebagai Elvis Malaysia berjaya menawan hati juri menerusi lagu Smile dan Send in The Clown yang dinyanyikan dengan gaya lucu mengikut perwatakan pelawak terkenal, Charlie Chaplin serta sebuah lagu baharu ciptaan Michael Veerappan, A Thousand Million Smiles yang berjaya mencuri hati penonton di Albert Hall itu.

“Pertandingan yang dianjurkan buat pertama kali hasil ilham bekas pengurus kumpulan pop Wham, Simon Napier-Bell itu bertujuan memilih penyanyi terbaik dari negara Asia yang mirip kepada pertandingan Euro Vision Song Contest,” tulis wartawan, Razak Rashid Ghows ketika itu.

Menurut Utusan Malaysia lagi, Sudirman menempa nama dalam Malaysian Book of Records pada 15 April 1986 setelah mengadakan konsert gergasi secara percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Seniman rakyat itu berjaya memikat serta memukau hampir 100,000 warga kota untuk berpusu-pusu membanjiri jalan itu. Lagu yang dinyanyikan oleh juara Bintang RTM 1976 itu ialah Chow Kit Road! Chow Kit Road! yang diakhiri dengan lagu patriotik sambil memakai bendera Malaysia.

“Jalan Chow Kit pada era Sudirman adalah tempat bagi golongan marhaen yang menjadi simbol buat golongan kebanyakan yang merupakan peminat setia beliau.

“Konsert jalanan secara percuma adalah sebagai bukti terima kasih kepada peminatnya yang tidak mampu menyaksikan persembahan di hotel yang lazimnya merupakan tempat diadakan sesuatu persembahan. Maka jelas Sudirman adalah penghibur jalanan yang tidak materialistik,” lapor Utusan Malaysia.

‘Langit tidak selalunya cerah, awan tidak selalunya mendung kerana bagaikan pelangi petang, kau kan pasti pergi jua.’

Suratan takdir telah tertulis pada pukul 4 pagi, 22 Februari 1962, Sudirman pergi buat selama-lamanya ketika menjengah usia 37 tahun di rumah kakaknya, Rudiah Arshad di Lucky Garden, Bangsar Park, Kuala Lumpur.

Derita tujuh bulan menghidap penyakit radang paru-paru hanya diketahui oleh keluarga terdekat. Betapa Sudirman tidak mahu peminatnya mengetahui derita yang dialami kerana baginya biarlah sisi gembira, kelincahan sebagai hero pentas dan penghibur hebat menjadi ingatan peminat.

Namun, tajuk muka depan Mingguan Malaysia pada 23 Februari 1992 -‘Sudirman pergi buat selama-lamanya’ telah meragut emosi rakyat Malaysia kerana hilangnya sebutir permata yang tiada galang ganti.

Laporan itu juga turut memaparkan rasa simpati biduanita negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini yang menyifatkan Sudirman sebagai artis yang bersifat mulia.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan