Hubungan erat raja dan rakyat inilah yang memberikan kuasa kepada kerajaan-kerajaan monarki tradisional sebelum ini sehingga berjaya merubah bukan sahaja persempadanan geografi, malahan pola pemikiran manusia berteraskan ideologi tertentu sekali gus ‘mewajahkan’ negara feudal yang diwarisi itu meraih pengiktirafan dunia dan masyarakat antarabangsa.

Pensyarah Kanan Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Hairol Anuar Mak Din dalam Seminar Serantau Peradaban dan Pemikiran Islam ‘Melayu Diaspora: Perkembangan dan Cabaran’ pada 4-9 November 2016 di Perth Australia bertajuk Warisan Sistem Beraja di Malaysia: Ulasan Buku ‘Dustur Wa Salatin’ (Perlembagaan dan Para Sultan) menyatakan, institusi beraja yang diamalkan sebahagian negara di serata pelosok benua merupakan sistem tertua di dunia yang berteraskan kerajaan beraja monarki mutlak dan berperlembagaan.

Menurut Hairol, sebahagian negara mengamalkan sistem beraja secara monarki mutlak, manakala sebahagian lainnya pula disantuni oleh Perlembagaan yang termaktub dalam undang-undang bertulis negara masing-masing.

“Sebagai contoh perban­dingan, di Jepun melalui Akta Pengurusan Diraja Jepun, seseorang Maharaja itu perlu berkhidmat sepanjang hayat. Seandainya baginda tidak mampu menjalankan tugas, tanggungjawab itu bakal dipikul oleh Putera Mahkota atau pemangkunya.

“Sementelahan pula di Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan jawatan Ketua Negara yang dilantik secara bergilir-gilir dalam kalangan sembilan orang raja yang memerintah di negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia” (Hairol Anuar Mak Din 2016).

Menurut Hairol lagi, selain itu raja tidak semestinya lelaki kerana terdapat juga raja yang terdiri dalam kalangan wanita seperti Ratu Margrethe II yang menjadi Ratu Denmark dan Queen Elizabeth II, Ratu England yang memerintah United Kingdom ketika ini. Baginda Queen Elizabeth II merupakan pemerintah paling lama memerintah United Kingdom dalam era moden.

“Walau apa jua pun, bagi rakyat jelata, raja itu adalah simbol kepercayaan, kedaulatan, kesetiaan dan kemajuan sesebuah negara” (Hairol Anuar Mak Din 2016).

Selain Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan raja-raja Melayu di Sembilan buah negeri di Malaysia, masih terdapat raja-raja yang memerintah di serata benua dunia antaranya Queen Elizabeth II (Ratu England), Raja Narahito (Jepun), Raja Salman Abdul Aziz (Arab Saudi), Sultan Haji Hasanal Bolkiah (Brunei), Raja Harald V (Norway), Raja Bhumibol Adulyadej (Thailand), Raja Mswati III (Swaziland) dan lain-lain.

Utusan Malaysia pada 30 April 2019 melaporkan Maharaja Akihito, 85, mencipta sejarah baharu sistem pemerintahan Jepun dalam tempoh 200 tahun apabila baginda menjadi Maharaja Jepun pertama yang turun takhta serta melepaskan gelaran itu kepada anak sulungnya, Putera Mahkota Naruhito, 59, mulai 30 April 2019.

Pavin Chachavalpongpun dari Pusat Pengajian Sejarah Asia Tenggara Universiti Kyoto yang menulis artikel bertajuk Monarchies in Southeast Asia (Kerajaan Beraja di Asia Tenggara) yang tersiar dalam Kyoto Review of Southeast Asia pada 13 Mac 2013 menyatakan, Raja Bhumibol Adulyadej termasuk senarai raja paling lama memerintah di dunia dan merupakan pusat daripada kesatuan politik Thailand. Baginda naik takhta pada tahun 1946, setelah Raja Ananda Mahidol dibunuh secara misteri.

Menurut Pavin, Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei pula telah menunjukkan kemam­puan untuk mempertahankan legitimasi dari pemerintahan ‘absolute’ (mutlak) yang ba­ginda pimpin di tengah-tengah era negara demokrasi.

Raja Kemboja, Sihamoni walaupun sebahagian besar hanya berfungsi dalam upacara adat, tetapi turut memainkan peranan utama dalam pembentukan identiti nasional Khmer.

“Tetapi posisi monarki di Kemboja telah menjadi tidak jelas setelah kematian raja sebelumnya yang sangat popular, Raja Norodom Sihanouk pada Oktober 2012.

“Malaysia pula menggunapakai sistem monarki berdasarkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang merupakan institusi tertinggi yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia” (Pavin Chachavalpongpun 2013).

Institusi beraja di Brunei Darussalam merupakan ins­titusi tertua di rantau Alam Melayu yang wujud sejak abad ke-5 Masehi lagi.

Menurut buku Sejarah Sultan-Sultan Brunei (2015), sistem beraja ini telah wujud melebihi daripada 1,000 tahun apabila Awang Alak Betatar memeluk agama Islam dan bergelar Sultan Muhammad Shah (1363-1402), Sultan Brunei yang pertama.

Baginda merupakan Sultan Brunei yang pertama memeluk agama Islam setelah berkahwin dengan Puteri Johor (Kerajaan Singapura Tua).