Dalam kejadian itu, bantahan ribuan pelarian Vietnam terhadap keputusan kerajaan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal bertukar menjadi ganas sehingga sukar dikawal.

Selain mencederakan anggota pasukan keselamatan, kumpulan perusuh yang dilengkapi senjata berbahaya ketika itu turut membakar tiga blok kediaman pelarian yang menempatkan lebih 4,500 pendatang haram dari negara berkenaan.

Kekecohan yang tercetus memaksa ribuan anggota ke­selamatan dikerah ke tempat kejadian bagi mengawal kea­daan.

Selepas lebih 20 tahun mendapat perlindungan dan laya­nan baik oleh kerajaan, pelarian Vietnam bertindak mengganas dengan mencetuskan kekecohan yang menjadi antara rusuhan terbesar pernah berlaku di negara ini.

AKHBAR Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk Pelarian merusuh lagi pada 19 Januari 1996.
AKHBAR Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk Pelarian merusuh lagi pada 19 Januari 1996. 

Tindakan ganas kumpulan perusuh itu menyebabkan tiga blok kediaman di Kem Transit Sementara Sungai Besi yang menempatkan lebih 4,500 pelarian Vietnam musnah sama sekali.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 Januari 1996 memuatkan berita ‘Pelarian merusuh lagi’ melaporkan, Ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Timbalan Pesuruhjaya (TPjP),Datuk Ismail Che Rus berkata, anggota polis terpaksa melepaskan tembakan yang mencederakan beberapa orang pelarian dalam keadaan yang tegang apabila diserang oleh perusuh-perusuh itu.

Rusuhan itu bermula pada pukul 6 pagi ketika polis meng­adakan operasi bagi merampas senjata-senjata berbahaya yang terdapat di kem tersebut.

“Pelarian-pelarian itu ber­tindak menyerang polis menggunakan bom buatan sendiri dan lastik. Kejadian itu memaksa polis menangguhkan operasi mencari dan merampas senjata berbahaya itu.

“Semasa membuat penangguhan operasi, kami membuat pengumuman kepada pelarian itu supaya mereka menyerah diri,” katanya.

Laporan itu memetik, eko­ran pengumuman itu, kira-kira 600 pelarian menyerah diri, manakala yang lain masih berdegil dan kedegilan itu memaksa polis menggunakan gas pemedih mata bagi memboleh­kan memasuki kem itu.

Bagaimanapun, para perusuh itu bertindak lebih ganas dengan membakar blok pertama yang menempatkan pela­rian bujang pada pukul 9 pagi dan blok kedua (blok kela­min) pada pukul 1 petang,” katanya.

Insiden rusuhan yang berlangsung selama lebih 16 jam dan menyebabkan kebakaran besar kedua-dua blok itu turut menggemparkan warga kota khususnya mereka yang tinggal di sekitar Sungai Besi dan Bukit Jalil. Kepulan asap yang menjulang tinggi dikatakan dapat disaksikan dari jarak puluhan kilometer.

Dalam operasi mengawal rusuhan itu, seramai 1,200 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada anggota polis, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), bomba dan Pasukan Gerakan Am (PGA), unit pengesan bom dan unit anjing pengesan dikerahkan ke tempat kejadian.

Serbuan awal polis ketika itu berjaya menemui pelbagai senjata tajam seperti lembing, parang, senapang panah dan pedang yang dihasilkan oleh kumpulan perusuh.

Dalam rusuhan itu mengorbankan seorang pelarian dan mencederakan lebih 10 anggota yang terlibat dalam operasi mengawal keselamatan tersebut.

Berdasarkan kenyataan rasmi Dewan Negara yang dibaca oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berhubung insiden tersebut, kekecohan dipercayai berpunca daripada sikap tidak puas hati pelarian terhadap keputusan kerajaan yang mahu menghantar mereka pulang ke negara asal.

“Pelarian Vietnam cuba menunjukkan bantahan dan mendapatkan simpati dunia terhadap rancangan kerajaan menghantar mereka pulang ke Vietnam yang sudah dipersetujui oleh Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

“Mereka juga masih menaruh harapan untuk dihantar menetap ke negara ketiga yang mereka anggap dapat memberikan perlindungan walaupun permohonan mereka ditolak oleh negara berkenaan,’’ katanya.

Pilihan kumpulan pelarian ketika itu adalah untuk mendapatkan tempoh perlindungan lebih lama di negara ini sementara menunggu giliran dihantar ke negara-negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Australia, Perancis, Kanada dan Eropah yang dikelola oleh UNHCR.

Bagaimanapun, atas syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh badan antarabangsa itu, keutamaan mengikuti program pemindahan ke negara ketiga itu hanya melibatkan pelarian yang mempunyai kelayakan profesional.

Tersepit dalam keadaan itu, sebahagian daripada pelarian turut berusaha meraih simpati antarabangsa sehingga mendapat perhatian dari negara luar.

Kenyataan yang sama juga menyatakan pemberontakan berpunca daripada tindakan kerajaan membina pagar berangkai di kem berkenaan bagi mengasingkan kumpulan pelarian yang bermati-matian enggan dihantar pulang dengan puak yang lebih bertimbang rasa.

Ia merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan untuk menghalang kumpulan hardcore daripada menghasut kumpulan pelarian yang lain.

Dalam rundingan itu, kumpulan pelarian mendesak kerajaan supaya tempoh perlindungan dilanjutkan kerana mereka takut pulang ke negara asal.

Mereka tidak berani pulang kerana takut dikenakan hukuman mati oleh pemerintah komunis negara itu. Rundingan menemui jalan buntu sehingga tercetusnya rusuhan.