Piala Ovaltine – kejohanan tahunan yang diperkenalkan pada 1981 dengan tajaan Wander Co. Ltd. turut merupakan pertembungan jiran (derby match) antara kedua-dua pa­sukan kebangsaan yang dipisahkan oleh Selat Tebrau tetapi dihubungkan Tambak Johor itu.

Wujud tanggapan popular ketika itu bahawa sebuah pasukan kebangsaan Malaysia yang dibarisi bintang handalan pelbagai negeri, begitu perit untuk menewaskan barisan pemain republik di pulau yang hanya seluas 722.5 kilometer persegi itu dalam siri persahabatan mahupun kejohanan antarabangsa.

Para peminat sering terta­nya-tanya mengapa Selangor, sebuah pasukan negeri sahaja sudah mampu menjinakkan Sang Singa untuk menjulang Piala Malaysia antaranya dalam babak final yang dramatik, 1-0 (1975), 3-0 (1976), 4-2 (1978), 2-0 (1979) dan 4-0 (1981).

Edisi sulung Piala Ovaltine pada 1981 menyaksikan sejumlah hadiah wang tunai turut ditawarkan Wander, pengeluar jenama minuman coklat malt Ovaltine iaitu S$25,000 buat juaranya manakala pasukan kalah tetap meraih sagu hati sebanyak S$10,000.

Format pertandi­ngannya ialah dua perlawanan timbal balik dengan kiraan agregat gol menjadi penentu sekiranya keputusan terikat sambil Stadium Nasional, Singapura dan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur dipilih sebagai venue siri ‘Perang Jiran Tambak’.

Malaysia membariskan Pe­ter Rajah, R. Arumugam, Chow Chee Keong, Jamal Nasir Ismail, Santokh Singh, G. Torayraju, Yip Chee Keong, Shukor Saleh, Ahmad Yusoff, Zulkifli Hamzah, James Wong, Mokhtar Dahari, Khalid Ali, Yahaya Jusoh, Hassan Sani dan Muhidin Hussin.

Skuad kendalian Karl Heinz Weigang menjadikan siri Piala Ovaltine 1981 pada 5 dan 17 April 1981 sebagai pemanas badan menjelang misi lebih penting Kelayakan Piala Dunia Kumpulan 3 Asia di Kuwait, seminggu kemudian yang menemukannya dengan tuan rumah, Korea Selatan dan Thailand.

Fandi Ahmad menyelamatkan maruah Singapura yang dibimbing Jita Singh di Stadium Nasional dengan jaringan penyamaannya untuk mengikat Malaysia 1-1.

Penyerang yang turut mengecewakan Selangor 2-1 untuk merampas Piala Malaysia pada 1980 itu digandingkan dengan Mohamed Noh dan Quah Kim Song di barisan depan selain disokong T. Pathmanathan, Lim Tang Boon dan Hashim Hosni dari tengah.

Di Stadium Merdeka tanggal 17 April 1981, Singapura yang dipimpin Samad Allapitchay, mengesahkan status pemilik sulung Piala Ovaltine juga dengan dua sentuhan berbisa Fandi yang baru berusia 18 tahun pada minit ke-32 dan 86 biarpun Chin Aun sempat menyamakannya buat Malaysia, dua minit sebelum gol kedua lawan.

Bagi Malaysia, kekalahan mengejut kepada Singapura bagaikan memberi isyarat dan amaran awal tentang ‘retak menanti belah’ dalam barisan bintang negara bimbingan Weigang di Kuwait yang masih dibuai kejayaan mara ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas menjuarai Kelayakan Kumpulan 2 Asia di Stadium Merdeka.

Pasukan dikatakan sudah berpuak-puak, yang senior gemar membuli si junior, layanan dua darjat buat pemain tertentu dan akhirnya, ‘Galacticos Malaysia’ termasuk dua pemain liga profesional Hong Kong, Chow dan Yip Chee Keong terkulai longlai dibenam Korea Selatan 2-1, Kuwait 4-0 dan seri 2-2 dengan Thailand.

Khalid, Santokh, Arumugam dan James (penjaring gol menentang Korea) serta beberapa tonggak senior me­rupakan antara yang digugurkan daripada skuad negara itu malah sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyiasat ‘Bencana Kuwait 1981’ itu.