Tarikhnya 30 Mei 1978 dan minit ke-32 perlawanan persahabatan itu merakamkan gol emas yang menyamakan keputusan 1-1 selepas pelawat bim­bingan (mendiang Sir) Bobby Robson mendahului menerusi Alan Kennedy pada minit ke-14.

Pencipta gol itu hanyalah penyerang amatur sedangkan lawan dibarisi bintang profesional bernilai AS$13 juta seperti Kennedy, Gordon Hill, Viv Anderson dan Paul Mariner malah Corrigan - penjaga gol ketiga skuad Piala Dunia England 1982.

Jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari ini merupakan antara koleksi detik hebatnya sepanjang menyarung jersi pa­sukan negara sejak Kejohanan Ulang Tahun Jakartaraya 1972 hingga Kelayakan Piala Dunia 1985.

10 hari lalu, genap 28 tahun kembalinya arwah ke rahmatullah pada usia 38 tahun selepas bertarung nyawa dengan penyakit motor neuron (lemah daya otot dan saraf) yang me­nyerangnya hampir tiga tahun.

Pemergiannya kira-kira pukul 8.25 pagi 11 Julai 1991 di sebuah hospital di Subang Jaya, Selangor itu meninggalkan seorang balu, Tengku Zarina Tengku Ibrahim dan tiga anak – Mohd. Reza, Nur Azera dan Nur Arina.

Setiap kali selepas menja­ringkan gol, Mokhtar akan melepaskan tumbukan tangan kanannya ke udara sebanyak tiga kali tanda kepuasan peribadi dan hadiah buat peminat. Robson turut kagum, katanya, “gol yang antara terbaik pernah saya saksikan.”

Hill juga penyerang England, meluahkan kekaguman dalam kolumnya yang disiarkan majalah bola sepak terkenal, Shoot! - “Seorang lelaki bernama Hero Dahari menjaringkan gol penya­maan untuk seri 1-1 dengan England B.”

Seperkara menarik ialah Mokh­­­tar memang gemar me­nyim­pan keratan akhbar tempatan dalam buku skrap yang mela­porkan beritanya malah membuat catatan dan mengga­riskan perkataan tertentu yang penting baginya.

Keratan kolum Hill dalam Shoot! itu turut bermakna besar baginya. Sekalipun empat perenggan sahaja, itulah penghargaan seorang penyerang kepada seorang penyerang yang pernah berentap sesama mereka.

Tanggal 11 Mei 1975, dua golnya turut menghampakan penjaga gol Arsenal, Geoff Barnett dan tiga rakan sepasukan yang juga pemain England untuk Malaysia menang 2-0 di hadapan 30,000 penonton di stadium sama. Kata pengurus Gunners, (mendiang) Bertie Mee, “penyerang anda deras, aset yang tidak ternilai buat mana-mana pasukan.”

Setahun kemudian, majalah World Star Soccer mengiktiraf­nya sebagai Penyerang Terbaik Asia malah anak jati Setapak, Kuala Lumpur ini dinobatkan Olahragawan Kebangsaan oleh Majlis Sukan Negara di samping ratu trek olahraga, (Datuk) Marina Chin selaku Olahragawati Kebangsaan.

Empat pingat juara Pestabola Merdeka 1973, 1974, 1976 dan 1979, dua pingat emas Sukan SEA 1977 dan 1979 dan sebutir pingat gangsa Sukan Asia 1974 merupakan buah tangan berharga ‘Supermokh’ buat negara yang masih tiada tandingannya sehingga hari ini.

Lima golnya dalam perlawanan Kumpulan C Sukan Asia itu, membantu Malaysia membelasah Filipina 11-0 sebelum skuad bimbingan (Allahyarham) Jalil Che Din ini yang mulanya kalah 8-3 kepada Israel, mengucup gangsa selepas menumpaskan Korea Utara 2-1.

Kesetiaannya kepada Sela­ngor tidak berbelah bahagi. 10 pingat juara Piala Malaysia diraihnya bersama Merah Kuning sejak 1971 malah dia kembali atas permintaan ramai daripada persaraan 1986 untuk berkhidmat semusim lagi.

Diego Maradona menjulang Piala Dunia 1986 di Mexico namun bintang Argentina yang mewakili kelab Boca Juniors ke­tika itu sempat merasai pe­nangan ‘Harimau Berantai Ma­laysia’ ini dalam perlawanan persahabatan menentang Pilihan Selangor pimpinannya pada 13 Januari 1982.

Sebuah majalah terbitan Kumpulan Utusan, Dunia Sukan menyiarkan kolum khas ‘Mokhtar Dahari Menulis’ sehingga ada antara tulisannya yang kurang disenangi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Watak cameonya turut menghiasi filem Mekanik arahan Othman Hafsham pada 1983.

Jasa Allahyarham sentiasa di­kenang kerajaan apabila pada 8 Mei 2010, Kementerian Belia dan Sukan menamakan gelanggang Kompleks Futsal Putrajaya, ‘Gelanggang Mokhtar Dahari’ manakala Akademi Bola Negara Mokhtar Dahari dibuka sebagai sebahagian Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Bakat besar bola sepaknya turut diwarisi anak sulungnya, Redza yang kini berusia 38 tahun. Bermula sebagai pemain skuad bawah 14 tahun Kuala Lumpur, dia menganggotai skuad Piala Presiden Selangor 1999 hingga 2003, Sukan Malaysia (Sukma) 2000 dan 2002 serta Piala Emas Raja-raja 2000 dan 2003.