Wan Hamzah Awang (Wahba) dalam artikel bertajuk “Saya Rasa Terhina: Samad Said Hurai Sebab Sebenar Mogok Seni” yang disiarkan oleh Mastika edisi Januari 1990 menyatakan, apa yang lebih menakjubkan, tindakan Pak Samad itu dilakukan seorang diri, beliau mogok tidak mahu menulis dan tidak mahu terlibat dalam sebarang kegiatan sastera lagi.

Menerusi temuramah khas yang disiarkan oleh Mastika itu Pak Samad menyatakan, ‘Mogok Seni’ bukan mogok biasa seperti yang dilancarkan oleh pekerja-pekerja pengangkutan awam atau lain-lain mogok yang menuntut sesuatu gaji atau upah.

SASTERAWAN Negara Datuk A. Samad Said.
SASTERAWAN Negara Datuk A. Samad Said. 

“Mogok Seni ini sebenarnya bukan macam mogok bas, mogok kereta api atau mogok-mogok yang lain. Kalau mogok bas atau keretapi ada benda yang mereka hendak tuntut. Hendak naik gaji umpamanya. Mereka menuntut gaji dari majikan mereka. Saya tak ada majikan. Saya penulis bebas.

“Mogok seni saya ini lebih bersifat mogok hati nurani. Sukar hendak saya terangkan lebih jelas tetapi ada sesuatu yang hendak saya protes. Bukan untuk saya sahaja tetapi untuk orang lain juga. Saya hanya sebagai landasan saja,” jelas Pak Samad.

BIROKRASI

Ditanya adakah Mogok Seni itu didorong oleh masalah pembayaran royalti, Pak Samad membe­ritahu itu antara masalahnya tetapi ada sebab lain yang lebih serius daripada itu.

Pak Samad mengakui mogok itu dilancarkan ke­rana ada sesetengah mereka yang terlibat dalam birokrasi “kurang rasa, kurang reti dan kurang visi”.

ROYALTI

“Pada 1987 apakala saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, saya terlebih dahulu telah mendatangi beberapa orang rakan yang terlibat dalam birokasi ini memberitahu saya akan berhenti kerja makan gaji dan akan hidup sepenuhnya dari hasil penulisan sastera.

“Saya mahu menulis sastera…sastera tulin (pure literature), dan saya mahu hidup dari penghasilan buku-buku sastera tulen ini. Saya beritahu mereka dengan harapan mereka akan membantu saya, memahami saya dan mengawasi saya dalam bentuk pembayaran royalti hasil dari buku-buku saya yang sudah diterbitkan.

“Apa yang saya maksudkan minta kerjasama di sini bukan pembayaran royalti khusus… saya tak minta itu… apa yang saya minta ialah sedikit kelonggaran di mana saya boleh mendapat royalti di waktu-waktu saya mengalami ke­sempitan,” beritahu Pak Samad.

MEMALUKAN

Menurut Pak Samad lagi, apa yang menimbulkan masalah ialah apabila pihak birokrasi terlibat adakalanya tidak memahami masalah beliau yang kesempitan dan memerlukan wang hasil royalti untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Adalah memalukan kalau di antara penulis, tak ada yang boleh hidup di atas hasil penulisan yang sastera yang ‘proper’.

“Kalau hendak hidup atas penulisan berdasarkan cerita-cerita hantu, buku-buku remaja, buku-buku cinta atau buku-buku nota SPM boleh hidup tetapi saya mahu yang lain daripada itu.

“Saya mahu tulis buku literature… pure literature (sastera tulen),” tegas Pak Samad.

Utusan Malaysia turut me­laporkan kenyataan Pak Samad bertajuk: “Kerumitan pembayaran royalti kecewakan saya” yang disiarkan pada 4 Mei 2000 antara masalah yang menyumbang mengapa sasterawan negara itu melancarkan Mogok Seninya pada 23 Julai 1989.

 

BERSAMBUNG…

  • ESOK: A. Samad Said bukan ego