Menurut buku biografi Tan Sri Datuk Indera Dr. Abdul bin Aziz Abdul Rahman: On Cource from take-off to touch down (2017) oleh Sharifah Mariam Syed Mansor Al-Idrus dan Pancaran Wau Emas oleh Amir Tan (1994), setelah melalui langkah drastik bagi mengurangkan per­belanjaan secara berhemah dan usaha-usaha pemulihan dibuat, prestasi MAS semakin bertambah baik di bawah teraju Penga­rah Urusannya, Abdul Aziz Abdul Rahman.

“Ini jelas terbukti dalam laporan tahunan 1982/1983 apabila MAS buat pertama kalinya mencatatkan keuntungan sebanyak RM10.041 juta.

“Dengan keuntungan MAS ini, para pekerja telah diberi bonus sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat cemerlang mereka. Ia merupakan ganjaran pertama diterima oleh anak buah Abdul Aziz sejak MAS ditubuhkan pada 1971” (Biografi Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman).

Ahli-ahli Lembaga Pengarah MAS yang terdiri daripada Pe­nge­rusinya, Raja Tan Sri Mohar Raja Badiozaman, Azman Hashim, Yap Lin Sen, Datuk Sulaiman Sujak langsung tidak membantah apabila Abdul Aziz menyatakan hasratnya untuk memberi bonus kepada pekerja MAS. Malah, kesemua ahli lembaga pengarah bertepuk tangan sebagai tanda menghargai prestasi cemerlang MAS yang diterajui oleh Abdul Aziz.

Sejak itulah prestasi cemerlang MAS telah menjadi buah mulut semua orang, bukan sahaja dalam kalangan pekerja MAS, bahkan meniti dari bibir ke bibir kalangan tokoh politik, pemain industri penerbangan dan tokoh-tokoh korporat negara yang kagum bagaimana sebuah syarikat yang menanggung kerugian besar sebanyak RM39 juta kini ‘take-off’ menuju puncak kege­milangannya.

Menurut Abdul Aziz, era baru MAS bermula apabila syarikat penerbangan negara itu disenaraikan sebagai syarikat awam yang pertama di bawah Dasar Penswastaan Negara ketika Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1985.

MAS telah menawarkan saham bernilai RM52.5 juta de­ngan harga RM1.80 sen seunit. Tawaran secara terbuka itu te­lah berjaya menarik 267,050 pela­bur yang melibatkan 398,154,000 saham bagi jumlah nilai yang ditetapkan. Berdasarkan pada jumlah bilangan permohonan, saham MAS telah melebihi langganan sebanyak 6.58 juta kali ganda.

“Daripada sambutan yang amat menggalakkan ini jelas menunjukkan keyakinan ma­sya­rakat terhadap prestasi dan masa depan MAS era baru telah bermula,” akui Abdul Aziz. MAS mele­takkan dirinya se­tan­ding dengan syarikat-syarikat pe­nerbangan antarabangsa apa­­bila termeterainya, perjanji­an penerbangan ke Tokyo, Los Angeles dan kembali ke Kuala Lumpur, perkhidmatan ke London dan Sydney telah ditambah dan terbitan saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE).

Menjelang 1991, kedudukan MAS nyata kian bertambah kukuh dengan memiliki 64 buah pesawat sendiri daripada pelbagai jenis iaitu B747-4H6P, B747-4H6C, B747-3H6C, B747-236B, A300, B747-200, DC10-30, F50 dan jenis DHC6, sementara jenis B747-200-36B, A300B, B737-400 dan B737-200 dipajak oleh MAS. Destinasi MAS juga semakin bertambah meliputi hampir tiga suku bandar terbesar di dunia.

Bagi Abdul Aziz ini adalah kejayaan semua pekerja MAS yang selama ini telah membuktikan bahawa dalam dunia ini tidak ada perkara yang mustahil sekiranya setiap kebolehan dan tenaga yang ada digembleng bagi mencapai impian pancaran ‘Wau Emas’ negara.

Abdul Aziz sudah menetapkan di hati kecilnya sebelum melangkah keluar dari organi­sasi yang menjadi darah da­ging­nya, untuk memberikan suatu penghargaan kepada 17,000 kakitangan MAS yang penuh dedikasi menjulang dan mele­takkan nama MAS ke mercu kecemerlangan.

Ketika Abdul Aziz mencadangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah supaya MAS memberi bonus tiga bulan gaji, bilik mesyuarat itu tiba-tiba menjadi sunyi sepi.

Apakah ini suatu gurauan? Tidak. Ahli Lembaga tahu Abdul Aziz tidak pernah bergurau, tambahan pula ini mesyuarat rasmi.

Bonus sebanyak tiga bulan itu dirasakannya sudah cukup wajar berbanding dengan keun­tu­ngan yang diperoleh MAS sekitar RM250 juta hingga RM300 juta.

Bagi membayar bonus itu MAS perlu membelanjakan se­ki­tar RM60 juta, suatu jumlah yang berbaloi dari syarikat nasional yang semakin berdaya maju.

“Saya yakin MAS akan terus maju,” beritahu Abdul Aziz apa­bila cadangannya memberi bonus sebanyak tiga bulan diluluskan Ahli Lembaga Pengarah MAS.

Semasa Abdul Aziz melangkah keluar meninggalkan syarikat penerbangan nasional itu pada 1991, MAS memiliki rizab tunai sebanyak RM5 bilion.

“MAS adalah milik anda semua! Pastikan langit dunia ini akan menjadi milik kamu!” pesan Abdul Aziz kepada kakitangan MAS, diiringi lambaian serta deraian air mata.