Menurut buku My Story oleh Lim Goh Tong (2004), kejayaan memperoleh lesen kasino pertama negara itu ekoran beberapa patah ucapan yang menggalakkan daripada Tunku semasa beliau mengunjungi Genting Highlands buat pertama kali pada 31 Mac 1969 untuk meletakkan batu asas Highlands Hotel (sekarang Theme Park Hotel).

Semasa berucap pada maj­lis berkenaan, Tunku menyatakan beliau terharu dengan usaha Lim Goh Tong mem­ba­ngunkan sebuah pusat pe­ranginan di kawasan pergu­nungan tanpa sebarang bantuan kerajaan yang banyak menyumbang terhadap perkembangan industri pelancongan negara.

“Untuk mempercepatkan pembangunan pelancongan di kawasan terpencil itu ujar beliau, kerajaan akan memberi pertimbangan yang menggalakkan jika Genting memohon untuk mengendalikan sebuah kasino.

“Kata-kata Tunku itu memberi perangsang kepada saya, serta merta saya membuat keputusan untuk meningkatkan bilangan bilik Highlands Hotel yang akan dibina itu kepada 200 bilik” (Lim Goh Tong 2004).

Menurut Goh Tong lagi, permohonan lesen kasino itu dihantar pada 28 April 1969 dan diluluskan enam jam kemudian kerana secara kebetulan mesyuarat Kabinet diadakan pada petang hari tersebut.

Semasa mesyuarat Kabinet itu membincangkan soal lesen judi itu, Tunku telah bertanyakan pendapat Menteri Dalam Negeri, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman tentang permohonan untuk mengadakan sebuah kasino di Genting Highlands.

Tun Dr. Ismail lantas menyokong ura-ura itu kerana beliau berpendapat, sebuah kasino yang berlesen akan membendung aktiviti-aktiviti perjudian di luar kawalan undang-undang dan akan mempercepatkan pembangunan industri pelancongan negara.

Beliau juga berpendapat letaknya kasino di atas gunung akan lebih memudahkan mengawal soal keselamatan kerana hanya ada satu jalan masuk ke pusat peranginan itu. Lantaran tiada sebarang bantahan daripada anggota Kabinet yang lain maka lesen kasino itu segera diluluskan kerajaan.

“Kemudiannya, pada petang itu juga, hanya enam jam selepas saya menghantar permohonan, saya menerima berita baik bahawa permohonan itu telah diluluskan dan saya diminta datang mengambil surat kelulusan itu. Demikianlah Genting Highlands menjadi pemegang lesen kasino yang pertama dan yang satu-satunya di negara ini” (Lim Goh Tong 2004).

Melalui biografi itu, Goh Tong turut menyatakan beliau bernasib baik menghantar permohonan mendapatkan lesen kasino itu sebelum peris­tiwa 13 Mei 1969 yang berlaku tidak lama kemudian.

“Saya yakin kalaulah saya lambat sedikit menghantarkan permohonan, saya tidak akan diberi lesen kasino di tengah-tengah keadaan politik yang sensitif ekoran peristiwa tersebut. Hal ini terbukti apabila suatu permohonan lesen kasino oleh pihak lain selepas peristiwa itu ditolak, sekali gus mengesahkan dasar yang dinyatakan oleh kerajaan bahawa lesen kasino tidak akan diluluskan lagi” (Lim Goh Tong 2004).

Kejayaan Lim Goh Tong membangunkan pusat peran­ginan itu turut mendapat pujian Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Muazzam Shah yang berke­nan merasmikan Genting Highlands pada 30 Januari 1972. Akhbar Utusan Malaysia melaporkan tajuk “Sultan rasmikan Genting Highlands” pada 31 Januari 1972 yang menyifatkan sebagai satu sumbangan terbesar pihak swasta terhadap perkembangan ekonomi dan perusahaan pelancongan negara.

Projek pembangunan Genting Highlands yang mula dilaksanakan pada 8 Ogos 1965 sebenarnya pernah dianggap mustahil oleh kawan-kawan dan rakan-rakan Goh Tong sendiri apabila beliau memberitahu tentang keputusan untuk melaksanakan rancangan ter­sebut.

Seorang rakannya yang berniat baik memberi nasihat bahawa jika beliau berniaga dalam bidang pembalakan memanglah bagus membalak di Gunung Ulu Kali tetapi percubaan menjadikan Genting sebagai tempat peranginan pelancong samalah seperti cerita ajaib dalam ‘Hikayat Seribu Satu Malam’.

“Sebenarnya projek Gen­ting cukup unggul menurut ukuran saya, orang lain tidak berminat, maka tiadalah persaingan. Saya menceburinya meskipun banyak risiko dan saya meneruskannya de­ngan cekal. Apabila saya menge­nang kembali, terlintas juga rasa kagum akan keberanian sendiri, berkata kepada semua yang mencemuh: Ketawakanlah saya sepuas hati, saya tetap akan naik ke gunung itu” (Lim Goh Tong 2004).

Menurut Goh Tong, peluang melakukan ekspedisi pertama selama sembilan hari lapan malam bagi mene­roka gunung itu pada 1963 amat sukar dan memenatkan kerana terpaksa mendaki gunung yang curam dan melalui beberapa batang anak sungai sebelum sampai ke puncak Gunung Ulu Kali.

“Dari saat pertama, gunung itu mengagumkan saya dengan keindahan semula jadinya yang tidak terjejas dan iklimnya yang sejuk menyegarkan. Ketika kami menjejakkan kaki di puncak, saya menggigil ditiup angin kerana tidak membawa pakaian untuk hawa sejuk. Namun saya tidak merungut kerana hawa sejuk itulah yang membuatnya istimewa dan menarik pengunjung ke tempat peranginan itu kelak.

“Walaupun terasa sejuk sampai ke tulang sumsum, saya girang sekali. Saya benar-benar jatuh cinta dengan rimba dara itu dan bertekad akan menjelmakan menjadi tempat peranginan impian saya” (Lim Goh Tong 2004).

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 31 Januari 1972 bertajuk “Sultan rasmikan Genting Highlands”. Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin al-Muazzam Shah hari ini menyifatkan Kompleks Peranginan Genting Highlands sebagai satu sumbangan terbesar pihak swasta terhadap perkembangan ekonomi dan perusahaan pelancongan negara.