Projek itu mencetuskan kontroversi apabila sepasukan penyelidik dari Australia dan Rusia mengkaji projek pembinaan empangan itu untuk menyalurkan bekalan elektrik ke seluruh Pahang yang masih ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan.

Malah, kerajaan menegaskan tetap mempertahankan projek bernilai jutaan ringgit itu demi kelangsungan pembangunan untuk rakyat yang belum menikmati bekalan elektrik terutama penduduk kampung di pedalaman se­perti di Jerantut, Kuala Lipis, Raub, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan.

Akhbar Utusan Malaysia menjuarai isu itu menerusi laporan bersiri oleh wartawan Rosnah Majid yang membuat pendedahan mengenai kesan-kesan pembinaan Empangan Tembeling terhadap aspek ekologi alam sekitar dan kemanusiaan.

Laporan bahagian pertama bertajuk “Pro dan Kontra Me­ngenai Empangan Tembeling” disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 1 Mac 1982 disusuli bahagian kedua artikel, “Antara Nilai Kemanusiaan dan Nilai Material” disiarkan pada 2 Mac 1982.

Ruangan Bisik-Bisik oleh Awang Selamat pada 1 Mac 1982, halaman empat me­nyatakan: “Utusan Malaysia hari ini menyiarkan bahagian pertama laporan khas me­ngenai Empangan Tembeling di Negeri Pahang. Ada yang menyokong dengan hujah bahawa kita mahu pembangunan untuk faedah rakyat dan negara. Dan ada yang menentang atas alasan rancangan itu mencemarkan keindahan alam sekitar dan sebagainya.

“Ikutilah juga cerita me­ngenai orang kampung yang rumah-rumah mereka akan ditenggelami air manakala rancangan itu dilaksanakan. Serupa ke masalahnya seperti pembinaan Empangan Aswan di Mesir? Awang - menyiarkan pendapat pro dan kontra. - Awang Selamat”.

Rosnah Majid menulis: “Pembangunan mesti diberi keutamaan dan kerajaan akan memastikan mengambil perkiraan berat dari segi ke­san-kesan yang akan menimpa Taman Negara menerusi kajian mendalam oleh Lembaga Letrik Negara” demikian jawapan daripada kerajaan (Utusan Malaysia 1 Mac 1982).

Rosnah turut meminta pendapat ahli ekologi yang menya­takan pembinaan Empangan Tembeling bakal memusnahkan Taman negara yang merupakan syurga kepada kehidupan mergastua dan hidupan liar dan hutan hujan berusia jutaan tahun yang tidak akan dapat ditemui lagi.

“Empangan Tembeling akan menjadi pembuka jalan kepada pembalakan hutan dara di kawasan sekitar Sungai Tembe­ling yang akan memberi kesan ekologi yang sangat buruk kepada alam, tumbuh-tumbuhan, binatang dan manusia sendiri,” kata ahli ekologi (Utusan Malaysia 1 Mac 1982).

Rosnah turut memetik pendapat ahli sejarawan Pahang yang kesal kerana projek Empangan Tembeling itu bakal memusnahkan kesan-kesan sejarah di negeri Tok Gajah itu.

“Empangan Tembeling yang membanjiri beberapa kampung di Ulu Tembeling akan menghapuskan kesan-kesan sejarah di kawasan itu yang merupakan kawasan pertempuran Datuk Bahaman dan Mat Kilau semasa menentang Inggeris dahulu” kata pula ahli sejarawan (Utusan Malaysia 1 Mac 1982).

Menurut Rosnah, penduduk dan rakyat di negeri itu khususnya di Ulu Tembeling tidak mendapat kefahaman yang mendalam berhubung kesan-kesan baik dan buruk akibat pembinaan projek elektrik hidro itu lantaran masalah perhubungan yang sukar, ha­nya boleh dihubungi menerusi pengangkutan bot dan perahu di Sungai Tembeling.

Rosnah menulis: “Perhubungan yang sangat sukar, hanya menerusi sungai terpaksa memakan masa dua hari untuk pergi sahaja dari Kampung Bantal ke Kuala Tembe­ling yang jauhnya kira-kira 130 kilometer, tidak memungkinkan penduduk di daerah Ulu Tembeling mendapat surat khabar setiap hari.

“Beberapa keluarga mempunyai televisyen tetapi pe­nerimaan gambar dan suara tidak begitu baik. Sementara radio pula sering menghadapi gangguan suara” (Utusan Malaysia 1 Mac 1982).