AKHBAR Utusan Malaysia pada 27 Ogos 1975 bertajuk “Tugu Negara Diletupkan” 4 ejen MNLF dipercayai be
AKHBAR Utusan Malaysia pada 27 Ogos 1975 bertajuk “Tugu Negara Diletupkan” 4 ejen MNLF dipercayai be 

Serangan nekad pada pukul 5 pagi itu menyebabkan letupan kuat sehingga menggegarkan seluruh kawasan Taman Bunga itu.

Pasukan pakar bom yang menjalankan pemeriksaan telah menjumpai dua butir bom lagi yang telah dipasang di tugu itu tetapi belum meletup.

Utusan Malaysia melaporkan letupan kuat pada Tugu Peringatan Negara yang dibina pada 1966 itu turut memusnahkan patung-patung perajurit yang diperbuat daripada gangsa sehingga hancur dan bertaburan di atas lantai.

“Salah satu patung itu tercampak sama sekali ke bawah manakala tiga patung lagi terputus kepalanya yang juga tercampak ke bawah dan hancur” (Utusan Malaysia 27 Ogos 1975).

Bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman yang tinggal di kediamannya berhampiran dengan tugu tersebut turut merasai gegaran kuat yang berlaku akibat letupan kira-kira pukul 5 pagi itu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie pula menyifatkan peristiwa pengeboman ke atas Tugu Peringatan Negara sebagai suatu pengkhianatan terhadap rakyat sendiri kerana tugu itu adalah hak dan harta rakyat yang selama ini menjadi lambang kemegahan bangsa dan negara.

Pada 28 Januari 1976, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Ahmad memberitahu Dewan Negara, nilai kerugian akibat kerosakan Tugu Peringatan Negara berpunca daripada le­tupan bom itu masih tidak dapat dipastikan jumlahnya memandang­kan ia adalah hasil seni yang jarang terdapat di negara-negara lain.

Beliau yang turut mengimbas kembali sejarah pembinaan Tugu Peringatan Negara itu menyatakan ia dibina oleh pengukir patung dari Austria, Tan Sri Felix De Weldon dalam tahun 1966 dengan kos berharga $2.5 juta ringgit.

“Dari jumlah tersebut $1.245 juta ringgit adalah hasil daripada kutipan derma orang ramai dan bakinya ialah dari peruntukan kerajaan. Pada 5 September 1975, Perdana Menteri waktu itu Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein telah mengarahkan supaya diadakan kutipan derma di kala­ngan rakyat untuk menampung perbelanjaan memperbaiki Tugu Peringatan Negara itu” (Penyata Rasmi Parlimen Jilid 1 Bil. 37, 28 Januari 1976).

Menurut Penyata Rasmi Parlimen lagi, Christopher B. Carney Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Institut Teknologi Mara (ITM) telah diminta mencuba kebolehannya membaiki sebahagian daripada kerosakan tugu itu sebelum jawatankuasa membuat pertimbangan sewajarnya ke atas tawaran membaik pulih tugu tersebut itu.

Seorang pelukis tempatan Sallehudin juga telah diminta oleh jawatankuasa untuk membuat model wajah orang Malaysia yang sama besarnya dengan saiz wajah tugu itu untuk membuktikan kebolehan­nya sebelum tawarannya dapat dipertimbangkan.

Penyata Rasmi Parlimen me­nyatakan, setakat ini jumlah derma yang dikutip ialah lebih daripada $584,000 dan dipercayai matlamat untuk mencapai angka $1 juta akan dicapai.

Laporan itu turut menyebut, kerja-kerja membaik pulih Tugu Peringatan Negara telah siap pada 11 April 1977 oleh Christoper Carney, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara.

Tunku Abdul Rahman menyatakan, Tugu Peringatan Negara merupakan simbol dua kemenangan bagi penduduk Tanah Melayu iaitu ke atas perjuangan menentang kejahatan gerom­bo­lan pengganas komunis dan hasil kepercayaan rakyat kepada negara yang berdaulat dan merdeka.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Tugu Peringatan Negara itu diilhamkan oleh Tunku yang mendapat inspirasi United States Marine Corps War Memorial Iwo Jima ketika beliau melawat Amerika Syarikat sekitar 1960-an.

Felix De Weldon yang juga pereka tugu peringatan di Iwo Jima, Amerika Syarikat telah diminta untuk merekabentuk patung-patung gangsa askar Melayu sepertimana yang diminta oleh Tunku Abdul Rahman.

Menurut laporan Utusan Malaysia lagi, seorang rakyat Malaysia yang waktu itu be­kerja sebagai ‘Security Officer’ bernama Osman Arof (bekas Menteri Besar Kedah yang keenam), dipilih secara rawak oleh Tunku Abdul Rahman untuk menjadi model salah seorang askar Melayu yang sedang bertempur dengan anggota komunis yang terkorban.

Ketika itu, Osman disuruh memakai pakaian Jungle Green’ dan Felix De Weldon meminta beliau beraksi de­ngan memakai pakaian sera­gam tentera dan menggayakan aksi seolah-olah sedang berperang di studio milik Felix de Weldon di Amerika Syarikat.

Bagi menambahkan elemen patriotik dan ketenteraan pada patung di bahagian tengah yang sedang memegang bendera Malaysia itu pula direka oleh Felix berdasarkan wajah sebenar Tunku Abdul Rahman semasa beliau masih muda. Namun, tiada siapa yang menye­darinya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan