Berkhidmat penuh cemerlang, ATM bukan hanya bermegah dengan nota-nota pujian malah gerak kerja serta pendekatan yang diketengahkan mula mendapat perhatian dan dicontohi negara-negara luar.

LEFTENAN ADNAN SAID
LEFTENAN ADNAN SAID 

Pengiktirafan yang dikalungkan oleh dunia itu, menunjukkan kekuatan serta pengalaman ATM dalam misi-misi pengaman di pentas antarabangsa dihormati.

Beralih ke wilayah Mindanao, Filipina pula, penyertaan ATM dalam Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) turut memahat memori berharga dengan pelawaan untuk terus ‘bertapak’ menjalankan misi bagi memastikan proses damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) berjalan lancar.

Bukan hanya permintaan itu datang daripada Presiden Filipina, Benigno Aquino III tetapi permintaan sama dinyatakan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ekmeleddin Ihsanoglu.

Peranan pasukan ATM dalam mewujudkan keamanan di wilayah berkenaan diakui menjadi faktor kepada kemakmuran kawasan sekitar Mindanao .

Melangkaui sempadan be­nua, peranan ATM menerusi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengiringi kapal-kapal dagang berkepentingan negara di Teluk Aden, Somalia membuktikan kemampuan pa­sukan keselamatan negara dalam membendung kegiatan lanun.

Kerjasama strategik TLDM dan MISC Bhd. mengharumkan nama negara apabila ia dijadikan contoh kelompok maritim dunia.

Tidak cukup dengan lanun di perairan berkenaan, kerjasama kukuh antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), TLDM dan pelbagai agensi penguat kuasa maritim termasuk dari Indonesia, Singapura dan Thailand telah berjaya mengekang aktiviti lanun di Selat Melaka sehingga diiktiraf pengairan keselamatan laut terbaik dunia.

PENGIKTIRAFAN BUAT MALAYSIA

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 September 2016 memuatkan berita bertajuk ‘Pengaman: Pengiktirafan buat Malaysia’ melaporkan, usaha Malaysia menjaga keamanan negara termasuk di luar negara terus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Misi menambah baik pasukan pengaman badan dunia itu memang menjadi salah satu keutamaan Malaysia selaku ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2015.

Malaysia menyokong kuat dan terlibat secara aktif dalam misi pengaman PBB sejak 1960 apabila negara menghantar seramai 3,500 anggota Pasukan Khas Melayu (MSF) daripada ATM untuk menyertai Operasi PBB di Congo (ONUC).

Semenjak itu, Malaysia telah menyertai lebih 30 daripada 71 misi pengaman PBB dan menempatkan le­bih 29,000 anggota pasukan pengaman dari ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Laporan itu memetik, Kuala Lumpur terlibat da­lam enam misi PBB, iaitu di Sahara Barat, Republik Demokratik Congo, Lubnan, Liberia, Abyei (terletak di sempadan antara Sudan dan Sudan Selatan) dan Darfur - melibatkan 915 ang­gota tentera dan polis Malaysia.

AMERIKA SYARIKAT IKTIRAF ATM

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 9 November 2010 menyiarkan berita ‘Misi keamanan ATM diiktiraf Amerika Syarikat’, melaporkan Misi keamanan ATM diiktiraf Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa sepanjang 2010.

AS mengakui bahawa pendekatan ATM menangani konflik dan isu global ketika me­lakukan tugasan antarabangsa tanpa menggunakan keganasan sebagai suatu usaha terpuji dan boleh dijadikan sebagai rakan yang penting di rantau ini buat negara-negara besar.

Setiausaha Pertahanan Amerika Robert Gates berkata, pendirian sederhana Malaysia dalam menangani isu global diterjemahkan ATM menerusi perdagangan bebas, pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, ketelusan dalam penggunaan laluan maritim antarabangsa, ruang angkasa dan alam siber.

REJIMEN ASKAR MELAYU DISEGANI KOMANWEL

Jasa Leftenan Adnan Saidi yang terkorban pada 14 Februari 1942 dikenang sebagai pejuang askar Melayu dan boleh dijadikan semangat dan contoh kepada anak-anak muda Melayu agar bersedia berkorban apa sahaja bagi mempertahankan hak dan kedaulatan negara.

Leftenan Adnan dan rejimennya yang direkodkan berjaya membunuh kira-kira 800 askar Jepun telah gugur dalam pertempuran di Bukit Candu ketika serangan Jepun ke atas Singapura semasa Perang Dunia II.

Pertempuran itu menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani dalam kalangan pasukan tentera Komanwel.

Pertempuran ini adalah sebagai lanjutan kepada Pertempuran Pasir Panjang yang berlaku pada hari sebelum­nya. Pertempuran ini juga menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Adnan yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan berhabis-habisan kepada askar Jepun.