MAIMUNAH YUSOF
MAIMUNAH YUSOF 

Menurut Azizah Ali dalam rencana bertajuk ‘Utusan Lahirkan Ramai Wartawan Wanita’ yang diterbitkan dalam buku 40 Tahun Utusan Melayu (1979), wanita pertama yang membuka jalan dalam bidang kewartawan untuk generasi kaum hawa ialah Roswita Ali atau dikenali sebagai ‘Kak Buang’ yang pernah membuat liputan Tragedi Rusuhan Natrah di Singapura pada 12 Disember 1950.

Roswita ialah isteri kepada Pengarang Utusan Zaman dan Mastika era 1950-an, Kamaludin Mohamad yang juga dikenali sebagai Keris Mas, seorang pengasas Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) yang telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pertama.

“Menurut keterangan orang yang sudah lama bertugas di Utusan Melayu, selepas Roswita ada lagi beberapa orang wanita yang diambil bertugas sebagai wartawan antaranya Hamidah Hassan, Rashidah Ismail, Cik Dah Mohd. Nor dan Habibah Harun.

“Sewaktu saya mula-mula me­laporkan diri di pejabat Utusan pada penghujung 1966, wartawan wanita yang ada ketika itu ha­nyalah Salmah Mohsein yang mengelola ruangan wanita di Mingguan Malaysia” (Azizah Ali 1989: 64).

Menurut Azizah lagi, semasa memulakan tugas di meja Utusan Melayu selepas berkursus, beliau dapati ada seorang lagi wartawan wanita di meja Mingguan Malaysia.

“Orangnya kecil molek, berambut pendek dan berkulit hitam manis. Kerana tak ada siapa pun berusaha mengenalkan, kami berkenal sendiri akhirnya dan barulah saya tahu wartawan itu Bahyah Mahmood yang dipindahkan dari pejabat Utusan di Singapura bersama suaminya, Ahmad Idris (ABI).

“Walaupun saya merupakan pemberita wanita tunggal di meja Utusan Melayu tapi pembahagian ‘assignment’ yang diberikan oleh Ketua Pemberita, Zainuddin Maidin adalah sama rata. Saya juga diberikan ‘assignment’ pada waktu pagi, tengah hari, petang, malam, dalam hujan, dalam panas demi mendapatkan berita. Tiap ‘assignment’ yang diberi mesti ada nilai berita,” tulis Azizah.

BAHYAH MAHMOOD
BAHYAH MAHMOOD 

Azizah juga seronok mendapat tunjuk ajar wartawan kanan Subky Latif yang bertugas di Utusan Zaman cara-cara menulis rencana yang baik. Tulisan pertama Azizah yang disiarkan oleh Utusan Zaman bertajuk ‘Tuah Celaka Wanita Cantik’.

“Memandangkan sudah ada tiga wartawan wanita di Jabatan Pengarang, Timbalan Ketua Pengarang, Osman Abadi (orang yang membawa saya bekerja di Utusan) mencadangkan supaya satu ruangan wanita dibuka dalam akhbar Utusan Melayu.

“Ketiga-tiga kami (Salmah Mosein, Bahyah Mahmood dan saya) memberi sumbangan setiap minggu untuk ruangan wanita di samping membuat tugas biasa yang ditetapkan. Maka lahirlah ‘Ruangan Wanita’ yang pertama dalam akhbar Utusan Melayu,” catat Azizah lagi.

Selain Azizah, ramai nama-nama besar wartawan wanita turut memahat nama di Utusan Melayu era itu antaranya Rosnah Majid, Maimunah Yusof, Faridah Hitam, Azah Aziz, Roseminah Ahmad, Nik Rahimah Hassan.

Khalid Jafri dalam rencana bertajuk ‘Kumpulan Majalah Mengharungi Kemajuan’ yang turut dimuatkan dalam buku 40 Tahun Utusan Melayu (1979) menyatakan, Azizah Ali satu-satunya wartawan wanita yang lama berkhidmat dengan Utusan telah diberi tanggungjawab mengemudi Mastika sejak 1978.

“Suatu yang dibanggakan, Mastika dengan pengedaran cuma 15,000 pada tahun 1970 kini sudah meningkat hampir tiga kali ganda. Mastika punya prestij sendiri kerana pembacanya rata-rata terdiri golongan intelek dan politikus” (Khalid Jafri 1979: 93).

Khalid turut menyatakan, Nik Rahimah Hassan yang bertugas sejak mula Wanita dilahirkan pada Ogos 1969 dianggap sebagai nadi majalah itu.

Turut sama menjayakan majalah Wanita ialah Aida Shaary, Norhayati Norwawi dan Latifah Hamzah.

Khalid menyatakan Pengarang URTV, Nor Shah Thamby turut dibantu seorang wartawan wanita iaitu Ramnah Yassin dan Kamal Amir untuk me­rancakkan lagi dunia hiburan tanah air.

Bagi menjayakan Utusan Filem dan Fesyen (UFF) pula, Aimi Jarr turut dibantu oleh Webah Salleh yang juga bertanggungjawab dalam memperhebatkan halaman fesyen.

“Majalah Selecta Femina pula dipimpin oleh Roseminah Ahmad, bekas pengelola Rua­ngan Wanita Utusan Malaysia, wartawan Utusan yang dikenali sebagai tahan lasak kerana kecergasan dan dedikasi dalam profesionnya. Roseminah turut dibantu oleh seorang lagi wartawan ‘rugged’ Utusan, Rosie Hashim yang tulisan-tulisannya sering menimbulkan kontroversi” (Khalid Jaffri 1979: 95).

ESOK: Serikandi Utusan yang digeruni.