Cuaca pagi Ahad itu kurang baik dan setiba di kawasan Janda Baik, Bentong, kabus sangat tebal menyebabkan Chacko meminta kebenaran.

mengambil alih tugas sebagai juruterbang kerana beliau adalah jurulatih penerbangan yang berpengalaman.

Selepas Chacko memandu pesawat tersebut, tiba-tiba Ghazali melihat pokok-pokok berbalam-balam di celah-celah kabus tebal. Kejadian itu berlaku begitu pantas. Dalam beberapa detik sahaja, beliau dapat merasakan kapal terbang Cessna itu telah melanggar ranting-ranting pokok.

Ghazali pun menutup muka dengan kedua belah tangan dan merapatkan lutut ke mukanya. Tanpa membuang masa, Ghazali terus bertindak pantas membuka pintu di sebelahnya lantas melompat terjun dari jarak yang tinggi. Tiada siapa yang tahu apa yang terjadi kepada Menteri Luar Negeri itu seterusnya.

Gerakan mencari mula dilancarkan setelah pihak berkuasa Kuala Lipis bertanya sama ada Ghazali telah berlepas dari Kuala Lumpur. Beliau berlepas dari pangkalan TUDM, Sungai Besi pada pukul 9 pagi tetapi tidak tiba di Kuala Lipis pada waktu tengah hari sebagaimana dijadualkan.

Utusan Malaysia pada 11 Januari 1982 melaporkan “Ghazali Nahas Udara” dan Pesawat Cessna dikhuatiri jatuh dalam hutan di Bentong.

Laporan itu memetik kenyataan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman Kuala Lumpur pada 10 Januari 1982 yang menyatakan kapal terbang Cessna yang dinaiki Menteri Luar Negeri terputus hubungan komunikasi dengan pusat kawalan udara di Subang antara pukul 9.45 pagi hingga 10 pagi.

“Pasukan mencari dari udara dikerah untuk mengesan dan mencari kapal tersebut dengan serta merta. Kapal terbang tersebut dapat dikesan oleh pesawat helikopter TUDM di kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi Bentong Pahang lewat petang.

“Pasukan penyelamat telah dikerah pada tempat tersebut. Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam telah diberitahu tentang hal tersebut” (Utusan Malaysia 11 Januari 1982).

Wartawan Rosnah Majid yang melaporkan tentang nahas kapal terbang Cessna itu yang terhempas di Janda Baik pada muka hadapan Utusan Malaysia 12 Januari 1982 bertajuk ‘Miracle Ghazali’ menyatakan Ghazali hanya berkata: “Tuhan sahaja yang tahu bagaimana saya selamat!”.

Ghazali seterusnya berkata: “It’s a miracle, it’s a miracle,” cerita Ghazali apabila Dr. Mahathir bertanya bagaimana beliau boleh terselamat dalam nahas kapal terbang yang menimpanya.

Rosnah melaporkan, Perdana Menteri kelihatan sangat sedih dengan kejadian itu dan setiba beliau di katil Ghazali Shafie mereka berdua berpelukan. Datin Sri Dr. Siti Hasmah pula memeluk Puan Sri Khatijah, isteri Ghazali yang berada di sisi katil suaminya.

Utusan Malaysia pada 12 Januari 1982 turut memuatkan laporan wartawan Kris Khan mengenai reaksi “Datuk Musa gembira Ghazali Shafie terselamat” dan menyifatkan apa yang dilalui Ghazali sebagai suatu keajaiban dan ditakdirkan Tuhan.

“Kita secara diam-diam mengharapkan beliau akan selamat. Tetapi itu adalah perkara yang sukar dipercayai, meskipun kita berdoa dalam hati masing-masing supaya beliau akan hidup. Akhirnya, seperti yang dapat anda lihat, Ghazali terselamat” (Utusan Malaysia 12 Januari 1982).

Musa turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Haniff Omar kerana mengendalikan operasi mencari dan menyelamat Tan Sri Ghazali itu dengan jayanya.

Utusan Malaysia melaporkan, Ha­niff memberitahu, Menteri Luar itu dijumpai kira-kira 70 meter daripada bangkai kapal terbang yang terhempas berdekatan dengan sebuah cerun bukit dalam keadaan penuh sedar kira-kira pukul 2.20 petang 11 Januari 1982.

“Ghazali hanya mengalami cedera ringan di sebelah tangan sahaja dan otaknya masih tajam seperti biasa,” beri­tahu Haniff kepada Utusan Malaysia.

Dalam arena politik negara, Ghazali merupakan seorang pendekar politik Melayu terbilang apabila Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai ahli Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) selepas Tragedi 13 Mei 1969 bagi melahirkan konsep Rukun Negara sebagai alat mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia.