Bagi yang bakal pulang ke kampung menyambut hari raya, sudah tentu ia menjadi saat paling ditunggu-tunggu. Balik raya adalah satu kemestian kepada anak perantau yang tinggal di kota. Walaupun sudah beranak-pinak dan bercucu di kota, balik kampung adalah satu perkara wajib yang dilakukan apabila tiba Aidilfitri.

Umum mengetahui Kuala Lumpur merupakan tempat paling ramai mencari rezeki dan berjuta anak perantau berpusu-pusu pulang dari ibu kota ke kampung halaman masing-masing menjelang hari raya, sama ada menggunakan kenderaan awam atau menaiki kereta bersesak-sesak di jalan raya ia bukan penghalang untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut hari isti­mewa setahun sekali ini.

Menjelang 1 Syawal, perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas dibanjiri anak perantau sehingga kadangkala kehabisan tiket untuk pulang ke kampung.

Antara perhentian bas yang menjadi tumpuan ketika Aidilfitri pada era 80-an ialah Hentian Puduraya atau kini dikenali Pudu Sentral.

Hentian ini dibuka pada 1976 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn.

Tanyalah sesiapa sahaja anak perantau tentang pe­rasaan mereka menyambut hari raya di tempat orang atau di mana sahaja terutama ketika berpusu-pusu di Hentian Puduraya.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 Julai 1982 me­rakamkan suasana anak perantau terpaksa beratur panjang sejak awal pagi untuk membeli tiket pulang ke kampung di Hentian Pudu Raya, Kuala Lumpur.

Laporan itu memetik, bagi anak perantau di Kuala Lumpur, walaupun berbaris panjang namun tetap tabah untuk kembali mencium tangan ayah bonda tercinta di kampung halaman, rindukan ketupat, lemang, kuih baulu dan pelbagai kuih-muih tradisional.

Inilah fitrah luar biasa anak perantau di hari raya. Namun bagi generasi yang berada pada era itu, nostalgia balik kampung di Hentian Puduraya dan kenangan menyambut hari raya di kampung halaman tetap terindah dan sentiasa memanggil untuk menemui kaum keluarga di kasihi.

Malah saat inilah ibu bapa di kampung menunggu kepulangan anak menantu dan cucu yang menaiki bas dari Hentian Puduraya untuk memeriahkan suasana hari raya. Tradisi balik raya yang menggunakan perkhidmatan bas Hentian Puduraya melangkaui ritual tahunan tetapi satu pe­rasaan halus yang menyelinap yang merindukan kepulangan mereka.

Ba­yangkan ibu bapa berusia emas, menunggu di tangga pada petang hari menjelang raya, dalam alunan takbir raya dan melihat anak-anak kembali ke kampung akhirnya riuh rendah bersama-sama.

Perasaan yang dituntut oleh agama untuk hormat menghormati dan jangan lupa di mana ia bermula, kampung halaman dan lambaian desa yang sungguh mengharukan walaupun pulangnya hanya seketika bagi anak perantau.