Sistem KPW yang dicetuskan idea oleh Dr. Mahathir pada 12 Ogos 1981 itu merupakan inisiatif beliau dalam usaha meningkatkan prestasi disiplin kakitangan awam agar lebih beretika serta mempunyai tahap profesionalisme yang tinggi.

KPW yang dilancarkan itu adalah bagi menggantikan sistem lama mendaftar kehadiran kakitangan yang menggunakan buku daftar rekod kehadiran sebelum ini.

DR. MAHATHIR MOHAMAD merakam kad perakam waktu buat kali terakhir di Jabatan Perdana Menteri di Kual
DR. MAHATHIR MOHAMADmerakam kad perakam waktu buat kali terakhir di Jabatan Perdana Menteri di Kuala Lumpur sebelum berpindah ke pejabat baharu di Putrajaya pada 9 Mei 1999.

Pelancaran KPW itu juga seiring dengan tatacara baharu pemakaian yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir yang mewajibkan kakitangan awam memakai teg nama atau name tag.

Akhbar Utusan Malaysia pada 13 Ogos 1981 turut memuatkan tajuk utama: CUEPACS sokong sistem kad yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir.

Dalam laporan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Sektor Awam (CUEPACS) pada ketika itu, T. Narendran berkata, CUEPACS mengalu-alukan langkah kerajaan memperkenalkan sistem kad perakam waktu untuk menentukan kehadiran kakitangan awam bertugas pada waktu yang ditetapkan bagi meningkatkan kecekapan dalam sektor perkhidmatan awam.

Katanya, langkah itu bukan sahaja memberi faedah kepada rakyat, bahkan juga bagi negara.

Narendran turut memuji Tun Dr. Mahathir dan Timbalannya ketika itu, Tun Musa Hitam atas keprihatinan dalam usaha memperkasa sektor perkhidmatan awam di negara ini.

“Inilah yang diperjuangkan oleh CUEPACS selama ini iaitu untuk memperbaiki perkhidmatan awam hendaklah bermula daripada atas kerana kesannya akan dirasai di semua peringkat,”katanya.

Narendran bagaimanapun menjelaskan, perlaksanaan sistem kad perakam waktu itu tidak akan tercapai matlamatnya jika sikap kakitangan kerajaan terhadap tugas mereka tidak berubah.

“Datang bekerja awal tidak semestinya pengeluaran produktiviti seseorang pegawai itu akan meningkat,”katanya. Muniroh Abdul Rahman dan Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri melalui artikelnya, Sistem Kad Perakam Waktu Era Kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad Di Malaysia 2016: 166-183 (Al-Hikmah) menyatakan, perlaksanaan sistem kad perakam waktu itu diperkenalkan oleh kerajaan bagi menangani masalah disiplin dan kelewatan kakitangan awam ke tempat kerja.

Sifat disiplin ini perlu diterapkan melalui pengurusan masa secara efisien dan sistematik ke arah membudayakan produktiviti dan profesionalisme kakitangan awam di tempat kerja. Disiplin adalah salah satu sifat yang murni dan menjadi asas dalam kehidupan masyarakat di Malaysia.

Pengurusan disiplin yang baik akan membantu mening­katkan tahap perubahan sosial masyarakat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang.

Utusan Malaysia turut memuatkan tajuk utama di muka satu Mahathir guna kad lima hari lebih awal yang bertarikh 29 Ogos 1981 me­laporkan, Dr. Mahathir menggunakan sistem kad perakam waktu di pejabatnya lima hari awal daripada yang dijadualkan untuk kakitangan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Beliau yang menggunakan kad nombor satu tiba di pejabatnya pada pukul 7.53 pagi.

Menurut seorang pembantunya, Dr. Mahathir telah bertanya tentang kad perakamnya semalam dan apabila diberikan beliau terus menggunakannya.

Tarikh rasmi penggunaan kad perakam waktu di JPM ialah pada 2 September 1981.

Walaupun belum rasmi, kakitangan termasuk pegawai-pegawai tinggi telah mula menggunakan kad masing-masing seperti “boss” mereka yang datang awal setiap hari sejak menjawat jawatan Perdana Menteri.