Kejayaan itu diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila golongan profesional dan syarikat konglomerat Malaysia dipertanggungjawabkan dengan projek pembesaran Jambatan Jamarat yang bernilai berbilion ringgit di Mina, Arab Saudi pada November 2005 dan telah disiapkan pada 2008.

Projek jambatan Jamarat yang mempunyai reka bentuk seperti kapal angkasa itu telah diberi kepercayaan oleh kerajaan Arab Saudi kepada MTD Group ketika itu yang diterajui oleh Pengerusinya, Tan Sri Dr. Nik Hussain Abdul Rahman Abdul Rahman dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid.

Pembesaran jambatan itu telah berjaya mengelak berulang kejadian pada 1990 apabila seramai 1,426 jemaah haji termasuk 153 orang dari Malaysia terkorban ketika jemaah berasak-asak di dalam terowong Al-Muassem untuk melakukan ibadat melontar.

Jambatan itu mempunyai 12 laluan masuk dan 12 laluan keluar. Laluan secara sehala itu memastikan jemaah tidak lagi pergi ke tempat melontar dan berpatah balik melalui laluan yang sama.

Projek jambatan itu sebenarnya dibina merangkumi enam tingkat iaitu empat tingkat di atas, satu tingkat di bawah dan satu tingkat lagi di bawah tanah yang digunakan untuk tujuan kecemasan, pemindahan dan perkhidmatan pembersihan.

Komitmen MTD Group dalam menyiapkan pembinaan jambatan Jamarat mendapat pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2009 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kategori Pencapaian Antarabangsa.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 Disember 2009 memuatkan berita MTD sasar lebih banyak projek melaporkan, Azmi Khalili menyatakan, MTD melalui Persys berjaya menyempurnakan projek bernilai RM200 juta untuk kontraktor utamanya, Kumpulan Saudi Binladin membabitkan kerja menuang konkrit dan menyiapkan segmen pra-tuang dan kerja pasca penegangan bagi memperkukuh Jambatan Jamarat dan kawasan sekitarnya di Mina, Arab Saudi

“Projek itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan projek yang dibiayai sepenuh­nya oleh kerajaan Arab Saudi dengan nilai keseluruhan sebanyak RM4.2 bilion.”

Katanya, MTD memperoleh projek secara bidaan melalui Saudi Binladin yang dilantik untuk melaksanakan keseluruhan projek pembangunan di Jambatan Jamarat dan kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, golongan profesional negara ini turut terlibat menguruskan perkhid­matan kereta api elektrik Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Line Arab Saudi (Mekah Metro) sepanjang 18 kilometer yang digunakan jutaan jemaah haji.

Perkhidmatan kereta api yang beroperasi sejak 2010 menghubungkan Mekah, Arafat, Muzdalifah dan Mina itu mempunyai kapasiti untuk membawa 72,000 penumpang setiap arah sejam.

Kesemua 31 kakitangan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) itu telah dipinjamkan bagi memberikan khidmat sokongan operasi sepanjang musim haji 2011.

Antara tanggungjawab yang diberi kepada mereka ialah menguruskan pengambilan dan melatih pekerja sementara, ujian dan penyerahan sistem, penyediaan operasi stesen, menjalankan perjalanan ujian dan menyelia operasi mengikut syif

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 September 2012 menyiarkan berita 32 kakitangan KTMB berlepas ke Mekah me­laporkan, seramai 32 kakitangan Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) berlepas ke Mekah untuk mengoperasikan Mekah Metro pada musim haji 2012.

Pengurus Besar Latihan Akademinya, Musa Abdul Rahman berkata, kumpulan kedua tersebut merupakan sebahagian da­ripada 78 jumlah keseluruhan kakitangan KTMB yang akan berkhidmat sepanjang musim haji.

ESOK: Kejayaan profesional Malaysia di bumi ambiya