Pejabat-pejabat kerajaan dan kaunter-kaunter agensi kerajaan mulai sibuk seperti biasa. Keadaan jalan raya di ibu negara dan sekitar Lembah Klang yang lengang sepanjang minggu lalu juga kembali sesak.

Akhbar muka depan Utusan Malaysia bertarikh 4 Julai 1984 memuatkan berita “KL mulai sibuk semula” melaporkan, bandaraya Kuala Lumpur yang lengang sejak beberapa kini mulai sibuk apabila sebahagian penghuninya kembali setelah pulang untuk berhari raya.

Laporan itu memetik, pejabat-pejabat kerajaan dan swasta mula dibuka manakala kegiatan perniagaan yang terhenti sejak Hari Raya lalu telah menjalankan aktiviti-aktiviti semula.

Jalan-jalan raya mulai sibuk dengan kenderaan yang bersimpang siur untuk mengejar masa, sementara stesen-stesen bas, keretapi dan teksi terus menjadi tumpuan orang ramai untuk pulang ke tempat masing-masing.

Pusat-pusat perniagaan juga telah mula dibuka dan terus menjadi tumpuan walaupun perniagaan tidak sehebat sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Julai 2016 turut memuat berita Ibu kota Kuala Lumpur kini kembali ‘meriah’ selepas warganya mula pulang dari kampung halaman masing-masing selepas cuti Hari Raya Aidilfitri berakhir.

Jurucakap Pe­ngurusan Pe­ngangkutan Bersepadu (ITIS) berkata, aliran trafik masih lengang di beberapa jalan utama seperti di Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang.

Menurutnya, peningkatan jumlah kenderaan hanya berlaku di plaza tol Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) di kedua arah iaitu Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Duta.

Katanya, kesesakan trafik dilaporkan berlaku pada waktu puncak iaitu sekitar pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi di beberapa lebuh raya menghala masuk ke pusat bandar.

Katanya, trafik bergerak perlahan di beberapa jalan seperti di Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat, Lebuh Raya Utara Selatan, Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya , Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Kajang Silk dan Lebuh Raya Persekutuan.

”Kesesakan itu bukan berpunca daripada kemalangan sebaliknya disebabkan jumlah kenderaan yang banyak menuju ke pusat bandar.

“Kesesakan di jalan-jalan utama dijangka berlaku pada hujung minggu ini berikutan ramai yang mengadakan rumah terbuka.

“Trafik sekitar pusat bandar akan dipantau melalui kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan akan disampaikan atau dikemas kini pada skrin VMS (Variable Message Signs) yang ditempatkan di tempat-tempat strategik di ibu negara,” kata­nya.

Sementara itu, di terminal bas utama di ibu negara tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana kelihatan tenang dan terkawal berbanding hujung minggu lalu.