Haron Din yang juga merupakan Mursyidul Am Pas itu, pernah menjadi Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1977 hingga 1985 kemudian dilantik sebagai Profesor di universiti yang sama pada 1986 hingga menamatkan perkhidmatannya selepas mencapai usia bersara 55 tahun.

Allahyarham juga telah menghasilkan lebih 50 buah buku mengenai ekonomi, ideo­logi dan perubatan Islam. Haron Din bukan ulama sebarangan dan terkenal dengan Pusat Perubatan Darul Syifa yang merupakan pusat me­rawat penyakit secara alternatif di Bangi, Selangor

Sebagai tokoh ilmuwan terkemuka, sepanjang ha­yatnya, Haron Din melihat apa yang melanda orang Melayu yang beragama Islam dewasa ini adalah satu bencana yang mampu memecahbelahkan umat.

Umat Islam yang kuat adalah umat yang dapat menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan bijaksana. Islam mengajar umat Melayu mengenai penyatuan dan perpaduan umat Islam.

Berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam pada 2013, Haron Din antara pemimpin Pas yang paling lantang bersuara. Dalam Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 Januari 2013, beliau berkata, isu itu tidak sepatutnya berpanjangan kerana sebarang bentuk tindakan itu boleh mengeruhkan hubu­ngan antara kaum di negara ini.

Dalam kenyataan itu, Haron Din mahu semua penyokong dan ahli Pas berpendirian seperti golongan ulama di dalam parti tersebut iaitu kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh agama Islam .

“Kalau hukum syarak, ikut ulama,” katanya.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 31 Disember 2009 membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia ada hak dalam Perlembagaan telah mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini.

Keputusan itu dilihat mengelirukan masyarakat majmuk seperti Malaysia. Kalimah Allah itu telah sekian lama digunakan oleh umat Islam sahaja.

Antara alasan paling kuat mengapa keputusan itu ditentang ialah penganut agama lain perlu menghormati penggunaan kalimah Allah yang merupakan lafaz jala lah iaitu gela­ran tertinggi dan paling mulia yang digunakan umat Islam untuk merujuk kepada Allah.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 turut memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Mendepani fitnah liberalisme ekstrem di media sosial dan akhbar amat membimbangkan, Utusan Malaysia bertarikh 6 Jun 2011 memuatkan berita bertajuk Haron Din tampil pertahan Utusan melaporkan, Haron Din adalah tokoh yang mempertahan Utusan ketika diserang kiri dan kanan dan menentang arus apabila beliau mempertahankan akhbar itu yang dikritik akhbar Suara Keadilan.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-11, Haron Din yang mewakili Pas mendapat undi 14,124 di kawasan Parlimen Arau. Pencabarnya, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail yang mewakili Barisan Nasio­nal mendapat undi 17,367. Syed Raz­lan diisytiharkan menang pada pilihan raya 2004 .

Pada 16 September 2016, Haron Din meninggal dunia di Hos­pi­tal Universiti Stanford, San Francisco, Amerika Syarikat dan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California.

Haron Din ,76, meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi (waktu Malaysia) di hospital itu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham yang ditemani beberapa ahli keluarganya bertolak ke San Francisco pada 10 September 2016 sebelum dima­sukkan ke hospital berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut berhubung masalah jantung yang dihidapinya.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Datin Khadijah Salleh, 70, serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan. Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara.