Konsep pasukan pelapis ini mirip Malaysia B ke Pestabola Merdeka 1972 dan 1979 yang menempatkan pemain-pemain berbakat besar dan dikesan daripada saingan Piala Malaysia tetapi sukar menembusi skuad utama negara untuk dihantar menyertai kejohanan antarabangsa jemputan negara jiran.

FAM kemudian membaharui konsep pasukan pelapis itu dengan memper­kenalkan Projek Barcelona 1992, Olimpik 2000 dan Harimau Muda (2007-2014) yang dibimbing mendiang Chow Kwai Lam, Hatem Souissi (Tunisia), Datuk K. Rajagobal dan Datuk Ong Kim Swee.

Dua jurulatih tempatan yang ditugaskan melatih Harimau Malaysia ialah Abdul Rahman Ibrahim dan Abdullah Mohamad, kini ma­sing-masingnya ber­usia 73 dan 75 tahun.

Dalam tempoh tertentu mereka juga mendapat khid­mat pemain merangkap jurulatih, legenda England dan Ireland Utara, Kevin Keegan dan mendiang George Best selain Dr. Jozef Venglos dari Czechoslovakia sebagai penasihat teknikal pasukan.

Turut menjadi pemain undangan Harimau Malaysia khususnya dalam Pestabola Merdeka 1985 ialah penye­rang terbilang negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Supermokh kemudian memuktamadkan persaraan antarabangsanya.

“Idea Harimau Malaysia ini tercetus ketika saya sebagai penolong jurulatih skuad negara berbual de­ngan ketua jurulatih, (mendiang) Karl Heinz Weigang (warga Jerman Barat - ‘arkitek’ kejayaan ke Moscow) di Wisma FAM, Kuala Lumpur (pejabat lama di Jalan Maharajalela).

“Saya turut berbincang dengan (mendiang Datuk) Paul Mony Samuel ketika itu Penolong Setia­usaha Agung FAM. Di situlah bermula­nya usaha kami untuk membina sebuah pasukan muda negara dengan pemain-pemain berusia awal 20-an.

“Harimau Malaysia juga wujud kerana tiada pelapis di bawah skuad negara yang dibarisi hero-hero berbilang bangsa kita seperti Mokhtar, (mendiang Datuk) R. Arumugam, Chin Aun dan (Datuk) Santokh Singh. Jurang umur senior de­ngan pemain Harimau kira-kira 10 tahun,” kata Rahman.

Harimau Malaysia turut beraksi dalam Pestabola Merdeka pada 1983, 1984 dan 1985 dan kejohanan jemputan antarabangsa lain dengan Keegan, bekas kapten dan pengurus Three Lions serta Liverpool, menyertai mereka pada 1984.

Best, legenda kelab Manchester Uni­ted pula hanya hadir sebagai jurulatih dan pemain unda­ngan Harimau Malaysia dalam siri perlawanan persahabatan.

Antara bekas pemain Harimau Malaysia ialah Abdullah Sani, Ramli Talib, Akop Itam, Azlan Johar, M. Pavalamani, Md. Nor Yaacob, Azizol Abu Haniffah, Zaidi Zainal Abidin, Karim Pin, Zulkifli Hussein, Faridzul Kassim, P. Ravindran dan Naharudin Md. Din serta Kamarul Zaman Yussoff.

Lain-lain termasuk Datuk Ramlan Askolani, Dollah Salleh, Azhar Sharif, Salim Mahmud Muhaidin, Zainal Noordin, Hashim Mustapha, Nasir Yusuf, Lahad Daduk Sulik, Hashim Marman dan Hassamuddin Hassan serta ramai lagi.

Majoriti mereka mengadakan ‘reunion’ Harimau Malaysia atau majlis penghargaan dan silaturahim di ibu negara pada 27 Julai lalu.

Kenangan manis Harimau Malaysia antaranya mengunjungi kelab Liga England, Ipswich Town dan menewaskan skuad utama negara 4-3 dalam perlawanan persahabatan 1982. Mereka hampir ke separuh akhir Pestabola Merdeka 1984 ketika disertai Keegan.

Mereka kekurangan dua mata dengan naib juara Kumpulan 2 Pestabola ‘84, China B (1-1) selepas mengatasi Pakistan dan Bawah 20 Tahun Algeria 2-0 selain seri dengan Primera B Selection (Argentina) 1-1 namun dikalahkan Bawah 21 Korea Selatan, 3-0.

SEMPENA ULANG TAHUN UTUSAN MELAYU KE-80

MOMEN 
& MEMORI

Sumber: Pusat Maklumat Utusan