Detik-detik penuh bersejarah ini dengan pantas mendapat perhatian dunia di atas pencapaian teknologi yang sangat mengagumkan pada waktu itu.

Concorde yang adalah satu-satunya kapal terbang penumpang supersonik yang berjaya dicipta merekodkan penerbangan pertamanya pada 2 Mac 1969 dan tanggal 2 Mac lalu, genap 50 tahun ulang tahun usia Concorde yang pernah menjadi pilihan utama golongan diraja, elit dan selebriti Hollywood untuk terbang.

AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 22 November 1988 merakamkan pendaratan pesawat Jet Supersonik, Conc
AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 22
November 1988 merakamkan pendaratan
pesawat Jet Supersonik, Concorde di
Lapangan Antarabangsa Subang, Selangor.

Malangnya, kegemilangan Concorde tidak dapat bertahan lama, tanggal 26 November 2003 pesawat paling laju di dunia ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal buat selama-lamanya.

Selepas gah terbang membelah ruang angkasa selama 34 tahun, pesawat yang dibina dengan melibatkan kerjasama antara dua negara, British dan Perancis melalui syarikat British Aircraft Corporation dan Sud-Aviation terpaksa menghentikan operasi akibat semakin dimamah usia selain menelan kos yang tinggi untuk menerbangkannya.

Pesawat yang digeruni di seluruh dunia itu turut merakamkan peristiwa bersejarah di Malaysia apabila pesawat Concorde yang sedang mengelilingi dunia selama 20 hari selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa, Subang dekat sini.

Akhbar Utusan Malaysia pada 22 November 1988 turut memuat berita “Lebih 2,000 saksi Concorde mendarat di Subang” melaporkan, pesawat Jet Supersonik yang membawa seramai 10 anak kapal dan 96 penumpang itu tiba setengah jam lebih awal daripada jadual dan disaksikan lebih 2,000 orang yang berada di lapangan terbang Subang.

Pesawat Syarikat penerbangan Perancis (UTA) yang disewa khas oleh sebuah agensi pelancongan di Paris itu mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di Malaysia dari Guam setelah memulakan penerbangan mengelilingi dunia dari Paris pada 5 November 1988.

Semasa kapal mendarat di Subang, kesemua penumpang dan anak kapal tersebut disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar serta dibawa terus ke sebuah hotel terkemuka di sini sebelum melawat tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur.

Jet itu yang sebelum ini dilarang mendarat di Malaysia satu ketika dahulu kini pertama kali diberi kebenaran mendarat kerana berkeupa­yaan mendarat le­bih senyap dengan kuasa “subsonic” dari menggunakan kuasa “supersonic” yang menghasilkan bunyi dan gegaran yang kuat.

Pesawat supersonik ini yang dilengkapi empat enjin Rolls-Royce Olympus mampu membakar sebanyak 6,771 gelen atau 25,629 liter minyak sejam. Ketika berada pada ketinggian 60,000 kaki, pesawat ini mampu terbang dengan kelajuan lebih daripada dua kali ganda kelajuan bunyi atau 1,350 mph dan lebih cepat 800 mph daripada kelajuan jet jumbo Boeing 747.

Bagaimanapun,saiznya lebih kecil berbanding pesawat biasa dengan hanya mempunyai 100 kerusi. Lebarnya kira-kira 2.63 meter dengan ruang kabin sedikit luas berbanding jet Bombardier Regional.

Disebabkan bunyinya yang sangat kuat, Concorde hanya terbang pada kelajuan supersonik di atas lautan untuk mengelakkan bunyi bising.

Pada 1976, Concorde mendapat tekanan ramai pihak yang membantah bunyi bising pesawat dan ledakan sonik­nya. Selain itu, terdapat negara yang meluluskan undang-undang tidak membenarkan pesawat terbang pada kelajuan bunyi bagi mencegah dentuman bunyi daripada mengganggu manusia dan haiwan.

Ekoran itu, banyak syarikat penerbangan membatalkan pesanan membeli Concorde, hanya tinggal British Airways dan Air France yang menggunakannya.

Kemuncaknya, apabila pesawat ini terhempas pada 25 Julai 2000, tragedi hitam melibatkan pesawat Concorde ini selepas hanya beberapa minit berlepas dari Paris sehingga meragut nyawa kesemua 113 penumpang dan anak kapal memendekkan lagi jangka hayat pesawat ini.

Biar pun Concorde kembali beroperasi setahun kemudian iaitu tepat pada tarikh 11 September 2001, kos operasinya ketika itu sangat tinggi ditambah dengan situasi tidak menentu dalam industri penerbangan akibat serangan terhadap menara berkembar World Trade Centre (WTC) di New York.

Akhirnya pesawat supersonik ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal dalam satu upacara penerbangan khas pada Oktober 2003 dari Heathrow ke Bristol.

Kini ia tidak lagi mem­belah ruang angkasa, yang ada hanya tinggal 17 pesawat Concorde yang dipamerkan di beberapa muzium antaranya di Aerospace Bristol, United Kingdom; Muzium Udara dan Angkasa Perancis; Muzium Auto dan Teknik Sinsheim, Jerman dan di Muzium Udara, Angkasa dan Laut New York serta Muzium Penerbangan Seattle di Amerika Syarikat untuk tatapan pengunjung bagi mengenang pesawat yang pernah mengejutkan dunia satu ketika dahulu.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan