Buktinya, Cawangan Khas muncul sebagai sebuah badan perisikan yang sangat efektif, efisien serta keberkesanannya dalam menjalankan peranan menghapuskan ancaman bersenjata yang dilancarkan oleh anggota pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) sekitar 1968-1989.

Menurut Azian Aziz dalam buku Misi Rahsia Pasukan F (2017), PDRM melalui Cawa­ngan Khas juga telah me­nubuhkan sebuah unit elit iaitu ‘Pasukan F’ pada Mac 1971 bagi membantu memperkemas dan memperkukuhkan tugas-tugas perisikan di lapangan dengan menyalurkan maklumat serta risikan yang diperoleh kepada pasukan keselamatan.

“Idea penubuhan Pasukan F dicetuskan oleh Pengarah Cawangan Khas ketika itu, Datuk Abdul Rahman Hashim. Tugas unit elit itu kemudian dinaiktaraf kepada pasukan ‘strike force’ yang menentang menerusi kaedah penyamaran” (Azian Aziz 2017: 21).

Amer Fawwaz Mohamad Yasid dalam artikel “Peranan Pasukan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Dalam Menangani Ancaman Komunis 1968-1989” dalam Jurnal Sejarah, No. 25, Bil. 2, Disember 2016, halaman 23-39 menyatakan, kebanyakan ahli akademik serta sejarawan berpendapat Pasukan Cawa­ngan Khas memainkan peranan yang besar dalam menentukan kejayaan ketika menghadapi Insurgensi Komunis di Tanah Melayu.

“Pasukan Cawangan Khas PDRM merupakan salah sebuah organisasi yang masih dianggap sebagai rahsia sehingga kini serta tidak mendapat liputan yang meluas mengenai peranan serta penubuhannya oleh orang ramai.

“Kebanyakan di antara kita menganggap peranan yang ditonjolkan oleh Pasukan Cawangan Khas PDRM semata-mata bagi menahan golongan kiri serta reformis yang mengancam keselamatan negara. Akan tetapi tugas serta bidang yang telah ditonjolkan oleh Pasukan Cawa­ngan Khas PDRM lebih besar daripada apa yang digembar-gemburkan oleh pandangan umum masyarakat pada hari ini” (Amer Fawwaz Mohamad Yasid 2016).

Penyamaran

Taktik yang paling popular dilaksanakan oleh Pasukan Cawangan Khas PDRM adalah dengan kaedah menghantar anggota lapangan ke kawasan yang didiami oleh musuh secara langsung. Kebiasaannya anggota Pasukan Cawangan Khas PDRM akan berpakaian seperti orang kampung ataupun menyamar sebagai pencari rotan bagi mengelakkan peny­a­maran mereka terbongkar.

Taktik penyamaran begini pernah dilakukan oleh pasukan F yang ditubuhkan khas bagi membasmi kegiatan komunis dalam operasi utama seperti Operasi Senyap, Operasi Ginseng, Operasi Kelong, Operasi Seng Kang, Operasi Tapah, Operasi Sawit, Operasi Kelah, Operasi Ular, Operasi Kelisa, Operasi Taloong, Operasi Paraku II dan operasi-operasi lain.

Pada Mei 1971, pasukan F yang baru beberapa bulan ditubuhkan melakukan risikan melalui Operasi Senyap. Operasi itu merupakan operasi sulung Pasukan F. Sebanyak 15 anggota pasukan F dike­tuai oleh Superintenden Leong Chee Woh dihantar untuk melakukan risikan di ladang getah seluas empat hektar apabila mendapat maklumat daripada pemberi maklumat bernama Soh Chai bahawa terdapat pergerakan masuk pengganas komunis di Kulim, Kedah.

Melalui ‘Operasi Senyap’ itu Pasukan F berjaya membunuh kesemua sembilan pengganas komunis di hutan Kulim dan berjaya menghalang cubaan untuk menghidupkan semula aktiviti pengganas komunis selepas menjejaki mereka selama lebih tiga bulan de­ngan bantuan tentera dan 69 Komando.

“Ini merupakan kejayaan pertama dan besar bagi Pasukan F. Faktor yang menyum­bang kepada kejayaan itu adalah kerjasama erat antara Cawangan Khas, 69 Komando, ketepatan maklumat risikan dari sumber, pengetahuan di lapangan dan tahap disiplin pasukan keselamatan yang terlibat” (Azian Aziz 2017: 36).

Namun begitu, Operasi Taloong yang dilancarkan pada 2 Mac 1988 dianggap paling cemerlang kerana berjaya memberkas 83 pengganas komunis serta merampas ratusan senjata api tanpa melibatkan pertumpahan darah dan membawa kepada Perjanjian Haadyai 1989.