Program Bintang RTM adalah sebuah rancangan pertandingan seni suara yang paling popular berdekad lamanya mencecah usia lebih dari 35 tahun dalam industri hiburan tanah air.

Penganjurannya telah ba­nyak melahirkan ramai nama besar artis dalam industri tanah seni hiburan Malaysia antaranya, Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad, Rosemaria, Jennifer Yen, M. Rizal, Muhaini Suratman.

Selain itu, Yunizar Hussein, Jamal Abdillah, Najib Hanif, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Safar Ghafar, Raisuddin Hamzah, Ramlah Ram, Jamilul Hayat, Noraniza Idris, Noraliza Yusof, Azian Mazwan Sapuan, Aznil Nawawi dan Ayai (Illusi).

RAMLAH RAM menjulang piala kemenangan selepas dinobatkan Juara Bintang RTM 1985.
RAMLAH RAM menjulang piala kemenangan selepas dinobatkan Juara Bintang RTM 1985.

Menurut laman web http://www.rtm.gov.my/bintangrtm, sejarah pertandingan Bintang RTM bermula pada awal 1959 dan dikenali sebagai “Bintang Radio” iaitu sebuah program anjuran Radio Malaya yang mengetengahkan lagu-lagu yang berentak langgam, asli, keroncong dan seriosa.

Pada 1964, Bintang Radio telah memulakan siaran pertamanya di televisyen serta TV Malaya pula muncul untuk mencari bakat-bakat baharu pertandingan Bakat TV.

Bermula daripada itu, pada setiap tahun, Bintang Radio dan Bakat TV menerima sambutan hebat daripada peminat seni tanah air sehingga diiktiraf Malaysian Book of Records (MBR) antara program pertandingan nyanyian paling lama bertahan dalam industri muzik Malaysia.

Pada 1973, istilah Bintang RTM mula digunakan apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan serta digabungkan menjadi Bintang RTM. Pertandingan Peringkat Akhir yang pertama telah disiarkan pada 26 Februari 1974 dan menjadi program tahunan yang paling popular RTM sehingga 1986.

Selepas 1986, beberapa pertandingan baharu muncul bagi menggantikan Bintang RTM seperti “Bintang HMI”, “Suara 90’an”, “Golden Teen Search”, “Bintang Gala 2”, dan “Teen Star”.

Melalui pertandingan mencungkil bakat itu, ramai nama besar baharu yang muncul antaranya Datuk Siti Nurhaliza, Nora, Liza Hanim, Dayang Nurfaizah, Candy Cheah, Nur Fatimah, Dia Fadila, Carol Oormila, Mas Idayu.Ani Mayuni, Esther Khoo, Alyah, Zehra Zambri dan Arnieza Amir.

Setelah 13 tahun menghilang, akhirnya Bintang RTM muncul kembali pada 1999 dan 2001. Bintang RTM telah membawa kejayaan yang besar apabila berjaya melahirkan artis hebat seperti Azharina, Misha Omar, Siti Sarah Raisuddin, Farawahida, Sharifah Zarina, Norhasmidar dan Ameer Sofaz.

Pengaruh program Bintang RTM tidak boleh dinafikan lagi apabila menjadi medium terbesar dalam melahirkan artis-artis yang berbakat sehingga program itu diteruskan pada 2004, 2005, 2007 dan 2009.

Kehebatan program itu menyaksikan kelahiran bakat-bakat baharu yang tidak kurang hebatnya seperti Rina Azhar, Felis, Rey, Aeyaja Shada, Izwan Pilus, Najib Hamzah, Muhaizam Ahmad, Marcel, Emil Hamlyn, Min, Shahir, Han Amin dan Ernie.

Pertandingan itu turut mendapat liputan akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan hiburan pada 10 Januari 1980 yang merakamkan detik-detik kemenangan peserta yang menyertai Bintang RTM 1979.

Juara kemenangan per­tandingan Bintang RTM 1979 telah disandang oleh Jamal Abdillah manakala tempat kedua dan ketiga masing-masingnya dimenangi oleh peserta dari Seremban, Lenny Lim Mui dan Flora Santos dari Sabah.

Dalam pertandingan itu, Kumpulan OFYZA dinobatkan Juara Bintang RTM 1979 bagi kategori kumpulan. Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Kumpulan K.S. Five dari Sarawak dan Kumpulan Sealegs Department dari Sabah.

Hadiah kemenangan Bintang RTM 1979 telah di­sampaikan oleh Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamad Rahmat.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan