Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 September 1981 memuatkan berita “5 wartawan Utusan” yang memenangi anugerah terbaik 1980”, me­ngenai negara ketika itu dikejutkan de­ngan peristiwa sera­ngan 15 lelaki bersenjatakan pedang melibas 23 orang awam terma­suk 14 anggota polis di Balai Polis Batu Pahat Kampung Mohd. Noor, Batu Lima, Parit Sulong, Johor pada 16 Oktober 1980.

Laporan berita oleh Faikhi Abdullah, Faridah Hitam, Maz­lan Sanusi, Hashim Jaafar dan Tukiran Kitam itu akhirnya dinobatkan Pemenang Anugerah Terbaik 1980 pada Malam Wartawan Malaysia yang pertama kali diadakan pada 16 September 1981.

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia memuatkan berita dan gambar Wartawan Utusan Malaysia, Kamaruzaman
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia memuatkan berita dan gambar Wartawan Utusan Malaysia, Kamaruzaman Mohamad (berbaju merah) menemubual tebusan rakyat Malaysia di Kem Abu Sayaf di Pulau Jolo, Filipina. Laporan eksklusifnya itu dinobatkan penerima Anugerah Kajai 2000 pada 26 Mei 2000.

Kelima-lima pemenang itu membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta trofi dan sijil. Anugerah itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Musa Hitam,

Utusan Malaysia sekali lagi melakar sejarah apabila wartawannya, Rosnah Majid pada 12 Disember 1983 dinamakan pemenang utama dan pertama yang memenangi Anugerah Kajai.

Hadiah utama itu disampaikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. ­

Rosnah dipilih sebagai pe­nerima Anugerah Kajai melalui laporan beritanya bertajuk “Pro dan Kontra Projek Empa­ngan Tembeling di Taman Negara Pahang”.

Pada 1997 pula, Wartawan Utusan, Ramli Abdul Karim dinobatkan pemenang Anugerah Kajai menerusi rencana laporan khasnya bertajuk “Datang Miskin Pulang Kaya” yang membongkar pengalaman rakyat Indonesia bekerja di Malaysia, tetapi menikmati kehidupan mewah selepas pulang ke negara mereka.

Rencana itu disiarkan menerusi dua siri dalam majalah Massa keluaran 20 hingga 26 September dan 27 hingga 3 Oktober 1997.

Wartawan Utusan, AliMahmood pada 17 Mac 1998 pula, dinobatkan penerima Anugerah Kajai melalui laporan khasnya “Laut Dalam: Nelayan Kita Gagal” yang diterbitkan dalam majalah Massa.

Laporan eksklusif Ali itu berjaya dihasilkan setelah beliau meredah laut dalam selama dua minggu untuk merasai sendiri pengalaman serta cabaran yang dilalui oleh nelayan di negara ini.

Kisah Ali itu akhirnya diangkat sebagai penerima Anugerah Kajai. Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi.

Anugerah Kajai terus diungguli wartawan Utusan, Siti Mariam Md. Zain pada 1999.

Siti Mariam melalui laporan khasnya dalam majalah Massa bertajuk “Nelayan Bumiputera Masih Yang Termiskin” dinobatkan pemenang utama Hadiah Kewartawanan Malaysia pada 2000. Anugerah itu disampaikan oleh Abdullah.

Ini diikuti pada 23 April 2001, Wartawan Utusan Malaysia, Kamaruzaman Mohamad yang menjadi wartawan Malaysia pertama menyusup masuk ke Kem Abu Sayaf di Pulau Jolo, Fi­lipina dan dinobatkan penerima Anugerah Kajai 2000.

Kamaruzaman menerima anugerah itu menerusi be­rita bersiri bertajuk “Penculikan di Pulau Sipadan, Sabah” mengisahkan me­ngenai peristiwa penculikan di pulau peranginan tersebut. Kamaruzaman me­nerima hadiah wang tunai RM10,000, pingat emas bernilai RM1,000, sijil penghargaan dan tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Los Angeles atau Kuala Lumpur-New York sumbangan Penerbangan Malaysia (MAS).

Pada 2004 Wartawan Kosmo!, Mohd. Faizal Zakaria memenangi Anugerah Kajai melalui laporannya bertarikh 1 September 2004 bertajuk “Pencemaran Air di Lembah Klang”, me­laporkan air dibekalkan kepada sekurang-kurangnya 10 peratus daripada enam juta penduduk Selangor dan Kuala Lumpur didapati tercemar mengandungi bahan-bahan logam pada kadar berbahaya untuk kesihatan manusia.

Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Zaini Hassan pula dipilih pemenang Anugerah Kajai menerusi laporan pendedahannya tentang kerakusan pihak pemaju merosakkan Taman Pertanian Malaysia Bukit Cahaya Seri Alam, Selangor pada Malam Wartawan Malaysia pada Pada 29 November 2005.

Mohd. Zaini menerima anugerah itu menerusi laporan eksklusifnya bertarik 19 Februari 2005 bertajuk Apa sudah jadi? dan ia mengisahkan tentang kemusnahan ekologi dialami taman tersebut akibat dihimpit pembangunan di sekelilingnya.

Anugerah yang cukup berprestij itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laporan bertajuk ‘Mudah­nya Menggugur Anak’ membawa tuah kepada Shahren Yusri apabila wartawan dari akhbar Kosmo! itu dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kajai pada Malam Wartawan Malaysia dan Hadiah Kewartawanan MPI 2006.

Pada 31 Mac 2012, Wartawan Utusan Malaysia Mohd. Asron Mustapha dan Mohd. Termizi Che Anuar pula merangkul Anugerah Kajai, Hadiah Ke­wartawanan Malaysia MPI-Pe­tronas 2011.

Mereka membawa pulang gelaran paling berprestij ke­wartawanan di negara ini serta wang tunai RM30,000 dan sekeping syiling emas seberat 100 gram bernilai kira-kira RM19,000 yang disampaikan oleh Najib.

Mohd. Asron dan Mohd. Termizi menulis laporan khas berjudul “Air Kelantan Terkotor?” sebanyak lima siri yang mendedahkan masalah yang mengancam kesihatan pengguna air di Kelantan kerana air yang disalurkan pihak berkuasa negeri itu tidak menepati standard ditetapkan.

Anugerah tertinggi HKM 2018, Kumpulan Utusan sekali lagi dinobatkan pemenang Anugerah Kajai menerusi karya dua wartawan Kosmo!, Ahmad Mustakim Zulkifli dan Luqman Ridhwan Mohamed Nor pada 29 April 2019.

Kedua-dua wartawan akhbar kompak itu menghasilkan beberapa penulisan berkaitan kewartawanan alam sekitar yang bertajuk “Selangor diancam pencemaran kilang plastik”.

Kedua-dua mereka me­nerima wang tunai RM30,000, sijil penyertaan dan trofi. Selain itu, Ahmad Mustakim dan Luqman Ridhwan turut memenangi kategori Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas dengan membawa pulang RM10,000, sijil penyertaan dan trofi. Hadiah tertinggi kewartawanan itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.