Al-Sultan Abdullah diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan Pahang merupakan cahaya mata keempat dan putera sulung kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-7 yang juga Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar dan Almarhum Tuanku Afzan Almarhum Tengku Muhammad.

Tunku Azizah Aminah Maimunah yang diputerikan di Istana Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960 pula merupakan puteri ketiga kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-8 yang juga Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche’ Besar Kalsom Abdullah. Seri Paduka merupakan adinda Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Pada 11 Januari 2019, Al-Sultan Abdullah dilantik oleh Jemaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang bagi menggantikan ayahanda Seri Paduka sebagai Sultan Pahang Ke-6.

Seri Paduka kemudian secara rasminya dimasyhurkan pada 15 Januari 2019 sebagai Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam Istiadat Pemasyhuran di Istana Abu Bakar,Pekan, Pahang.

Pada 24 Januari 2019, Maj­lis Raja-Raja dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja ke-251 berkenan memilih Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Seri Paduka mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pada 31 Januari 2019 dan ditabalkan hari ini.

PERKAHWINAN DIRAJA

Al-Sultan Abdullah berkahwin dengan Tunku Azizah Aminah Maimunah pada 6 Mac 1986 di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor.

Seri Paduka berdua dikurniakan empat orang putera dan lima orang puteri iaitu Tengku Amir Nasser; Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah; Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah; Tengku Puteri Ilyana; Tengku Puteri Iman Afzan; Tengku Puteri Ilisha Ameera; Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah sinonim dengan sifat sopan dan mesra dalam menyantuni rakyat, suatu nilai yang diwarisi daripada ayahanda kedua-dua Seri Paduka.

Keprihatinan Al-Sultan Abdullah dapat dilihat apabila turun padang bagi mendengar rakyat ditimpa bencana. Seri Paduka dan Tunku Azizah Aminah Maimunah mencemar duli untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi.

Al-Sultan Abdullah yang genap berusia 60 tahun pada tahun ini, seringkali tidak menang tangan terutama ketika berlaku bencana banjir kerana mahu memastikan semua daerah di Pahang terlibat tidak terlepas daripada perhatian Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah merupakan ikon diraja yang tidak asing dalam sukan tanah air terutama bola sepak kerana selain handal beraksi di padang, aspek kepemimpinan dalam sukan tersebut cukup terserlah.

Pada masa ini, Al-Sultan Abdullah merupakan Anggota Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA selain pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Minat mendalam terhadap sukan bukan hanya dizahirkan dalam bola sepak, hoki dan polo. Seri Paduka menerajui pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polo Club, England selain mengambil bahagian bertanding antaranya di Singapura, Amerika Syarikat, Argentina, Sepanyol, Belgium dan Fili­pina.

PENDIDIKAN

Seri Paduka menerima pendidikan awal prasekolah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada 1965, sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966-1969) dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan serta pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Thomas (1970-1974).

Al-Sultan Abdullah terkenal dengan disiplin tinggi hasil didikan di The Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom (UK) selama setahun bermula 1978. Seri Paduka ditauliahkan pangkat Lefte­nan Muda daripada Ratu Elizabeth II pada 1980.

Seri Paduka yang merupakan Kapten bagi pasukan Kor Kavelri Diraja Malaysia, dan pada 1 Mei 1999 telah dilantik menjadi Leftenan Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah, dan menjadi Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Jun 2000 serta menjadi Brigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.

Selain latihan ketenteraan, Seri Paduka juga pernah mengikuti pengajian di Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, UK dan Davies College, London, UK (1975-1977) dan di di Worchester and Queen Elizabeth College, UK (1980-1981) sehingga dianugerahkan Diploma In International Relations And Diplomacy.