Sebab minda indah tulus mengiringi:
Sejarah berakar setulin bangsa
Sejak lidah lincah dan waras berhujah.

Kau, tekad subur, tulus indah di hati;
Ayat nan qudus dari insan insani.
Kau, sumber khabar salam cenderahati,
Sentiasa meranum, menjunjung budi.

Kau suburkan rimba raya bangsa
Dengan pepohon dan unggas tersedia.
Kau bersuara semerdu doa dan zikir.
Kaulah syair batin dan senandung fikir.

Dalam gelora silang angkara bangsa,
Kau penapis pesan paling bermaruah;
Dan dalam kalut pusaran peristiwa,
Kau tetap menjadi perakam setia.

Kau, taman di istana khazanah ilmu,
Pemula watiqah sesantun bangsamu.
Tiada waktu yang berkelana sesia:
Adat, santun serta hajat menemannya.

Kau ke kemuncak menjunjung khidmat rakyat
Ke lurah pun kau masih menyantun adat.
Kau tangisi lara bangsa sejujurnya,
Malah mentertawakan “kecapaian”nya.

Kau qalbu dan minda bangsa sejati;
Kau jua lidah warisan pertiwi murni.
Kini dirimu terus meranum waja:
Tua nan bijak bermandian sejarah.

Cerdik berhemah serta tangkas nan pintar,
Bebila pun kau lidah khabar berakar.
Sesekali gagal, qalbu tak pun gundah
Sebab bertambah usia, bertambahlah hemah.
 

  • Sasterawan Negara, A. Samad Said pernah berkhidmat di Utusan Melayu pada 1950-an bersama Usman Awang yang menjadi Pengarang Utusan Zaman.