Walaupun sedih beraya di perbatasan, mereka bangga dapat berbakti kepada negara yang tercinta dan memahami tugas mengawal keselamatan dan perairan negara daripada ancaman musuh perlu diutamakan.

Sebagai anggota pasukan ke­selamatan negara, mereka bersedia berkorban perasaan dan nyawa demi negara pada bila-bila masa sahaja apabila dikehendaki.

Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa, sudah tentu terdetik perasaan sayu di sanubari mereka apabila terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh daripada keluarga tersayang di kampung halaman.

Sungguhpun demikian, anggota yang bertugas di hari lebaran tetap tidak dilupakan oleh kepimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24 Oktober 1973 me­laporkan berita bertajuk Jeneral melawat perajurit bertugas di sempadan.

Laporan itu memetik, Pang­lima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika itu, Jeneral Tun Ibrahim Ismail yang mengadakan lawatan ke kampung dan Markas 8 Briged Kem Pengkalan Chepa, di Kelantan.

Dalam lawatan itu, Tun Ibrahim menasihatkan orang ramai khu­susnya penduduk kampung supaya mengambil tindakan langkah berjaga-jaga meningkatkan keselamatan kampung masing-masing daripada ancaman musuh menjelang Hari Raya.

“Ini adalah untuk memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin, Jika tiap-tiap penduduk kampung di pedalaman bersikap sedemikian. Saya yakin pengganas komunis tidak dapat bertapak kembali di negara yang kita kasihi ini,”katanya.

Dalam misi lawatan kehormatnya ke Markas 8 Briged itu, Tun Ibrahim turut melawat beberapa buah kampung antaranya Kampung Kuala Balah, Kubur Batu dan Lembah Pergau di Kelantan.

Tun Ibrahim menarik perhatian dalam ucapannya, tentang peristiwa pada 1971 di mana penduduk di kawasan Lembah Pergau dan Lebir berjaya menangkap komunis hidup-hidup.

Katanya, semasa darurat yang pertama dulu, kaum wanita di kawasan kampung ini bersama berjuang mengangkat senjata atau Home Guard untuk mempertahankan kampung mereka.

“Peristiwa ini melambangkan keberanian dan kejujuran yang sukar ditandingi di kawasan-kawasan kampung lain. Saya berharap sikap dan tindakan ini menjadi teladan kepada orang ramai,” jelas Tun Ibrahim.

Di Markas 8 Briged, Tun Ibrahim turut mengambil kesempatan menemui anggota-anggota keselamatan negara yang bertugas di sempadan negara.

“Anggota-anggota tentera hendaklah menjalankan tugas dengan jujur, tegas dan berani serta tidak lupa untuk mendekatkan diri dengan orang ramai,”katanya.

Laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh sama turut memuatkan berita bertajuk Menteri Pertahanan melawat kem tentera.

Laporan itu memetik, Menteri Pertahanan ketika itu, Tan Sri Hamzah Abu Samah mengadakan lawatan ke kem-kem ATM di Kuala Lumpur dan Kem Rejimen Ke-5 Askar Melayu Diraja Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Antara yang dilawati termasuklah Rejimen Semboyan Perhubungan Trunk, Markas Rejimen Polis Tentera Skuadron Semboyan Kumpulan Udara, Dua Divisyen dan Kinrara.

Dalam lawatan itu, Hamzah diberi penerangan oleh pegawai-pegawai pemerintah­nya persiapan menghadapi sebarang kemungkinan serangan pengganas.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

MOMEN 
& MEMORI