Walaupun berdarah raja, kehidupan baginda dekat dengan rakyat biasa. Peribadi baginda yang mulia itu telah berjaya menawan hati ramai dan sifat ‘simple’ dan sederhana yang ditunjukkan te­lah menjadi buah mulut rakyat jelata.

Baginda sangat dekat dengan rakyat. Seringkali dilihat bersama-sama rakyat di masjid-masjid

AKHBAR Utusan Malaysia pada 10 Julai 1980 menyiarkan berita mengenai Pertabalan Sultan Haji Ahmad Sh
AKHBAR Utusan Malaysia pada 10 Julai 1980 menyiarkan berita mengenai Pertabalan Sultan Haji Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-7. 

hinggalah ke padang bola. Malah, pernah suatu ketika baginda mencemar duli turun menyertai berjuta para penyokong memberi sokongan moral kepada pasukan negara di Stadium Merdeka.

Setiap kali baginda muncul di stadium, penonton-penonton bingkas bangkit memberi penghormatan dan dengan suara yang nyaring penonton-penonton, secara spontan menyanyikan lagu Negaraku sebagai mengalu-alukan raja berangkat

Begitulah catatan peri­badi Pengarang Rencana Utusan Malaysia, Rosnah Majid yang berpeluang mewawancara Sul­tan Haji Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang pada bulan April 1980 di Istana Tetamu berhampiran Lake Garden, Kuala Lumpur.

Hasil wawancara dengan baginda itu disiarkan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agung ke-7 pada 10 Julai 1980 bertajuk: Sultan Haji Ahmad Shah: Raja Yang ‘Simple’.

Rosnah menceritakan, Tunku Ahmad Shah ialah seorang raja yang sangat cepat merasai dan menyelami perasaan orang lain. Baginda ter­nyata menyedari bahawa kami semua masih berdebar-debar dan dengan cepat bagin­da menenangkan keadaan dengan berkata beberapa kali: “Relax… relax…relax…”.

Apabila ditanya Rosnah mengapa Tunku membahasakan diri “saya” dan tidak “beta” semasa bercakap dan kenapa Tunku memilih cara yang tidak membesar-besarkan diri?

Inilah jawapan baginda: “Saya mempunyai personaliti begini kerana saya mengikut jejak langkah Almarhum ayah saya (Sultan Abu Bakar). Selama 42 tahun Almarhum memerintah, saya banyak dilatihnya dan saya selalu meng­iringi Baginda menjelajah ke seluruh Negeri Pahang.

AKHBAR Utusan Malaysia pada 10 Julai 1980 menyiarkan wawancara eksklusif Rosnah Majid dengan Sultan
AKHBAR Utusan Malaysia  pada 10 Julai 1980 menyiarkan wawancara eksklusif Rosnah Majid dengan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah.

“Setelah Baginda mangkat, saya pun berbuat begitu juga. Saya seorang manusia biasa dan ‘simple’. Sungguh pun saya berdarah raja, tetapi saya adalah serupa dengan rakyat biasa. Saya mahu rakyat menghormati saya sebagaimana saya menghormati mereka.

“Saya tidak suka orang takutkan saya. Pada saya jika orang takutkan saya kerana saya Yang di-Pertuan Agong, itu bukanlah satu penghargaan atau penghormatan. Saya mahu mereka sukakan saya kerana peribadi saya seperti ini (I want them to like me as I am), tapi bukan kerana saya seorang itu dan ini. Saya memang seorang yang simple” (Utusan Malaysia 10 Julai 1980).

Semasa wawancara itu juga baginda menjelaskan bahawa tidak sepatutnya ada dinding pemisah antara raja dengan rakyat. Apabila baginda berpeluang melawat seluruh negara, baginda akan bersalam dengan semua orang tanpa mengira siapa dari peringkat atas hinggalah ke bawah.

Sultan Haji Ahmad Shah turut menegaskan prinsip hidup baginda yang sama sekali tidak bersetuju jika dipisahkan de­ngan kehidupan rakyat.

“Misalnya pada Hari Raya Puasa lalu (Aidilfitri) di Istana Yang di-Pertuan Agong, saya adakan ‘rumah terbuka’ kepada orang ramai. Sebelum mengambil keputusan saya terlebih dahulu meminta nasihat Perdana Menteri Datuk Hussein Onn dan dengan murah hati beliau, saya mengadakan ‘rumah terbuka’.

“Pada hari itu, terdapat rak­yat dari semua lapisan, ada yang berselipar, berseluar pendek, yang buta dan pekak, datang ke istana hingga habis semua kuih. Insya-Allah pada tahun ini saya akan sediakan lebih banyak kuih lagi. Yang sebenarnya saya tidak sangka sambutan rakyat begitu hangat sekali. Saya sama sekali tidak suka jika saya cuba dipisahkan dari rakyat,” titah baginda (Utusan Malaysia 10 Julai 1980).

Sultan Haji Ahmad Shah turut menjelaskan konsep “raja berjiwa rakyat” yang bermaksud seseorang raja itu mestilah sentiasa berdamping dan bergaul serta beramah mesra dengan rakyat tanpa mengira kedudukan mereka.

“Kita tidak boleh ‘masuk bakul angkat sendiri’. Untuk dihormati, raja mestilah mendekati rakyat barulah dikasihi dan dihormati oleh rakyat seperti kata-kata hikmat Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” tegas baginda.

Sambil merendah diri ba­ginda mengakhiri wawancara bersama Rosnah Majid de­ngan kata-kata: “Saya tidak tahu hendak sombong atau bongkak, tapi saya mempunyai prinsip hidup sendiri. Lagi pula Tuhan itu satu. Semua hamba Allah menyembah Tuhan yang satu. Saya ini orang kampung dari ‘hutan Hulu Pahang, apalah hendak disom­bongkan!” (sambil baginda ketawa).