AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 12 Ogos 1999 bertajuk “Selamat pulang Azhar” mencatatkan Pelayaran
AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 12 Ogos 1999 bertajuk “Selamat pulang Azhar” mencatatkan Pelayaran 

Azhar, 41, memulakan pelayaran pada 2 Februari 1999 dari Langkawi, berjaya mengelilingi dunia sejauh 25,000 batu nautika dalam tempoh 190 hari dan tiba di pulau Langkawi pada 11 Ogos 1999.

Wartawan Utusan Malaysia, Zuhairi Ali dan Yusri Sahat pada 12 Ogos 1999 melaporkan ketibaan Jalur Gemilang dengan tajuk utama di halaman satu: “Selamat Pulang Azhar” dan “Syabas orang pertama mengelilingi dunia secara solo di laluan baru”.

Ketibaan Jalur Gemilang diarak oleh konvoi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bot peronda Polis Ma­­rin, kapal dan bot pelbagai agensi kerajaan serta persendirian.

“Dalam suluhan kelam lampu-lampu sorot, orang ramai dapat melihat Jalur Gemilang perlahan-lahan menghampiri garisan penamat dan seterusnya menuju ke Jeti Star Cruise. Azhar menjejakkan kakinya ke Jeti Star Cruise pada pukul 11.55 malam setelah JG ditunda dari garisan penamat” (Utusan Malaysia 12 Ogos 1999.

Utusan Malaysia melapor­kan, Azhar terus memeluk anak-anak dan isterinya, Datin Sara Maria Abdullah dan bapa­nya, Mansor Mohd. Saad, 78, yang menyambut kepulangannya.

Kemudian Azhar menuju ke arah Dr. Mahathir dan mereka berpelukan. Pelayar solo itu kelihatan terharu dan menitiskan air mata ketika berjalan di celah-celah orang ramai yang bersesak-sesak menunggunya di jeti itu sejak awal petang.

Kejayaan Azhar mengelilingi dunia secara solo membuktikan slogan “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Dr. Mahathir bukan omong kosong dan pelayar itu menganggap­nya sebagai tugas yang diamanahkan kepadanya oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kejayaan ini adalah milik rakyat Malaysia, bukan milik saya seorang,” ucap Azhar di perkarangan Hotel Awana Porto Malai selepas mendarat di Jeti Star Cruise.

Perdana Menteri yang menjadi penaung projek Jalur Gemilang itu menyifatkan kejayaan Azhar luar biasa kerana “tiada seorang di antara 22 juta rakyat Malaysia yang mampu melakukan apa yang dilakukan Azhar”.

Saat rakyat Malaysia berbangga de­ngan kejayaan beliau, Azhar yang masih keletihan bersyukur beliau selamat menjalani misinya se­lama tiga bulan belayar mengelilingi dunia yang penuh dengan kisah suka dan duka.

Menurut Azhar dalam buku Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge (2001), pengalaman menyambut hari jadinya yang ke-41 dan menyam­but Hari Raya Aidil Adha bersendirian di lautan, antara saat paling memilukan dalam hidupnya.

“Saya masih ingat lagi malam-malam dengan angin bertiup sayu dan laut laksana tenang tidak berkocak sedikit pun (ketika angin mati). Dan bila saya mendongak, langit biru diliputi bintang gemerlapan, meng­ingat­kannya bahawa walaupun saya kesepian di tengah lautan nan luas saya masih sebahagian daripada penghuni dunia” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001; 145)

Pelayar itu cuba menjauhkan ingatannya daripada keluarganya dengan sentiasa mengisi masanya dengan pelbagai tugas tetapi 11 Februari adalah hari paling sedih baginya kerana ia adalah hari jadinya yang ke-41.

“Dalam keadaan sunyi ini, saya mendengar alunan muzik dari CD dalam komputer. Bia­sanya saya lebih gembira dihiburkan bunyi laut dan angin tetapi sekarang ini apa yang cuba saya elakkan adalah hati ini jadi berkecamuk” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001: 59).

Pada 28 Mac 1999 ketika orang Islam di Malaysia sedang merayakan Hari Raya Aidil Adha, pelaut itu tidak dapat meraikannya selain menghubungi keluarganya.

“Saya tiada sebarang ranca­ngan khas di sini, katanya dalam e-mel “tetapi akan berdoa dan memuji keesaan Ilahi sempena Idul Adha dan meraikannya di Lautan Selatan. Memanglah tempat ini bukanlah sesuai untuk belayar seorang diri dalam sebuah kapal” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001: 73).

Detik paling mencemaskan dalam hidupnya terjadi apabila tiang layar Jalur Gemilang patah dua akibat dihempas ombak raksasa ketika dalam pelayaran di Lautan Selatan.

“Apa yang saya tidak tahu adalah ketika itu satu ombak raksasa melambung kapal, tiba-tiba pecah berderai menyebabkan Jalur Gemilang terapung di udara seketika (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001: 85).

Kehilangan tiang layar adalah satu igauan buruk bagi seorang pelayar solo sepertinya. Berita kehilangan tiang layar Jalur Gemilang menyebabkan orang ramai mengirim e-mel memberikan galakan, semangat dan sokongan moral kepada Azhar supaya meneruskan misi pelayaran untuk mengelilingi dunia.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan