Pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Kewangan pada 28 April 2000 itu mengumumkan pelantikan Zeti bagi menggantikan Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman yang bersara pada 30 April 2000.

Pelantikan Zeti melibatkan tanggungjawab berat dalam memastikan pelan induk komprehensif mendepani krisis kewangan 1997 yang berpunca daripada serangan spekulator atau penyangak mata wang antarabangsa berjaya dilaksanakan.

Mendepani krisis kewangan itu, Malaysia dan bank negara melaksanakan tambatan ringgit pada 1 September 1998 dalam usa­ha menghentikan penurunan mendadak mata wang itu kesan permainan spekulator mata wang sehingga mengakibatkan ringgit didagangkan sehingga lebih RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Zeti dipertanggungjawabkan bagi memulihkan semula dan memantapkan sistem kewangan negara selepas krisis kewangan itu.

Antara perkara pertama selepas dua hari pelantikannya, Zeti mengumumkan usaha awal BNM iaitu memberi tumpuan kepada penggabungan bank-bank institusi tempatan.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 2 Mei 2000 menyiarkan berita ‘Zeti tumpu kepada penggabungan bank’ melaporkan, beliau tidak akan me­ngubah dasar bank negara tetapi menumpukan usaha menjayakan proses penggabungan institusi kewangan tempatan selepas Malaysia dilanda krisis kewa­ngan sejak 1997.

Beliau berkata, penggabungan membentuk 10 kumpulan perbankan utama daripada 53 institusi kewangan perlu diselesaikan segera dan menetapkan penghujung Disember 2000 sebagai tarikh akhir pelaksanaan program penggabungan tersebut.

Langkah itu adalah antara perkara yang sedang diusahakan BNM dan salah satu keutamaan Zeti bagi memastikan ringgit Malaysia terus kukuh selepas keluar daripada krisis kewangan 1997.

BNM turut memberi tumpuan kepada pelan induk 10 tahun sektor kewangan negara yang berada di peringkat akhir, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara berkekalan.

Laporan itu memetik,usaha Bank Negara bagi memastikan sektor kewangan negara terus stabil dan cekap ke arah me­nyumbang kepada peningkatan kemakmuran ekonomi bagi jangka masa 10 tahun akan datang.

WANITA PERTAMA

Zeti yang merupakan anak kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof. Diraja Ungku Aziz dan tokoh budaya, Allahyarhamah Sharifah Azah Mohamed Alsagoff bukan pertama kali menjadi ‘wanita pertama’ dalam pencapaian membanggakan negara.

Sebelum ini, Zeti pernah menyandang gelaran itu apabila dilantik menjadi Penasihat Bank Negara bagi tempoh antara Julai 1995 hingga Mac 1996.

Tidak lama kemudian, beliau sekali lagi diberikan pengiktirafan sebagai wanita pertama apabila memangku jawatan Gabenor pada September 1998.

Peletakan jawatan Gabenor Bank Negara ketika itu, Tan Sri Ahmad Mohamed Don memberi laluan kepada Zeti memangku jawatan tersebut sebelum dipegang oleh Ali.

Pelantikan Zeti sememang­nya tepat berdasarkan pengetahuan luas dalam bidang ekonomi bersama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui masa sukar negara ketika mendepani krisis kewangan 1997.

Di peringkat antarabangsa, Zeti diberi kepercayaan dan dilantik Pengurus Bank Negara di Pejabat Perwakilan BNM London pada 1989 setelah menamatkan perkhidmatannya yang pertama dan dipinjamkan ke Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia sekitar 1979 hingga 1984.

PENDIDIKAN

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian dari Universiti Malaya pada 1970 dan ijazah sarjana dan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang ekonomi kewangan dari Universiti Pennsylvania pada 1978.

BERSARA

Setelah 16 tahun bertungkus-lumus dalam memastikan kedudukan kewangan negara berada dalam keadaan baik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, Zeti yang merupakan ibu kepada dua anak lelaki, Alif Aiman dan Abdul Aziz menamatkan tempoh perkhidmatannya bersama Gabenor Bank Negara pada 29 April 2016.

MAJLIS PENASIHAT KERAJAAN

Pada 12 Mei 2018, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan Zeti sebagai ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

Majlis itu turut dianggotai oleh Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Hassan Merican, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien dan Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan