Pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak menyatakan perkara tersebut melalui artikelnya bertajuk ‘Sumbangan akhbar–akhbar dan wartawan–wartawan Melayu dalam perjuangan kemerdekaan’ sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Menurutnya, Utusan Melayu ditubuhkan de­ngan ikrar perjuangan meninggikan taraf bangsa Melayu dalam mencapai kemerdekaan tanah air dan menegakkan syiar agama Islam.

Berikut tulisan penuh Yusof Ishak:

Sungguhpun yang demikian dan meskipun Utusan Melayu pada waktu itu bernasib baik mendapat Abdul Rahim Kajai menjadi pengarangnya yang pertama, tetapi perasaan bimbang yang sentiasa dirasai oleh pe­ngarang–pe­ngarang Melayu terhadap ‘Special Branch’ masih tetap ada lagi ketika itu.

Oleh kerana itu, sumbangan Utusan Melayu kepada perjua­ngan kemerdekaan tanah Me­layu masih juganya samar–samar.

Abdul Rahim sentiasa menggunakan penanya dengan cara yang licin untuk mengelakkan tuduhan–tuduhan bahawa rencana–rencananya itu menghasut orang Melayu menentang penjajahan dan menuntut kebudayaan dan sifat orang–orang Jepun yang mendewakan negara dan bangsanya, memberi ilham kepada pengarang–pengarang Melayu dan orang–orang Melayu untuk lebih kasih kepada bangsa dan negaranya. Kekerasan pemerintahan Jepun itu memberi keinsafan kepada orang–orang Melayu untuk membebaskan negeri ini daripada sebarang cengkaman penjajahan, baik apa rupa dan bentuk penjajahan itu.

Selepas sahaja Jepun menyerah diri dan pihak berikut masuk semula ke negeri ini pada akhir tahun 1943. Selain dari Utusan Melayu yang telah diterbitkan semula setelah terhenti selama pemerintahan Jepun, ada pula beberapa buah suratkhabar–suratkhabar dan majalah–majalah Me­layu yang baharu terbit dan boleh dikatakan semuanya bercorak kebangsaan.

Selain daripada Utusan Melayu di Singapura telah diterbitkan semula di Kuala Lumpur, surat khabar harian Majlis dan diikuti oleh Suara Rakyat dan Pelita Melayu dan majalah Suluh Melayu (juga diterbitkan). Di Ipoh, diterbitkan Seruan Rakyat dan di Pulau Pinang akhbar Surat Negara.

Surat khabar–surat kha­bar ini menjadi juara dan suara yang melahirkan hasrat rakyat dengan tidak berselindung–berselin­dung dan takut–takut kepada ‘Special Branch’ lagi bagi menyatakan hasrat mahu melepaskan negeri ini dari penjajahan dan belenggu kuasa asing.

Perbuatan Inggeris dan paksaan Inggeris kepada ne­geri–negeri Melayu menerima Malayan Union telah menyebabkan pengarang–pengarang dan surat khabar – surat khabar Melayu yang selama ini agak masih segan melahirkan perasaan dan pendapat dengan berterus terang bersikap sebaliknya. Pengarang–pengarang Melayu itu de­ngan cara yang belum pernah seumpamanya, mereka berbuat telah melakukan serangan–serangan yang hebat dan memilih kata–kata yang tajam sekali membidas sikap dan perbuatan kerajaan Inggeris itu. Mereka tidak berselin­dung–selindung lagi.

Pendeknya, peranan yang diambil oleh wartawan–wartawan dan surat khabar–surat khabar Melayu menaikkan perasaan rakyat supaya bangkit menentang Malayan Union yang mencabul kedaulatan bangsa Melayu itu sangat besar dan dengan seruan–seruan yang diperbuat oleh pengarang–pengarang dan surat khabar–surat khabarnya itulah yang menyebabkan lahirnya pergerakan kebangsaan yang besar sekali dalam negeri ini bagi menentang Malayan Union dan mengembalikan kedaulatan bangsa itu.

Dalam perjuangan menentang Malayan Union itu, pejabat–pejabat surat khabar menjadi jabatan perhubungan, jabatan maklumat, jabatan mengumpulkan wang, jabatan mengumpulkan pendapat dan jabatan mengatur gerak langkah penentangan rakyat.

Jikalau ada ahli–ahli siasah Melayu sekarang ini tidak mahu mengaku berterus terang bahawa akhbar– akhbar Melayu terutama setelah lepas perang itu mengambil bahagian dan memberi sumbangan yang besar kepada perjuangan kemerdekaan tanah Melayu.

Maka mereka sesungguhnya telah menidakkan dan sengaja melupakan jasa baik yang diberi dengan sepenuhnya oleh akhbar–akhbar Melayu dan wartawan – wartawan itu.

Akhbar–akhbar Melayu telah memberikan ruangan–ruangan yang istimewa untuk ucapan–ucapan dan kenyataan–kenyataan yang diberikan oleh pemimpin– pemimpin Melayu untuk diketahui oleh rakyat seluruhnya. Tunku Abdul Rahman A-haj, Ketua Menteri persekutuan tanah Melayu yang ada ini pun. Di dalam ucapannya di majlis jamuan makan tengah hari persatuan wartawan–wartawan Melayu persekutuan tanah Melayu baru-baru ini mengakui akan khidmat dan jasa surat khabar– surat khabar dan wartawan–wartawan Melayu.

“Bagi pihak kerajaan perikatan, saya mengucapkan terima kasih kepada tuan–tuan”.

KEMPEN PILIHANRAYA

Memang demikianlah hal­nya. Di dalam kempen pilihan raya seluruh persekutuan ta­nah Melayu pada tahun 1955, akhbar–akhbar Melayu ter­utama lagi Utusan Melayu adalah mengambil bahagian yang penting sekali menyebarkan pidato–pidato dan ikrar serta rancangan–rancangan parti Siasah, terutama sekali bagi rancangan dan ucapan–ucapan pemimpin–pemimpin perikatan. Tiada sebuah surat khabar Inggeris pun yang memberikan ruangan yang sebegitu besar dan sebegitu kuat menyokong parti perikatan di dalam kempen pilihan raya itu.

Kebanyakan akhbar Ing­geris itu memberikan sokongan kepada parti negara dan ke­tewasan parti negara itu yang diagungkan-agungkan oleh akhbar Inggeris itu sebenar­nya menunjukkan pengaruh suratk habar kebangsaan Me­layu di dalam kalangan rakyat jelata lebih besar dan lebih kuat daripada pengaruh suratkhabar–suratkhabar Ing­geris. Kalau dapat dikenakan, kekalahan parti negara yang mendapat sokongan suratkhabar suratkhabar Inggeris itu ialah sebagai tamparan yang hebat kepada akhbar–akhbar itu.

Mungkin ada orang yang bertanya, mengapa Utusan Melayu memberikan sokongan yang kuat kepada Perikatan di dalam pilihan raya itu.

Mengapa sokong Perikatan, seperti yang terdahulu dikatakan, bahawa Utusan Melayu dilancarkan dengan maksud meninggikan taraf bangsa negara dan agama dan cita–cita itu tidak dapat dilaksanakan selagi negeri ini di bawah penjajahan. Pihak Perikatan de­ngan terus terang mengumumkan perkara itu di dalam manifestonya.

YUSOF ISHAK Pengasas, Pengurus Besar dan Ketua Pengarang Utusan Melayu.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan