Beliau yang juga bekas Ketua 1 GAPENA dan sekarang bertugas sebagai Profesor Warisan dan Peradaban di Universiti Islam Malaysia dan Pengerusi Majlis Penasihat Adat dan Warisan (Lembaga Bahasa Melayu Melaka), begitu akrab dengan Utusan Melayu sejak menjadi mahasiswa di Universiti Malaya lagi.

Abdul Latiff pernah menulis tesis ilmiah mengenai Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Mohamad dan Peranan Media Dalam Pilihan Raya Persekutuan yang khusus mengkaji peranan Utusan Melayu dalam sistem politik negara dan kepentingan bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air, Malaysia.

Utusan: Sebagai seorang tokoh akademik dan kebudayaan yang begitu akrab dengan Utusan Melayu, bagaimana Tan Sri melihat perjuangan Utusan dulu dan sekarang yang bersendikan tiga paksi utama bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air?

ABDUL LATIFF: Jiwa saya, perasaan saya sebagai seorang Melayu, apa yang saya fikir dan perjuangkan sejiwa dengan Utusan Melayu. Sebab saya dilatih dalam masyarakat Melayu melihat dari segi kepentingan bangsa Melayu, kepentingan Agama Islam dan negara Malaysia tercinta.

Itulah juga perjuangan Utusan. Dalam konsep yang tiga ini, Melayu, Islam dan Malaysia (MIM), memang sejiwa dengan saya. Saya mengkaji dan menghayati kepentingan dan kehebatan bangsa Melayu di tanah airnya sendiri.

Dulu, bangsa keturunan kita kebanyakannya, menganut fahaman Hinduisme, Budisme dan Animisme, tetapi sekarang berubah kepada agama Islam. Islam telah mencorakkan kehidupan kita di tanah air kita sendiri. Dahulu, Malaysia dikenali sebagai Tanah Melayu, hak milik orang Melayu dan berketuakan Raja-Raja Melayu.

Saya suka menggunakan istilah MIMBAR yang terdiri daripada perkataan ‘M’ (Melayu), ‘I’ (Islam), ‘M’ (Malaysia), ‘B’ (Bersatu) demi ‘A’ (Amanah) dan ‘R’ (Rakyat). Ia membawa maksud kita ada maruah sebagai satu bangsa, ada negara dan mempunyai warisan dan peradaban yang setaraf dengan peradaban dunia yang dikenali sebagai Peradaban Melayu di Rumpun Melayu.

Bagaimana Tan Sri tergerak hendak mengkaji Utusan Melayu sejak tesis sarjana muda sastera, sarjana dan ijazah doktor falsafah (Ph.D) berkisar tentang peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh di Utusan Melayu?

Kajian saya sejak zaman mahasiwa di Universiti Malaya tertumpu kepada peranan tokoh-tokoh besar yang meletakkan batu asas di Utusan Melayu seperti Ishak Haji Muhamad (Pak Sako) pada 1972, diikuti dengan Bapa wartawan Melayu Abdul Rahim Kajai (keperluan Sarjana Sastera) pada 1975 dan Peranan Utusan Melayu Dalam Pilihan Raya Umum 1964 dan 1969 untuk tesis Ph.D.

Pengasas Utusan Melayu, Tun Yusof Ishak telah melibatkan diri bersama tokoh-tokoh intelektual yang berpendidikan Inggeris masa itu seperti Ishak Haji Muhamad (bekas majistret) dan Ahmad Boestamam, tokoh nasionalis. Tokoh dari institusi pondok seperti Abdul Rahim Kajai yang pernah belajar di Mekah dan menjadi mutawif haji turut mencorakkan dasar Utusan pada 1939.

Inilah barisan wartawan yang menjadi tonggak kekuatan Utusan Melayu ditambah dengan pemimpin yang hebat seperti Yusof Ishak. Saya dapati Utusan Melayu ialah akhbar yang sangat hebat dan perjuangan hendak menubuhkannya pada tahun 1939 bukanlah mudah.

Penuh pengorbanan jiwa dan perasaan. Sanggup meminta derma dan berkempen menjual saham. Mereka sanggup bekerja dalam keadaan tertekan ketika orang Melayu bersengketa dan dipandang rendah.

Di Singapura ketika itu bidang perniagaan dan penerbitan kebanyakannya dikuasai oleh orang Islam dari Darah Keturunan Arab (DKA) dan Darah Keturunan Keling (DKK). Antara penerbitan yang tersohor seperti Warta Malaya, Warta Jenaka dan Warta Ahad.

Jadi, semangat inilah yang saya fikir patut dicontohi oleh generasi wartawan dan pemimpin kita sekarang. Semangat dan pengorbanan dalam melestarikan suatu wadah perjuangan suci untuk mengangkat suara yang berasal dari Rumpun Melayu dan meletakkan agama Islam dan tanah air di hadapan. Legasi perjuangan Utusan Melayu sejak 1939 perlu dijulang dan diperkukuhkan.

Perjuangan mempertahankan Utusan Melayu kini merupakan suatu usaha yang kita kagumi, hormati dan sanjung tinggi sebagai mengenang budi pejuang terdahulu seperti Abdul Rahim Kajai, Yusof Ishak dan Ishak Haji Muhamad.

Ini menunjukkan pejuang-pejuang di Utusan Melayu sedar lebih awal mengenai perjuangan mengenai nasib bangsa Melayu, Islam dan negara di zaman penjajah berbanding ahli-ahli politik era itu?

Ya. Pada waktu itu Utusan Melayu menjadi platform utama pemikir-pemikir Melayu seperti Yusof Ishak, Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhamad, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Haji Yaacob dan Ahmad Boestamam untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Ini menunjukkan pada awal 1930-an, tokoh-tokoh Melayu ini sedar mengenai cabaran yang dihadapi oleh bangsa Melayu dari Rumpun Melayu yang terpaksa bersaing dengan bangsa pendatang yang dibawa oleh pemerintah British demi kepentingan ekonomi mereka.

Mereka perjuangkan nasib bangsa Melayu, agama Islam dan tanah air di Tanah Melayu dengan mengangkat Institusi Raja-Raja Melayu sebagai Yang Dipertuan orang Melayu.

Semangat yang terpasak dalam jiwa wartawan pada waktu itu dizahirkan dalam pelbagai bentuk pengorbanan dan bukannya mengejar kekayaan. Kajai ketika menjadi Pengarang di Utusan Melayu penuh bersemangat dalam mengangkat martabat dan maruah bangsa Melayu di Rumpun Melayu.

Jadi semangat yang dipusakai Utusan yang lahir pada 1939 inilah yang saya dapat rasai apabila membaca Utusan Melayu sampai sekarang.