Ooi Kee Beng, pengarang biografi The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time (2006), mencatat secara dra­­ma­tik keganasan yang mula meletus pada pukul 6.45 pe­tang menyebabkan perintah berkurung terpaksa diisytiharkan di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam.

Sejumlah 2,000 askar dan 3,600 anggota polis dikejarkan ke bandar raya namun rusuhan merebak sepanjang malam, sepanjang hari esoknya dan menular ke seluruh negara.

“Zailah, anak perempuan sulung Ismail sedang menonton peristiwa rusuhan itu di televisyen dalam siaran beri­ta pukul 8 malam apabila dia memberitahu, ayahnya Ismail tenang sahaja tetapi mengambil pistol dan memasukkan ke dalam saku, lalu keluar bersama ibu saya pergi makan malam di rumah kawannya, Sammy Senn di kawasan Bukit Kenny dekat rumah kami.

“Pada pagi 14 Mei, Zailah mengangkat telefon. Rupanya panggilan itu dari Razak (Tun Abdul Razak). Dia menyerahkan telefon itu kepada ayahnya.

“Sebentar kemudian, sepasukan polis bersenjata tiba dan mengiringi ayahnya pergi. Zailah kemudian diberitahu Ismail, dia kembali menyertai kerajaan” (Ooi Kee Beng 2006: 186).

Perintah Darurat diisytiharkan pada Khamis 15 Mei dan parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (Mageran) seterusnya dibentuk keesokan harinya diketuai Tun Razak sebagai Pengarah Gerakan Negara. Badan itu dibentuk de­ngan mencontohi badan yang sama namanya yang bertindak semasa Darurat dahulu.

Tunku sendiri yang ketika itu berusia 66 tahun enggan memegang jawatan Pengarah Mageran tetapi beliau menye­rahkan kepada Tun Razak yang berusia 47 tahun dengan alasan pengalaman timbalannya itu dalam soal keselamatan dan keadaan kesihatan Perdana Menteri waktu itu yang menghidap glaukoma dan penyakit lain.

Ismail membuat ucapan se­cara langsung di televisyen se­lepas ucapan Tunku Abdul Rahman sebelum itu gagal me­yakinkan orang ramai me­ngenai situasi rusuhan yang se­dang marak di Kuala Lumpur.

Ismail berucap di udara dan mengatakan: “Demokrasi telah mati di negara ini. Mati di tangan parti pembangkang yang mencetuskan kejadian-kejadian yang membawa keganasan ini!”.

Beliau mengatakan, tidak ragu-ragu lagi demokrasi di Malaysia telah mati waktu itu dan belum jelas apa bentuknya nanti apabila dihidupkan semula, kalaulah dapat dihidupkan semula.

“Pada pandangan Ismail, beliau memikul kewajipan untuk memberi ‘nyawa’ se­mula kepada demokrasi. Pernah beliau berkata kepada para wartawan kemudian bahawa kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan yang tidak takut mengamalkan demokrasi” (Ooi Kee Beng 2006: 188).

Biografi Tun Dr. Ismail itu turut menyatakan bagaimana Tun Musa Hitam yang turut menyaksikan Ismail berucap di televisyen secara langsung ketika itu terkenangkan “rasa lega merangkul kami; ketokohan beliau sebagai seorang yang adil terus muncul sebagai suatu kuasa yang ajaib!”.

Selepas beliau berjaya menenangkan negara berikutan Tragedi 13 Mei, namun dalam keluarga Ismail sendiri semakin meningkat desakan supaya beliau mengurangkan kerja keras­nya sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Ne­geri.

Ayahnya, Abdul Rahman Yassin turut mengirimkan surat meminta Ismail agar “dengan bersungguh-sungguh meletakkan jawatan kamu sekarang secepat mungkin”.

Pada pandangan ayahnya, Ismail telah melanggar sum­pahnya kepada keluarga untuk meninggalkan dunia politik. “Jadi kamu mesti bertaubat sekarang,” tegas ayahnya.

Surat ayah beliau bertarikh 20 Februari 1970 turut menyatakan: “Tak ada orang yang tak boleh dicari gantinya dalam dunia ini. Kamu sudah cukup berkorban. Jangan berlebih-le­bihan pula! Umur kamu sudah lima puluhan.

“Beribadatlah kepada Allah, jangan cuma jadi hamba kepada bacul-bacul yang tak tahu mengenang budi itu. Mula-mula kamu diangkat-ang­kat, kemudian kamu disuruh pikul beban macam keldai” (The Reluctant Politician: Tun Dr. Ismail and His Time 2006).

  • ESOK: Hari-hari terakhir Tun Dr. Ismail.