Menurut Utusan Malaysia, yang melaporkan pembukaan jalan baru Bukit Putus itu, Mohamad Hassan yang lebih mesra dengan gelaran Tok Mat secara rasmi mengubah persepsi masyarakat dan sejarah mengenai misteri Bukit Putus apabila beliau menyempurnakan majlis perasmian di atas jambatan ketiga yang mempunyai ketinggian 48 meter dari aras laut dan kedua tertinggi di negara ini.

Kini, tiada lagi stigma karut mengenai Bukit Putus yang di momokkan orang kononnya sebagai lokasi ‘menyeramkan’ yang dikaitkan beberapa kejadian mistik di kawasan itu terutama bagi pengguna jalan raya waktu malam dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.

Juga, kini tiada lagi kedengaran kisah pengguna bertembung dengan perempuan cantik di tengah jalan, terkena usikan dan gangguan menyeramkan dan entah 1,001 kisah yang dikaitkan dengan Bukit Putus.

Laluan baru Bukit Putus yang terbentang luas begitu selesa memiliki lima jambatan merentasi Hutan Simpan Gunung Angsi mengambil kira aspek pemeliharaan alam sekitar.

“Selain itu, berlatar belakangkan Hutan Simpan Angsi dan Gunung Berembun laluan ini sungguh unik dengan panorama menakjubkan dikelilingi kehijauan pemandangan sekitarnya.

“Secara amnya, laluan baru sejauh 6.9 kilometer yang dibuka secara rasmi pada 25 November 2009 menamatkan kemarau penantian penduduk negeri ini sejak 40 tahun lalu yang terpaksa berdepan kesesakan ketika melalui jalan lama. Bagi penduduk negeri ini, laluan tersebut dinanti-nanti malah dianggap sebagai ‘hadiah bermakna’ untuk rakyat daripada kerajaan ne­geri” (Utusan Malaysia 1 Di­sember 2009).

AKHBAR Utusan Malaysia terbitan 26 November 2009 menyiarkan berita bertajuk “Jalan baru Bukit Putus
AKHBAR Utusan Malaysia terbitan 26 November 2009 menyiarkan berita bertajuk “Jalan baru Bukit Putus dibuka” secara rasmi oleh Mohamad Hasan.

Menurut laporan Utusan Malaysia lagi, pembukaan rasmi jalan baru Bukit Putus berharga RM109.5 juta itu oleh Mohamad Hassan merupakan suatu rahmat sekaligus memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk dan pengunjung yang sebelum ini terpaksa berhadapan kesesakan lalu lintas yang teruk di laluan lama Seremban-Kuala Pilah yang berlarutan sejak kira-kira 40 tahun lalu.

Perjalanan yang dulunya mengambil masa lebih 20 minit kini dipendekkan kepada tujuh minit sekali gus menjadi laluan terpantas meng­hubungkan Seremban-Kuala Pilah.

Mohamad yang sentiasa tersenyum semasa berucap di majlis berkenaan yakin pembukaan jalan baru Bukit Putus akan menyaksikan kawasan bahagian timur Negeri Sembilan dapat membangun dengan lebih cepat dan pesat.

“Ia juga memberi peluang kepada pelabur dan orang ramai berurusan di bahagian timur Negeri Sembilan khususnya di Kuala Pilah, Bahau dan Jempol kerana di kawasan berkenaan masih banyak lagi tanah yang belum dibangunkan,” jelas Mohamad Hassan (Utusan Malaysia 26 November 2009.

Utusan Malaysia melaporkan pemandu yang hendak ke Kuala Pilah kini tidak lagi perlu bimbang untuk melalui selekoh tajam di jalan lama berdekatan Bukit Putus sebaliknya perjalanan semakin lancar melalui jalan lurus yang lebih cepat dan pantas yang mengambil masa tujuh minit sahaja berbanding melalui jalan lama yang memakan masa kira-kira 20 minit.

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani plak perasmian jalan baru Buk
MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menandatangani plak perasmian jalan baru Bukit Putus pada 24 November 2009.

Nostalgia Bukit Putus

Menurut laporan Utusan Malaysia, laluan lama Bukit Putus kini hanya menjadi nostalgia silam kepada pengguna jalan raya itu yang pernah melalui jalan tersebut yang hanya dipenuhi kera liar untuk mencari makanan.

Lokasi Bukit Putus pernah mendapat jolokan ‘laluan sutera’ atau ‘silk road’ yang merujuk laluan seribu liku yang menghubungkan Wilayah Xian di China dengan Rom di kawasan Mediterranean.

Utusan Malaysia menyatakan, Bukit Putus juga diibaratkan sebagai ‘laluan sutera moden’ bagi pedagang dari Pantai Timur (peniaga di Pahang, Kelantan dan Terengganu) untuk membawa hasil pertanian mereka seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan binatang ternakan untuk dijual ke Pantai Barat, khususnya di Selangor dan Lembah Klang.

Malah, jalan Bukit Putus juga menjadi laluan terpenting pengguna yang hendak ke Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang selain Segamat di Johor.

Bagi pelancong, jalan Bukit Putus menggamit kedatangan pengunjung yang hendak melawat keindahan Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah dan kawasan Rekreasi Air Terjun Ulu Bendul, lokasi menarik yang wajib dilawati.