Srikandi pertama, Rosnah merupakan pemenang pertama Hadiah Kajai, anugerah tertinggi kewartawanan Malaysia anjuran Malaysian Press Institute (MPI) pada tahun 1984 melalui rencana bersiri mengenai rancangan kerajaan membina Empangan Tembeling yang boleh merosakkan alam sekitar.

Ekoran pendedahan berani Rosnah yang disiarkan oleh Utusan Malaysia, projek empangan tersebut dibatalkan.

Maimunah Yusof, srikandi kedua pula mencipta rekod apabila menjadi penulis paling lama bertahan dalam sejarah menerusi ruangan ‘Di Celah-Celah Kehidupan’ (DCCK) sejak mula menemui pembaca Mingguan Malaysia pada tahun 1979.

ROSEMINAH AHMAD (depan) bersama bekas Pengarang Wanita, Nik Rahimah Hassan.
ROSEMINAH AHMAD (depan) bersama bekas Pengarang Wanita, Nik Rahimah Hassan.

Maimunah adalah wanita pertama dilantik Pengarang Wanita (1984), Pengarang Ming­guan Malaysia (1997), wanita pertama dilantik sebagai Ketua Pengarang Bahagian Majalah Kumpulan Utusan (2000) dan seterusnya Ketua Pegawai Operasi Utusan Karya Sd. Bhd. (UKSB) anak syarikat Kumpulan Utusan (2003).

Srikandi ketiga, Roseminah Ahmad turut mencipta rekod sejak memulakan kerjaya sebagai Penolong Ketua pemberita Utusan Melayu pada 1970 yang merupakan jawatan pertama disandang kaum wa­nita.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Redaksi majalah Selecta Femina (1977-1998), Pengarang Rua­ngan Wanita Utusan Malaysia dan Pengarang Utusan Zaman (1978). Roseminah digeruni kerana beliau ditauliahkan pangkat Leftenan Muda selepas menjalani latihan askar Wataniah di Ipoh pada 1970.

“Sepatutnya Kak Ros dise­rapkan ke Kementerian Pertahanan Bahagian Perhubungan Awam tetapi Pak Melan (Melan Abdullah) hantar berkursus di Berlin, Jerman,” katanya. Roseminah merupakan wartawan pertama Utusan Melayu dihantar berkursus di Institute of Journalism di Berlin selama tiga bulan pada 1971 selepas Zainuddin Maidin menamatkan kursus yang sama di negara tersebut.

Antara jawatan penting yang pernah disandang Roseminah semasa berkhidmat di Utusan Melayu ialah Pengarang Wanita (1986), wanita pertama dilantik sebagai Ketua Bahagian Majalah menggantikan Chamil Wariya (1996-2000) dan Pengurus Jabatan Pengarang wanita yang pertama (2000). Beliau seterusnya berkhidmat sebagai Pengarah Institut Akhbar Malaysia pada 2005 hingga 2007 dan dianuge­rahkan sebagai Tokoh Wartawan Selangor 2007. Roseminah turut mencatat nama sebagai wanita pertama meme­gang jawatan Timbalan Presiden Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM).

“Semasa Kak Ros menjadi Ketua Bahagian Majalah banyak majalah baharu berjaya diterbitkan ketika itu seperti Mangga, Saji, Hai, Pemikir, Massa, Cerdas Pintar dan Kawan.

“Utusan hantar Kak Ros sampai ke Tokyo, Jepun selama dua minggu meninjau perkembangan komik di sana. Itulah akhirnya dapat nama ‘Mangga’ maksudnya komik,” cerita Roseminah kepada Mingguan Malaysia.

Rosnah pula yang memulakan khidmat di Utusan Melayu pada 15 Januari 1977 meletakkan jawatan pada 15 Januari 1997 selepas berkhidmat selama 20 tahun bagi menceburi dunia politik.

Karier politik Rosnah bermula apabila beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Dawai dan dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kedah pada tahun 1990.

Menurut Zainuddin Maidin dalam buku Di Depan Api Di Belakang Duri: Kisah Sejarah Utusan Melayu (2013) Rosnah mungkin merupakan wartawan wanita Utusan Melayu yang pa­ling menyerlah dan mencipta kejayaan besar dalam bidang kewartawanan berbanding wartawan-wartawan wanita terdahulu yang timbul dan tenggelam sejak tahun 1950-an.

Rosnah mencipta rekod apabila berjaya menemuramah ramai tokoh pemimpin negara dan pembangkang seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Daim Zainuddin, Datuk Harun Idris, Abdul Rahim Bakar, Datuk Dr. Lim Keng Yaik, Lim Kit Siang, Datuk Asri Muda dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Paling menarik Rosnah juga wartawan pertama yang berjaya menemuramah Pemangku Yang di-Pertuan Agong Ketujuh, Sultan Haji Ahmad Shah yang juga Sultan Pahang.

“Interview menarik Rosnah dengan Sultan Pahang sewaktu baginda menjadi Pemangku Yang di-Pertuan Agong menghadapi kesulitan untuk disiarkan kerana Jabatan Perdana Menteri menahan penyiarannya kerana Rosnah tidak terlebih dahulu meminta keizinan daripada Perdana Menteri ketika itu Hussein Onn. Interview itu bagaimanapun ‘terpaksa diluluskan’ siarannya menjelang pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ketujuh” (Zainuddin Maidin 2013: 288).

Rosnah juga wartawan pertama menemuramah Nik Aziz Nik Mat sebulan selepas beliau menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990. Antara so­alan yang di­tanya adalah kenapa antara arahan pertama Nik Aziz selaku Menteri besar ialah tidak membenarkan qariah Kelantan mengambil bahagian dalam Ti­lawah al-Quran di Kuala Lumpur.

Semasa temu ramah dengan Rosnah itu Nik Aziz menjawab: “Kerana suara wanita itu aurat, apalagi apabila dipercomel-comelkan”.

Kemudian Rosnah mencelah: “Kalau begitu bagaimana de­ngan interview kita ini. Saya wa­nita dan suara saya aurat?”.

Sambil menepuk kusyen, Nik Aziz berkata: “Ini yang ambo (saya) tak sedap. Cik Rosnah dah date (datang), ambo setujulah ditemu ramah!”.