Fakta ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh David Lim bertajuk Economic Growth and Development in West Malaysia 1947-1970 yang diterbitkan oleh Oxford University Press (1973) menunjukkan sehingga tahun 1957, hampir 70 peratus masyarakat luar bandar yang terdiri daripada orang Melayu dan 64 peratus daripada mereka mempunyai pendapatan kurang daripada RM128 sebulan berbanding dengan 14 peratus masyarakat Cina dan 18 peratus masyarakat India.

Ketidakseimbangan ekonomi antara kumpulan etnik di Malaysia merupakan satu gejala yang amat membimbangkan terutama pakar ekonomi dan dalam kalangan intelektual Melayu.

Aiza Maslan @ Baharudin dalam artikelnya The Role of Lembaga Tabung Haji in Enhanching the Economic Situation of the Malays and Hajj Services between 1969 and 1984 (Peranan Lembaga Tabung Haji Untuk Meningkatkan Ekonomi dan Perkhidmatan Haji orang Melayu 1969-1984) dalam Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu Jilid 9 Bil.2 (2016) menyatakan, jurang ekonomi itu telah mendapat perhatian profesor ekonomi Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Ekoran itu, Ungku Aziz dalam kertas kerjanya yang berjudul The Mobilization of Rural Savings dalam Persida­ngan Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh (ECAFE) di Bangkok pada tahun 1952 telah menyuarakan kebimbangannya mengenai masalah kemiskinan orang Melayu di luar bandar, kaedah penyimpanan wang orang Melayu dan kesannya terhadap pembangunan ekonomi negara.

Ungku Aziz, sebagai profesor ekonomi yang banyak menjalankan kajian tentang kemunduran ekonomi luar bandar berpendapat bahawa kaedah penyimpanan wang orang Melayu secara tradisional amat merugikan dan memberikan kesan negatif kepada individu dan struktur ekonomi luar bandar.

Ungku Abdul Aziz berpendapat, penolakan terhadap riba merupakan penyebab utama yang menghalang orang Melayu melibatkan diri dalam sistem perbankan konvensional.

“Perkara tersebut berkait rapat dengan pegangan orang Melayu yang sentiasa memastikan bahawa wang yang akan dibelanjakan untuk tujuan haji ‘bersih’ dan ‘suci’ serta bebas daripada sebarang unsur riba kerana wang simpanan tersebut dibelanjakan ke jalan Allah SWT dan untuk beribadah.

“Oleh itu mereka lebih cende­rung untuk menyimpan wang di bawah bantal dan tilam, di celah atap, papan lantai, dinding serta di dalam tempayan yang ditanam di dalam tanah. Simpanan yang ada akan digunakan bagi membeli tanah, ternakan dan barang kemas yang akan dijual apabila ‘sudah sampai seru’ untuk ke Tanah Suci” (Aiza Maslan @ Baharudin 2016).

Menurut Ungku Abdul Aziz, kaedah penyimpanan sebegini tidak lagi praktikal dan sesuai dalam era 1950-an, malahan boleh mengakibatkan kerugian apabila berlaku kecurian, kebakaran, kematian ternakan dan kenaikan kadar cukai tanah.

Selain itu, keadaan segelin­tir jemaah haji yang menghadapi masalah kewangan sekembali­nya ke tanah air setelah menyempurnakan ibadah haji turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk golongan akademik dan intelektual Melayu.

Pada 16 Jun 1960, Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah membentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada 15 orang untuk mengkaji masalah-masalah mengenai penubuhan Lembaga Jemaah Haji.

Pembentukan jawatankuasa Kebajikan Ekonomi Bakal-Bakal Haji ini juga adalah sesuai dengan keazaman kerajaan untuk mendukung Agama Islam sebagai agama rasmi Tanah Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa khas ini dipengerusikan oleh Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar dan Kampung, Abdul Khalid Awang Osman serta anggota mesyuarat yang terdiri daripada Pengerusi Rida, Ahmad Daud; Pensyarah Ekonomi Universiti Malaya, Ungku Abdul Aziz, Penyimpan Mohor Raja-Raja Melayu serta wakil-wakil dari Pegawai Jemaah Haji, Perbendaharaan dan wakil jabatan agama negeri dari seluruh Tanah Melayu.

Rizalman Muhammad da­lam tesis Doktor Falsafah (Ph.D) Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya bertajuk Maqasid Ibadah Haji Dalam Perspektif Sunnah: Kajian Terhadap Kefahaman dan Amalan Jemaah Haji Malaysia (2016) menyatakan, bagi memudahkan urusan bakal-bakal haji, Ungku Aziz mencetuskan idea melalui kertas kerja bertajuk: “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji” sehingga mendorong penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji pada bulan November 1962. Perbadanan ini mula beroperasi pada 30 September 1963.

“Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, pada tahun 1969 perbadanan tersebut dicantum­kan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969” (Rizalman Muhammad 2016: 3).

Sejak itu Lembaga Tabung Haji (TH) mengorak langkah sebagai institusi yang unggul bukan sahaja dalam soal pe­ngelolaan jemaah haji bahkan dalam bidang-bidang yang lain.