Terletak di Banjaran Titiwangsa, pembinaan terowong sepanjang 950 meter itu merupakan sebahagian daripada projek pembinaan Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang memendekkan jarak perjalanan pengguna lebuh raya dari sebelah Pantai Barat ke Pantai Timur.

Pembinaan lebuh raya itu bermula pada Disember 1974 sehingga pertengahan 1979. Pada awal pembinaannya, terowong ini merupakan terowong tunggal dengan dua lorong sahaja, sebelum terowong tambahan dibina pada 1995 iaitu kerja menarik taraf KLK kepada Lebuh raya Ekspres Empat Lorong.

Pada 7 Januari 1978, Te­rowong Genting Sempah dibuka dengan rasminya kepada lalu lintas oleh Menteri Perhubungan dan Kerja Raya dan Kemudahan Awam ketika itu, Tan Sri Abdul Ghani Gilong dan diiktiraf terowong jalan bawah tanah pertama Asia Tenggara.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Januari 1978 memuatkan berita Terowong Le­buh raya Kuala Lumpur-Karak boleh dilalui mulai 10 pagi, melaporkan Terowong Genting Sempah yang dibina bagi projek KLK dibuka secara rasmi kepada orang awam bermula 7 Januari.

Laporan itu memetik, se­rentak dengan itu orang ramai boleh menggunakan lebuh raya KLK yang bermula dari Batu 11 Gombak dan tidak lagi perlu menggunakan jalan lama Kuala Lumpur-Bentong.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 12 Disember 2015 turut memuatkan berita ‘Penghubung timur barat semenanjung’ melaporkan, pembinaan KLK adalah bagi memenuhi keperluan peningkatan trafik keluar dan masuk ke ibu negara dari Pantai Timur walaupun terdapat jalan alternatif yang masih boleh digunakan ketika itu.

Untuk ke Pantai Timur, pemandu perlu menyeberangi Banjaran Titiwangsa. Selain Lebuh Raya KLK, terdapat beberapa jalan alternatif yang boleh dilalui seperti Jalan 68, Bentong-Kuala Lumpur dan Jalan 55, Kuala Kubu-Raub.

Bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pemandu yang memilih waktu perjalanan lebih singkat, maka lebuh raya KLK telah dinaik taraf dan terowong kedua dicadangkan dibina pada 1994.

Lebih RM50 juta dilaburkan untuk membina terowong kedua dengan menggunakan teknologi dari Austria yang dipanggil New Austrian Tunnelling Method (NATM).

Naib Presiden Kanan dan Pengarah Projek Bahagian Pembinaan Kumpulan Alloy MTD Sdn. Bhd., Ahmad Tarmizi Ismail ketika itu, memberitahu terdapat beberapa faktor diambil kira untuk membina terowong kedua.

“Terowong Genting Sempah yang pertama dibina pada 1977 dan dibuka oleh kerajaan kepada orang awam pada 1979. Kemudian setelah diserahkan konsesinya kepada MTD Prime (kini ANIH Berhad), beberapa kajian telah dibuat sebagai persiapan untuk mengharungi masa hadapan.

“Kita boleh nampak dengan jelas terdapat satu faktor utama yang memerlukan terowong kedua dibina iaitu bentuk muka bumi di sekitar kawasan tersebut yang berbukit-bukau.

“Apabila peta pembinaan jalan dibentang, banyak selekoh menyusuri lereng-lereng bukit dan kecuraman lebuh raya perlu dibina. Jadi, perkara pertama yang difikirkan untuk lebuh raya ini ialah mengurangkan selekoh berbahaya dan mendaki,” katanya.

Selain itu, pihaknya menjangkakan sekiranya kedua-dua terowong tersebut tidak dibina, maka pemandu perlu melalui jalan yang banyak selekoh dan mendaki bukit pada kadar kecuraman yang tinggi.

“Bayangkan terowong tersebut tidak dibina, memang ada alternatif pembinaan jalan raya selain membina terowong, tetapi risiko bahaya pula yang datang. Sebagai contoh, jalan yang terlalu curam, selekoh tajam dan sebagainya. Pembinaan terowong tersebut sebenarnya mengikut standard lebuh raya di Malaysia dengan kadar kecuraman jalan raya sekitar lapan hingga 10 peratus.

“Maka sebab itulah te­rowong kedua perlu dibina bukan sahaja menambah keselesaan pengguna tetapi meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya apabila melalui lebuh raya KLK yang terkenal sebagai lebuh raya bergunung-ganang,”katanya.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan