Bekas Penolong Ketua Penyunting Mingguan Malaysia, Datuk Raja Ahmad Niza dalam tulisannya bertajuk “Salam Kemanusiaan Utusan Melayu” dalam buku ‘Di Sebalik Jendela Utusan’, sempena 50 tahun ­ulang tahun Utusan berkata, Utusan tidak pernah mengatakan tidak boleh kerana program khidmat sosial membantu masyarakat sudah menjadi darah dagingnya.

Utusan juga tidak lupa dengan masyarakat yang menderita. Utusan tidak pernah membiarkan orang menangis tanpa disapu air matanya.

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Utusan lancer Tabung Palestin’ bagi membantu rakyat Pale
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Utusan lancer Tabung Palestin’ bagi membantu rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman Israel di Lebanon pada 5 Julai 1982. 

Pada 1979, seorang penoreh getah dari pedalaman Sungai Pusu Gombak, Selangor, Jamaludin Ahmad datang membawa anaknya, Suriyati ke Utusan Melayu. Jantung Suriyati yang berlubang perlu dibedah dalam tempoh sebulan bagi menyelamatkan nyawa anaknya itu.

Anaknya memerlukan RM25,000 bagi menanggung kos perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Jamaludin menunjukkan surat dari Pakar Jantung hospital tersebut, Dr. Nik Zainal Abidin Abdul Rahman mengesahkan Suriyati yang berusia dua tahun itu dan diberi gelaran “blue baby” itu memerlukan perbelanjaan RM25,000,

Ketika Utusan menghubu­ngi Dr. Nik Zainal beliau berkata, saya percaya Utusan boleh membantu Suriyati, ibu ba­panya susah, tidak mampu mengadakan wang sebanyak itu.

Raja Ahmad berkata, wartawan Utusan telah mewawancara keluarga Suriyati dan apabila kisah pilu itu didedahkan di dada akhbar Utusan Malaysia, derma datang mencurah-curah.

“Dalam masa sebulan, Utusan dapat mengumpulkan RM75,000. Utusan terus me­ngendalikan penerbangan Suriyati ke Pusat Jantung Manila bersama ibu bapanya. Namun, setelah 11 hari berada di Manila, Suriyati meninggal dunia di pusat jantung itu sebelum menjalankan pembedahan,” jelasnya.

Utusan juga turut beramal membantu keluarga yang malang nasibnya seperti anak-anak yatim, pelarian, mangsa kebakaran dan isteri yang di­tinggalkan.

Anak-anak yatim selalu mendapat perhatian Utusan, termasuk Anak-Anak Yatim Rumah Bakti Hulu Klang, Selangor. Pada Ja­nuari 1978, Utusan telah berkempen membantu 19 anak yatim di Kuantan, Pahang. Seorang janda yang mempunyai 11 orang anak terpaksa menanggung 11 anak yatim lagi kerana ibu bapa mereka telah meninggal dunia. Tabung itu telah berjaya me­ngumpulkan RM6,000.

Satu lagi bakti Utusan yang terus berkekalan dan telah diambil alih oleh kerajaan ialah Tabung Derma Perwira Negara. Tabung itu dilancarkan ekoran peristiwa ancaman konfrontasi Indonesia yang dipimpin oleh rejim Sukarno pada 1963.

Derma telah datang daripada segenap lapisan masyarakat hingga meningkat RM250,000. Tabung itu sekarang dikenali Tabung Derma Pahlawan. Tabung ini mendermakan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga perajurit yang terkorban dalam menjalankan tugas mempertahankan negara,

Sementara itu, simpati Utusan bukan tertumpu kepada insan dalam negara sahaja, malah kemanusiaannya menjangkau dari benua-benua. Dari bumi kering Afrika menjalar ke Afghanistan merayap ke Palestin dan terus ke Lebanon.

Utusan turut merasakan penderitaan beratus ribu kanak-kanak yang kelaparan di Afrika dan kepedihan keluarga pejuang Mujahidin di Afghanistan termasuk nasib pelarian Palestin dan mangsa pembunuhan di Sabra dan Shatila.

Pada 1980, Utusan melancarkan Tabung Afghanistan yang berjalan hampir empat bulan. Lebih RM300,000 telah dikumpulkan. Wang derma orang ramai itu disampaikan melalui Kementerian Luar pada pertengahan tahun itu melalui Menterinya, Tengku Ahmad Rithauddeen dan Timbalannya, Datuk Mokhtar Hashim.

Utusan juga telah mengutip Derma Palestin sebanyak RM1.1 juta, Tabung Kebuluran Afrika RM410,002. Medical Aid untuk Palestin RM42,362.64 dan sekali lagi Tabung Palestin pada 1988 selepas peristiwa Sabra dan Shatila serta Tabung Balu & Anak Yati, Moro (1998).

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Ogos 1992 memuatkan berita Utusan Lancar “Tabung Bantu Islam Bosnia” yang melaporkan pelancaran Tabung Kesengsaraan Orang Islam Bosnia nasib penderitaan dan sebagai simpati terhadap pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di bekas Republik Yugoslavia.

Pengerusi Eksekutif Utusan ketika itu, Datuk Khalid Abdullah berkata, sebagai langkah permulaan, Kumpulan Utusan sendiri mengeluarkan sumbangan pertama berjumlah RM10,000.

Tabung-Tabung yang dilancarkan Utusan ini merupakan sumbangan bakti Utusan untuk membantu orang ramai ini bukanlah perkara baharu, malah sudah bermula sejak 80 tahun lalu.

Banyak kerja kebajikan sudah bermula sejak wujudnya pejabat Utusan di Cecil Street Singapura. Utusan akan terus berbakti mengirimkan salam kemanusiaannya membantu masyarakat dari dulu hingga kini.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan