J. Victor Morais dalam bukunya Mahathir Riwayat Gagah Berani (1982), menyatakan Siddiq Ghouse yang telah dibuang kerja beberapa hari sebelum ditangkap, pernah berkhidmat selama tujuh tahun sebagai Setiausaha Politik Dr. Mahathir sejak di Kementerian Pelajaran dan diikuti ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sebagai seorang pemimpin yang berani, walaupun bimbang, Dr. Mahathir tetap berada dalam situasi tenang dan tenteram apabila berita bersabit penangkapan bekas Setiausaha Politiknya itu diumumkan secara meluas di radio, televisyen dan akhbar-akhbar tempatan.

AKHBAR Utusan Malaysia pada 29 Jun 1984 memaparkan berita Siddiq Ghouse dibebaskan dengan empat syar
AKHBAR Utusan Malaysia pada 29 Jun 1984 memaparkan berita Siddiq Ghouse dibebaskan dengan empat syarat. 

Akhbar Utusan Malaysia pada 14 Julai 1981 menyiarkan kes penangkapan Siddiq Ghouse di muka hadapannya dengan tajuk: “Siddiq Agen KGB ditangkap” dan “3 Pegawai Pegawai Kedutaan Soviet diusir keluar 24 jam dari negara ini”.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia, tiga orang diplomat Rusia diusir dalam tempoh 24 jam dan kerajaan mengesahkan bahawa Siddiq Ghouse telah menjadi ejen Polis Rahsia Soviet (KGB).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie dalam kenyataannya yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 14 Julai 1981 menegaskan, polis sudah pun merampas alat-alat yang dibekalkan oleh KGB Soviet kepada Siddiq termasuk kamera, beg dengan petak-petak yang sulit dan sebuah radio dengan bunyian khas mengikut saluran frekuensi khas yang digunakan oleh ejen KGB untuk menghubunginya.

Ghazali berkata, Siddiq ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)kerana kegiatan-kegiatannya memudaratkan keselamatan negara. Siasatan polis sejak awal 1979 lagi berjaya mengesan penglibatan Siddiq dan mendapati beliau telah membuat satu bentuk perhubungan dengan seorang pegawai KGB yang menimbulkan syak wasangka. Pegawai KGB itu ialah V. P. Romanov, seorang Setiausaha Kedua di Kedutaan Soviet di Kuala Lumpur.

“Pengesanan rapi oleh polis tentang perhubungan Romanov dengan Siddiq membuktikan Romanov telah berjaya menjadikan Siddiq seorang ejen KGB” tegas Ghazali Shafie lagi.

Perisikan yang dijalankan pihak Polis Cawangan Khas mendapati ejen KGB selalu menemui Siddiq pada waktu malam ‘dalam gelap’ dan sesetengah pertemuan itu dibuat dalam kereta Siddiq sendiri. Jabatan Perdana Menteri pula mengesahkan bahawa Siddiq telah dibuang kerja beberapa hari sebelum beliau ditangkap. Di samping menjadi Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr. Mahathir, Siddiq ialah Timbalan Ketua UMNO Sungai Petani Kedah dan pernah menjadi Presiden Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC).

Kenyataan Kementerian Luar pula menyatakan: “Kerajaan memandang berat akan kegiatan-kegiatan mengintip yang dilakukan oleh tiga orang pegawai Kedutaan Soviet, V. P. Romanov, G. I. Stepanov dan Z. I. Khamidouline.

“Kegiatan-kegiatan seumpama itu adalah tidak dapat diterima dan merupakan penyalahgunaan akan kedudukan mereka sebagai pegawai-pegawai kedutaan. Tambahan lagi, kegiatan-kegiatan ini merupakan ancaman langsung kepada keselamatan negara.

“Kerajaan menganggap bahawa dengan kehadiran mereka seterusnya di Malaysia akan menjadi ancaman kepada keselamatan Negara dan boleh menjejaskan kepentingan hubungan baik antara Malaysia dan Kesatuan Soviet” (J. Victor Morais 1982: 166).

Kementerian Luar Negeri seterusnya telah memanggil Kuasausaha Soviet dan menyampaikan kepada beliau keputusan kerajaan bahawa V. P. Romanov, G. I. Stepanov dan Z. I. Khamidouline adalah ‘persona non grata’ (orang yang tidak dikehendaki) dan meminta kedutaan membuat persiapan untuk memboleh­kan mereka meninggalkan Malaysia dalam tempoh 24 jam.

“Dr. Mahathir berkata beliau sedar tentang kegiatan Siddiq (sebagai ejen KGB) sejak tahun 1979. Beliau terus mengekalkan sebagai pembantunya kerana untuk menyenangkan polis mengutip bukti-bukti terhadapnya dan ejen-ejen Soviet” (J. Victor Morais 1982: 168).

Dr. Mahathir seterusnya mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana berjaya melakukan penyiasatan terhadap kegiatan Siddiq dan menganggap beliau seorang yang tamak kerana sanggup menjual rahsia negara sendiri demi semata-mata untuk wang.

Dr. Mahathir menjelaskan keselamatan negara tidak terjejas memandangkan apa yang dilakukan Siddiq, tidak ada yang berguna bagi ejen-ejen Soviet dan beliau tidak dibenarkan memegang dokumen berdarjah ‘rahsia besar’ negara ketika bertugas sebagai Setiausaha Politiknya.

Morais menyatakan, kes pengintipan Siddiq sebagai ejen KGB merupakan suatu peristiwa yang serius yang semestinya dianggap sebagai suatu amaran oleh kerajaan bahawa dari semasa ke semasa wujudnya anasir yang tidak bertanggungjawab bersedia untuk menjual rahsia negara demi untuk kepentingan peribadi mahupun tujuan ideo­logi pihak tertentu.