Kejayaan itu menobatkan Dr. Salma antara pelajar wanita Melayu tunggal yang mendapat pembiayaan biasiswa penuh daripada Kerajaan Negeri Kedah sepanjang pengajiannya di Singapura.

Akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan MEGA bertarikh 24 Julai 2014 bertajuk ‘Dr. Salma wanita terbilang’ melaporkan, kegigihan Dr. Salma sebagai wanita Melayu pertama menjadi doktor di Tanah Melayu atau Malaya ketika itu perlu dijadikan contoh oleh generasi hari ini.

Menurut Veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail, kekentalan semangat jati diri Dr. Salma mengharumkan nama negara dan jasa-jasanya dikenang sehingga ke hari ini.

BIOGRAPHY of the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore yang mengisahkan biografi Dr. Sa
BIOGRAPHY of the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore yang mengisahkan biografi Dr. Salma dan keluarga. 

“Bukan mudah untuk seorang wanita berjaya dalam bidang pendidikan pada masa dahulu berbanding golongan lelaki berikutan banyaknya kekangan dan anggapan wanita tidak perlu berada di menara gading kerana diperlukan di rumah sebagai suri rumah dan menjaga anak-anak.

“Ini ditambah lagi dengan tiadanya bantuan biasiswa, semua itu pastinya menyebabkan sukar untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang tinggi,” katanya.

Anak kelahiran Kancut, Alor Setar, Kedah itu dilahirkan pada 19 Disember 1918 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Bharu Alor Setar (kini Sekolah Menengah Sultanah Asma).

Di sekolah itu, Dr. Salma menduduki peperiksaan Ju­nior Cambridge pada 1934 dan Senior Cambridge pada 1935 dengan cemerlang dan berjaya melanjutkan pengajian di Kolej Perubatan King Edward, Singapura.

Pada tahun 1939-1945 ketika Perang Dunia Kedua tercetus menyebabkan Dr. Salma menangguhkan pengajiannya. Selepas peperangan berakhir pada 1946, Dr. Salma menyambung pengajiannya semula dan akhirnya berjaya dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan pada 1947. Beliau merupakan wanita Melayu pertama yang lulus dalam bidang perubatan dan mendapat Licentiate of Medicine and Surgery pada 3 Mac 1950.

Beliau mula berkhidmat sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Kuala Lumpur, Pegawai Perubatan di Kedah (1950-1960), Pegawai Perubatan Selangor (1961-1967), pemilik klinik persendirian di Kuala Lumpur dan rangkaian Klinik Salma (1967), Pengerusi Salma-Bakar Sdn.Bhd serta Pengarah Specialist Sdn.Bhd.

Setelah berkhidmat selama 18 tahun, beliau membuka klinik persendirian di Jalan Hale, Kampung Bahru, Kuala Lumpur (1967) dan menjadi Pengerusi Salma-Bakar Sdn. Bhd serta Pengarah Specialist Mediklinik Sdn. Bhd.

Di samping aktif dalam bidang perubatan, Dr. Salma bergiat aktif dalam pelbagai badan bukan kerajaan terma­suklah menjadi Pesuruhjaya Pandu Puteri Kedah, Ahli Persatuan St. John Kedah, Ahli Majlis Pelajaran Tinggi, Presiden Persatuan Doktor-Doktor Swasta Selangor (1976) malah Presiden Selangor dan Wilayah Gardening Society.

Dalam buku Biography of the Early Malay Doctors 1900-1957 Malaya and Singapore menyatakan Dr. Salma telah mendirikan rumah tangga dengan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ketika itu, Tan Sri. Dr Abu Bakar Ibrahim pada 3 Mac 1950, Pengarah IMR (Institut Penyelidikan Perubatan) dan dikurniakan empat orang anak.

Anak mereka Tan Sri Dr. Ridzwan Abu Bakar, Ezani, Dr. Normi dan Rosina. Dua daripada Dr. Salma mengikut jejak langkah menjadi doktor.

Sebagai menghargai sumbangan Dr. Salma dalam bidang perubatan, beliau telah dianugerahi Bintang Cemerlang Kedah (B.C.K.) oleh Kerajaan Kedah pada 1957, Dato’ Paduka Mahkota Kedah (D.P.M.K.) pada 1996 dan Pang­lima Setia Mahkota (P.S.M.) pada 1997 yang membawa gelaran Tan Sri.

Untuk menghargai ketokohan Dr. Salma sebagai wanita Melayu pertama menjadi doktor di seluruh Malaya, pada 2014 beliau dianugerah Tokoh Melayu Wanita Terbilang oleh UMNO. Dr. Salma telah mencipta sejarah emas bagi gendernya. Beliau telah kembali ke rahmatullah pada 20 Julai 2014 di Hospital Pantai, Kuala Lumpur ketika berusia 96 tahun.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan