Tidak dinafikan kesemua bekas Ketua Wanita UMNO sejak Tan Sri Fatimah, Tan Sri Aishah Ghani, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mempunyai gaya kepimpinan dan sumbangan tersendiri dalam sejarah perjuangan wanita. Tetapi, gaya politik Rafidah lebih menonjol dan bersuara lantang memperjuangkan hak-hak kaum hawa.

Pelantikan Rafidah yang berkelulusan Sarjana Muda Ekonomi (1966) dan Ijazah Sarjana Ekonomi (1970) sebagai senator dalam usia 31 tahun menobatkan beliau sebagai tokoh politik wanita termuda sebagai ahli Dewan Negara pada Oktober 1974.

Menurut Nik Rahimah Hassan dalam rencana bertajuk ‘Senator Rafidah: Tugasnya untuk melanjutkan lagi sebarang perjuangan yang masih belum selesai… yang disiarkan majalah Wanita November 1974 menyatakan, Rafidah merupakan tokoh ekonomi yang berkaliber dilantik sebagai senator keempat tetapi yang termuda selepas Tan Sri Aishah Ghani, Bibi Aishah Hamid Don dan Dasimah Basir Ghani.

“Pelantikannya sebagai se­nator pada bulan lalu (Oktober 1974) telah mendapat sambutan yang hebat dari pemimpin-pemimpin masyarakat, khas­nya oleh pemimpin-pemimpin wanita di tanah air. Semuanya telah menyatakan perasaan bangga dan gembira mereka.

“Pendeknya masing-masing menaruh harapan yang besar di atas pelantikan ini, dengan adanya Rafidah di Parlimen, suara kaum wanita diharap dapat didengar lebih lantang” (Nik Rahimah Hassan 1974: 9).

Rafidah ketika ditanya me­ngenai pelantikannya sebagai senator wanita termuda di Malaysia menjawab: “Memang tidak disangka. Saya memang tidak dapat percaya yang saya telah dilantik (senator). Maklumlah biasanya yang dilantik itu orang-orang yang sudah berumur, bukan umur se­perti saya!”.

Menurut majalah Wani­ta lagi, Rafidah yang me­nyambut hari ulang tahunnya yang ke-31 pada 4 November 1974, berpengalaman selama lapan tahun sebagai pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dalam Bahagian Pembangunan Desa di Universiti Malaya.

“Dulu, suara saya cuma dapat didengar di luar saja, harganya tentulah tidak sama bila berada di dalam Dewan Negara, di mana apa yang kita lahirkan lebih mendapat perhatian (kerajaan) dan kesannya tentu lebih mendalam,” kata Rafidah (Nik Rahimah Hassan 1974: 9).

Zabidin Ismail dalam tulisan Tokoh Rao yang disiarkan dalam tokohrao.blogspot.com.pada 6 Mei 2011 menyatakan, Rafidah merupakan anak jati Rao adalah cicit kepada pembuka (pengasas) pekan Selama di Perak iaitu Abdul Karim Raja Aman Shah.

Menurut Zabidin, Rafidah menjadi tulang belakang membangunkan dasar dan hala tuju beberapa agensi kerajaan persekutuan se­perti Mara (1973-1976), RISDA (1973-1976), Majlis Pelindung dan Penasihat Pengguna (1973-1976), Lembaga Perancang Keluarga (1973-1976), Majlis Penasihat dan Perunding Belia Kebangsaan.

Taufik Mubaraq melalui rua­ngan ‘Renungan’ yang tersiar dalam taufikmubaraq.blogspot.com pada 20 Mac 2012 menyatakan, Rafidah dianggap sebagai pemimpin wanita pertama Melayu yang lebih menonjol karismatik berbanding wani­ta sebelum dan selepasnya. Malah dalam bidang ekonomi, dalam keadaan tertentu beliau kelihatan lebih luas pengetahuannya berbanding menteri-menteri lelaki.

“Dalam sejarah negara ha­nya beliau Ketua Wanita yang diberi tugas sebagai Menteri Perdagangan dan Industri, satu portfolio yang dianggap penting dan kanan dalam kabinet. Lain-lain pemimpin wanita sebelum dan selepas­nya diberi peranan menjaga hal ehwal wanita dan kebajikan sahaja” (Taufik Mubarak 2012).

Malah, sebelum menceburi dunia politik, Ahli Parlimen Port Dickson yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah salah seorang pelajar yang pernah mengikuti kuliah Rafidah di Universiti Malaya.

Menariknya, bekas Pengarang Utusan Malaysia Zaini Hassan dalam kolumnya Cuit yang disiarkan oleh Bebas News pada 12 Jun 2019 pernah menulis artikel bertajuk: Rafidah Aziz “calon” Perdana Menteri Malaysia? yang mengupas keistimewaan tokoh politik wanita yang pernah mendapat jolokan ‘wanita besi’ oleh media asing.

Negara beruntung kerana tokoh seperti Rafidah tidak selalu muncul dalam sejarah politik Malaysia.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan