Penerbangan MH653 yang membawa seramai 93 penumpang bersama tujuh anak kapal dipercayai dirampas pengganas telah meletup dan terhempas di kawasan paya bakau di Tanjung Kupang, Gelang Patah, Johor, sekali gus menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

Rangka pesawat yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang itu berkecai dan terbakar hingga meranapkan muka bumi seluas kira-kira dua kilometer persegi daripada titik hentamannya.

MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Disember 1977 melaporkan berita “100 mayat berkecai” d
MUKA depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Disember 1977 melaporkan berita “100 mayat berkecai” dalam insiden pesawat MH653.

Kemalangan nahas itu walaupun sudah berlalu 42 tahun, namun kejadian yang berlaku pada 1977 ini masih segar dalam ingatan.

Pesawat Boeing 737-200 itu dipercayai terhempas pada kira-kira jam 8.15 malam, membunuh kesemua penumpang dan anak kapal berjumlah 100 orang.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Disember 1977 di muka depan melaporkan berita bertajuk “100 mayat berkecai”

Dalam laporan itu, tiada siapa yang terselamat dalam nahas pesawat MH653 di Kampung Tanjung Kupang dan keadaan bangkai kapal terbang itu juga sangat teruk hingga besi-besi pun berkecai.

Timbalan Mufti Johor ketika itu, Datuk Ahmad Awang dilantik untuk mengetuai siasatan mangsa kemalangan tersebut sama ada hendak dikebumikan di tanah perkuburan Islam atau sebaliknya.

Tragedi itu turut mengorbankan beberapa kenamaan, antaranya Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Sri Ali Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Tan Sri Mahfuz Khalid; Pengarah Kerja Raya Bahagian Tentera, Datuk Khalid Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan; Abu Bakar Othman Merican dan Duta Cuba ke Malaysia, Mario Garcia dan isteri.

Nahas itu turut mengorbankan, Ketua Juruterbang, Kapten G.K Ganjoor dan pembantunya, Kamarul Zaman Jalil bersama lima anak kapal.

Insiden nahas itu merungkai beberapa teori yang menyebabkan berlakunya nahas yang menyayat hati ini.

Antaranya ialah teori pesawat MH653 dirampas oleh ahli Tentera Merah Jepun. Walau bagaimanapun, teori ini dinafikan oleh Tan Sri Ghazali Shafie yang merupakan Menteri Dalam Negeri ketika itu.

Teori kedua pula, menyatakan pesawat MH653 dipercayai dirampas oleh kumpulan militan Vietnam dan teori ini berdasarkan penahanan tiga ahli militan Vietnam oleh Singapura berikutan rampasan pesawat DC3 Air Vietnam sebelum insiden rampasan MH653. Teori ini menyatakan bahawa kumpulan militan ini mungkin merampas MH653 untuk membebaskan tiga ahli yang ditahan.

Teori ketiga, kemungkinan pesawat MH653 dirampas oleh penentang kerajaan Cuba, namun ia tidak mempunyai sebarang sokongan yang melibatkan aktiviti pengganas.

Sementara itu, menurut laporan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia ketika itu, pesawat itu ditawan ketika ia menghampiri Kuala Lumpur.

Terdapat kekeliruan sama ada pesawat tersebut akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang atau terbang menuju ke Singapura.

AKHBAR Utusan Malaysia di muka satu bertarikh 7 Disember 1977 yang memuatkan tajuk utama “Punca naha
AKHBAR Utusan Malaysia di muka satu bertarikh 7 Disember 1977 yang memuatkan tajuk utama “Punca nahas MAS”. 

Namun sebelum sempat melakukan pendaratan di Subang, Kapten Ganjoor sempat memaklumkan kepada menara kawalan terdapat pengganas di dalam pesawat sehingga pihak berkuasa lapangan terbang segera mengosongkan laluan 33 bagi membolehkan pesawat MH653 mendarat.

Memetik kenyataan CNN pada ketika itu, kesimpulan kemalangan itu disebabkan oleh anak-anak kapal cedera parah dan tidak berupaya, lalu menyebabkan pesawat tidak terkawal.

Anak kapal, menurut CNN, telah ditembak dan pesawat akhirnya terhempas ke dalam tanah paya.

Bagaimanapun, sesetengah saksi yang melihat kejadian itu mengatakan pesawat terbakar sebelum mencecah tanah, manakala ada yang berkata mendengar letupan sebelum kemalangan itu, walaupun tidak ada bukti menyokong dakwaan tersebut.

Selepas sembilan bulan tragedi nahas itu, satu laporan rasmi mengandungi hasil siasatan kotak hitam MH653 didedahkan.

Menurut laporan itu, juruterbang dan seorang daripada krew pesawat ditembak mati lebih awal oleh perampas sebelum pesawat meletup.

Terdapat rakaman suara dengan tiga das tembakan kedengaran dan rayuan oleh Kap­ten Gan­joor sebelum ditembak, yang berbunyi, “No, please don’t!”.

Juga kedengaran suara yang menyebut, “You bluff us,” oleh suara yang tak dikenali sebelum bunyi tembakan kedengaran. Antara suara lain yang kedengaran adalah perbualan bahasa asing.

Pesawat tersebut mula menjunam sebaik sahaja tembakan tersebut berlaku.

Laporan CNN mendakwa tiada letupan berlaku ketika pesawat berada di udara.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn dan isterinya, Tun Suhaila Mohamed Noah turut melahirkan rasa terkejut dan berdukacita di atas kemalangan pesawat MH653.

Perdana Menteri bersedih kerana turut kehilangan anak saudaranya, Onn Jaafar yang bertugas sebagai pramugara MH653 dalam insiden tersebut.

Kesemua yang maut dalam nahas itu disemadikan di Taman Bunga, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, yang dikhaskan oleh Kerajaan Negeri Johor pada 9 Disember 1977.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan