Pada perlawanan itu, Misbun tewas kepada bintang Indonesia, Lim Siew King walaupun telah beraksi cemerlang. Misbun masih ada peluang untuk memenangi perlawanan tersebut tapi akhirnya tewas pada set pertama 12-15, Misbun bangkit untuk menang set kedua 15-3 dan penentuan 15-12.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 September melaporkan berita bertajuk Misbun pemain nombor dua di dunia melaporkan, ia adalah satu kemenangan mutlak baginya.

Dalam laluannya itu, bukan mudah untuk Misbun sampai ke peringkat perlawanan akhir apabila terpaksa menundukkan pemain terkemuka dunia seperti Luis Pongoh dari Indonesia; Juara All England, Morten Frost Hansen (Denmark) dan Juara Piala Dunia 1981, Prakash Padukone dari India.

AKHBAR Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk Misbun pemain nombor dua di dunia merakamkan kenang
AKHBAR Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk Misbun pemain nombor dua di dunia merakamkan kenangan bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ahmad Shah yang memeluk beliau setelah tewas kepada pemain Indonesia, Liem Swie King pada 19 September 1982. 

Ia merupakan pengiktirafan terbesar baginya yang merupakan pemain badminton pertama negara beraksi ke peringkat akhir menentang bintang Indonesia, Siew King.

Kekalahan itu tidak mematahkan semangat kejayaan anak kelahiran Banting, Selangor itu. Rentetan kejayaan itu tidak mungkin dicapai Misbun untuk duduk sebaris pemain antarabangsa pada usia 24 tahun tanpa sokongan daripada bapanya, Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar yang mahu melihatnya menjadi jagoan badminton terkemuka dunia.

Penglibatan awal dalam dunia sukan badminton, Misbun mula menjuarai kejohanan perseora­ngan Daerah Ban­ting pada 1976, pada 1979 pula, Misbun terpilih menyertai skuad Piala Thomas dan mewakili Malaysia dalam acara perseorangan di kejohanan All England sebelum muncul juara kebangsaan apabila mengalahkan Moo Foot Lian pada 1980.

Kecemerlangan dalam sukan badminton kian menyinar apabila Misbun berjaya mengalahkan Icuk Sugiarto pada Kejohanan Badminton Terbuka Sweden pada 1982 dan muncul juara.

Pada tahun yang sama, Misbun dinobatkan Olahragawan Kebangsaan dan berjaya menjadi Naib Johan Piala Dunia Alba di Kuala Lumpur. Pada 1983, sekali lagi Misbun muncul sebagai juara Terbuka Jerman dan mempertahankan Kejuaraan Terbuka Sweden dengan mengalahkan Morten Frost dan melayakkannya menandatangani kontrak dengan Kumpulan Pengurusan Antarabangsa-IMG di Kuala Lumpur pada 7 Oktober 1984.

Bibliografi Misbun Sidek dalam buku Teknik Asas Badminton menyatakan, pada usia 16 tahun, Misbun terpilih mewakili negara dalam Kejohanan Jemputan Asia di Hong Kong dan muncul juara kategori bawah 18 tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Selain kejohanan itu, anak kedua daripada lapan beradik itu terpilih ke Kejohanan Terbuka Australia atau lebih dikenali dengan na­ma Silver Bowl.

Di peringkat kebangsaan, Misbun mengekalkan dominasinya dan melakar gelaran hatrik bawah 18 tahun pada 1978, diikuti kategori bawah 21, setahun kemudian.

Bakat, penampilan dan karisma Misbun terus mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. Pada 7 Oktober 1983, Misbun menempa sejarah negara sebagai pemain pertama Asia Tenggara dan kedua Asia selepas jaguh India, Prakash Padukone.

Pengiktirafan meletakkan Misbun setaraf dengan bintang antarabangsa lain di bawah IMG seperti Bjorn Borg, Jimmy Connors, Jack Nicklaus, Arnold Palmer, Sebastian Coe dan Alberto Salazar.

Pada 1984, Malaysia menyaksikan Misbun membuat kejutan apabila mengambil keputusan menunaikan fardu haji di Mekah pada usia 24 tahun. Namun pada 30 September 1984, Misbun tiba-tiba sakit akibat kekeringan air dalam badan di Mekah dan menggemparkan keluarga serta peminat badminton negara.

Misbun pulang ke tanah air pada 4 Oktober 1984. Pada bulan sama, Misbun kembali memegang raket dan mewakili Malaysia ke Terbuka Kanada.

Pada 8 Januari 1985, sejarah tercipta sekali lagi dalam keluarga Sidek. Kali ini, menjadi keluarga terbesar mewakili negara dalam kejohanan luar negara. Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid terpilih kali pertama beraksi bersama di pentas antarabangsa di Terbuka Hong Kong melengkapkan Sidek Brothers - lima anak lelaki keluarga Sidek.

Kehebatan Misbun menyinar di pentas antarabangsa dengan gelaran terakhir dicapai pada 1988 selaku naib juara Piala Thomas, selepas tewas kepada China 4-1. Pada 1989, Misbun mengambil keputusan bersara dari dunia badminton.

Misbun pernah merangkul pingat emas bagi acara perseorangan lelaki badminton pada Sukan SEA 1981 di Manila, Juara Badminton Kebangsaan Malaysia (1981, 1982, 1983, 1984, 1986, 1987); Naib juara Piala Dunia 1982; Naib juara All England 1986; Naib juara Grand Prix Badminton Dunia 1988 dan Naib juara Piala Thomas 1988 (berpasukan lelaki). Misbun dikenang sebagai jurulatih yang banyak melahirkan ramai jaguh sukan badminton seperti Roslin Hashim, Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei.